Grab the widget  IWeb Gator

Sunday, April 17, 2011

Analisa : Pakatan Rakyat mencipta kemenangan besarnya dalam PRN Sarawak 2011

Pakatan Rakyat mencipta kemenangan besarnya dalam PRN Sarawak 2011 setelah berjaya menawan 16 kerusi DUN (termasuk satu daripada calon bebas) .  Antara maknanya yang terbesar adalah menyaksikan bagaimana Sarawak masuk ke dalam arus perdana politik Malaysia, dan tidak lagi terpisah dari gelombang reformasi politik negara.

Dalam tempoh kempen selama 10 hari, ceramah anjuran DAP di bandar menarik kelompok manusia yang menakjubkan, sehingga rakyat mula yakin bahawa PR mampu menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional, malah mengambil alih kuasa kerajaan negeri.  Namun demikian, ia hanya imaginasi yang tercetus kerana kedahagaan terhadap reformasi.  Pada hakikatnya, ia terlalu optimis dan kurang pertimbangan realistik.

Dalam PRN Sarawak 2006, PR hanya mampu menawan 9 DUN di kawasan bandar.  Kali ini, DAP dan PKR dari Semenanjung berjaya merampas 15 DUN, malah menumbangkan Presiden SUPP George Chan, dan mengakibatkan SUPP hanya mampu mempertahankan 6 daripada 19 kerusi yang dipertandingkan.  Bahkan PR berjaya menawan 3 kerusi di kawasan bukan Cina.  Gelombang telah mengombak di kawasan desa-bandar, berikutan kemenangan PR ini - dan semestinya ia memberi tekanan kepada parti politik tempatan.

Pengundi Sarawak dengan jelas menyatakan bahawa mereka tidak lagi menerima perbezaan antara "parti tempatan" dengan "parti Semenanjung", dan semua parti politik adalah parti di bawah bumbung Malaysia.  Pengundi hanya mengambil berat tentang idealisme dan tuntutan - bukan lagi perbezaan geografi - lantas pandangan sempit geografi ini digugurkan.

Apabila fikrah sempit politik berdasarkan geografi ini dipecahkan, maka SUPP dan PBB yang rasuah dan tidak cekap gagal lagi untuk berselindung di sebalik "parti tempatan", untuk terus mengabaikan seruan perubahan pengundi.
PR telah mengharungi pertarungan kali ini, dan mendapat kepercayaan daripada pengundi Sarawak.  Mereka bukan lagi "parti dari luar", tetapi telah mempunyai asas di Sarawak melalui undi rakyat.  Sebaliknya, parti politik yang melabel dirinya "parti tempatan" - telah disingkirkan pengundi tempatan.  Apakah mereka masih layak untuk menggelar dirinya "parti tempatan" apabila gagal mendapat restu daripada orang tempatan?

Sepakat dalam nilai politik
Pengundi Sarawak kini lebih mengambil berat tentang "idealisme" daripada "geografi".  Perubahan ini membantu untuk membentuk kesepakatan seluruh rakyat dalam nilai politik.  Sarawak tidak lagi tersisih dari pinggiran politik Malaysia, sebaliknya lebih rapat dengan arus perdana reformasi politik nasional.  Sarawak bukan lagi deposit tetap BN.  BN dan UMNO tidak boleh lagi merampas kekayaan dan sumber negeri Sarawak sewenang-wenangnya tanpa mempedulikan suara rakyat.

Walaupun PR gagal menafikan majoriti dua pertiga BN, namun tidak boleh dinafikan bahawa keputusan PRN Sarawak 2011 adalah kemenangan besar yang bersejarah.  DAP dan PKR mempunyai harapan untuk memasuki kawasan desa-bandar, untuk membina akar umbinya pada masa depan.
PRN ini adalah pilihan raya yang paling penting dalam sejarah politik Sarawak.  Perhimpunan politik di jalan raya adalah perhimpunan politik terbesar sejak zaman anti-penjajahan pada tahun 1960-an.

DAP menguasai politik Cina
Pada dasarnya, SUPP telah kehilangan reputasi yang dibina sejak 40 tahun yang lalu.  Politik Cina di Sarawak bakal dikuasai sepenuhnya oleh DAP.  SUPP memerlukan sekurang-kurangnya 10 tahun pada masa depan untuk membina semula imejnya, dan melahirkan pemimpin generasi baru.  Dengan kata lain, 10 tahun yang akan datang adalah dekad yang merudum untuk SUPP.
SUPP adalah parti politik tempatan, mempunyai organisasi yang luas.  Mungkin tidak pecah berkecai, namun ia tetap akan menemui ajal seandainya tidak memikirkan perubahan.  Bukan sahaja pimpinannya akan dipertanggungjawabkan lantaran kekalahan ini, malah hubungannya dengan Taib Mahmud juga bakal berubah.

Pada masa yang sama, PBB yang dipimpin Taib Mahmud juga berdepan dengan krisis pengganti.  PR menyasarkan Taib Mahmud sepanjang kempen, dan ini akan dipergunakan Najib untuk mendesak agar Taib Mahmud berundur.  UMNO berharap Taib berundur sejak beberapa tahun kebelakangan ini.  Bagaimanapun, UMNO juga khuatir dengan Taib, yang kelihatan masih enggan bersara.  Kali ini, sentimen rakyat boleh dijadikan alasan Najib untuk mendesak Taib.

"Angkatan tentera DAP" ini telah berjaya menghapuskan Gerakan pada tiga tahun yang lalu.  Kini DAP pula meranapkan SUPP, tinggal MCA yang nyawa-nyawa ikan.  Sehati senada SUPP berkhidmat untuk "Pek Moh" - Pek Moh makan daging, SUPP minum sup.  MCA seharusnya mendapat iktibar daripada kemusnahan SUPP.  Seandainya MCA sehati senada berkhidmat untuk UMNO, mereka akan mengalami nasib yang sama.

*Phoon Wing Keong ialah pengkaji politik, diterjemah dan disunting dari teks asal.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular