KUALA LUMPUR: Tindakan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang membayangkan beliau akan berundur dalam masa beberapa tahun lagi, menyerlahkan pergeseran dan percanggahan antara beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Kenyataan ini jelas menunjukkan satu kontradiksi dan percanggahan antara Ketua Menteri Sarawak dan perdana menteri. Nampaknya perdana menteri mengatakan dia akan berundur serta merta.
“Tetapi kenyataan Taib bahawa dia akan berundur tiga atau empat tahun lagi membayangkan dia tidak berniat untuk berundur diri dari jawatan tersebut,” kata Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua.
Menurut Tian, hakikat itu menyerlahkan bahawa Najib sendiri tidak mempunyai kuasa bagi memaksa supaya Taib berundur dari jawatan tersebut.
“Kalau BN menang di Sarawak, tidak ada alasan mengapa Taib mesti undur diri kerana dia akan mengatakan mendapat keyakinan dari rakyat Sarawak. Najib pula berpendapat jika Taib berundur, BN akan mendapat keyakinan penuh dari rakyat Sarawak,” ujar beliau.
Semalam, Taib Mahmud sewaktu berucap di konsert 1Malaysia di Padang Merdeka, Kuching, meminta generasi muda untuk terus menyokong “penggantinya”, namun pada masa yang sama membayangkan beliau hanya akan berundur dalam masa beberapa tahun lagi.
Dalam program tersebut, yang turut mengumpan artis-artis terkenal tanahair untuk memikat golongan muda, Taib juga tidak menamakan pengganti beliau sekiranya meletakkan jawatan.
Mengulas lanjut, Tian berkata tindakan Najib yang cuba campurtangan dalam pilihan raya negeri itu- yang tidak pernah berlaku dalam sejarah pilihan raya negeri sebelum ini, menimbulkan kekeliruan dan kekecohan dalam BN di Sarawak.
“Kita mendapat maklumat tauke-tauke dan korporat di Sarawak enggan memberikan dana kepada BN. Kalau Taib Mahmud dipaksa turun, segala kontrak yang mereka terima ketika Taib menjadi ketua menteri tidak akan ditunaikan,” ujar beliau.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=11232