Grab the widget  IWeb Gator

Thursday, April 21, 2011

Ambil tindakan terhadap Utusan Malaysia!!!

KUALA LUMPUR, April 20 – Wakil rakyat-wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia yang cuba mewujudkan ketegangan kaum dengan mencabar gagasan 1 Malaysia yang bersifat inklusif.

Hari ini, Utusan Maaysia meminta pemilik akhbar itu supaya mengadakan gerakan yang boleh dikenali sebagai “1Melayu, 1Bumi” melibatkan kesemua parti Melayu sambil mendakwa DAP mahu menggulingkan kerajaan pimpinan Melayu.

Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, tulisan terbaru Utusan Malaysia yang bersifat “antinasional” membuktikan yang gagasan 1 Malaysia bukan satu kempen yang bertujuan bina negara yang serius, tetapi hanya bertujuan memancing undi melibatkan “Kemeja 1 Malaysia, Tupperware 1 Malaysia, Air Galian 1 Malaysia, Burger 1 Malaysia, akaun e-mel 1M dan lain-lain yang memburu keuntungan menggunakan 1M.”

Kata beliau, dalam membuat gesaan antikebangsaan yang tidak bertanggungjawab, Utusan Malaysia sebenarnya meletakkan Najib dalam ujian sama ada beliau bersedia untuk mengambil tindakan ke atas Utusan dan mereka secara terbuka mencabar dasar 1 Malaysia.

“... atau beliau seorang Presiden Umno yang tiada kawalan sepenuhnya ke atas Umno,” kata Lim dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Dalam tulisan ruangan Cuit hari ini, Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan berkata, DAP telah berjaya menjadi parti Cina yang telah menyatupadukan orang Cina.

Katanya, hanya kuasa mutlak politik yang belum dikuasai sepenuhnya oleh orang Cina tetapi yang lain “semua sudah.”

“Kini DAP membawa slogan yang cukup hebat di kalangan masyarakat mereka iaitu Undi untuk Ubah, Enough is Enough (Cukuplah) dan Selamatkan Malaysia,” katanya.

Dia berkata slogan itu sebenarnya bukan ditujukan kepada orang lain, tapi khususnya kepada orang Cina.

“Terpapar megah di dada baju penyokong dan calon DAP dalam pilihan raya Sarawak supaya diubah kepimpinan Melayu Malaysia ini,” katanya lagi.

Katanya, pilihan raya umum ke-13 akan digunakan sepenuhnya untuk menyatukan kuasa mereka.

Kata Zaini, “sebaliknya apa yang orang Melayu buat? Tiada apa-apa. Mereka ialah satu bangsa yang cukup selesa, komplesen, alpa dan tidak peduli. Malah pemikiran mereka cukup bercelaru.”

Dia seterusnya berkata, pada pandangannya Umno harus melancarkan gelombang perpaduan bangsa “1Melayu, 1Bumi.”

“Lancarkan segera 1Melayu, 1Bumi dalam lingkungan UMNO dan parti-parti Melayu yang lain,” katanya lagi.

Dalam ulasannya kata Lim, ruangan yang dibawa Utusan Malaysia adalah sesuatu yang tidak bertanggungawajab, yang hanya mahu memecahbelahkan rakyat pelbagai kaum dengan “pembohongan, fitnah dan kepalsuan.”

“Ini adalah politik lama perkauman yang mesti memberi laluan kepada politik Malaysia, yang bersifat multirasialisme (sekarang),” kata ahli Parlimen ini.

Kata beliau, DAP tidak pernah bertindak sebagai sebuah parti politik bagi kaum Cina, sebaliknya ia adalah bagi semua rakyat Malaysia.

Malah kata beliau, ia juga merupakan parti politik Pan-Malaysia yang meluaskan sayapnya bukan sahaja di Semenanjung, tetapi juga di Sabah dan Sarawak.

Kata Lim, kejayaan DAP pada pilihan raya negeri Sarawak minggu lalu merupakan hasil kerja keras politik selama 33 tahun bagi rakyat Malaysia dan juga Sarawak, yang percaya pada keadilan dan masyarakat yang saksama.

Sehubungan itu, beliau juga mencabar parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) menyatakan pandangan mereka dalam isu terbaru ini.

Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat, Khalid Samad sealiran dengan pandangan Lim sambil berkata, editor Utusan Malaysia itu seharusnya dicaj di bawah Akta Hasutan.

“Mereka harus dikenakan tuduhan di bawah perkara-perkara berkaitan hasutan, mencetuskan ketegangan kaum,” katanya lagi.

“Hakikatnya, apa yang dikatakan oleh mereka adalah salah belaka. DAP berjuang bukan hanya untuk satu kaum sahaja, mereka berjuang untuk sebuah kerajaan yang adil dan telus,” kata Ahli Parlimen Shah Alam ini kepada The Malaysian Insider.

Yang Dipertua PAS Shah Alam itu juga mendakwa Utusan Malaysia dihantui dengan isu-isu bertunjangkan kaum dan kebimbangan bahawa masyarakat Cina akan menggulingkan kerajaan didominasi Melayu adalah sebahagian daripada “propaganda” Umno untuk kekal berkuasa.

Naib Presiden PKR Chua Tian Chang pula memberitahu, tulisan Utusan Malaysia hari ini sekali lagi menunjukkan bahawa ia tidak boleh menyesuaikan diri dengan fenomena masyarakat “pelbagai kaum.”

“Ini cara bagaimana mereka hendak menggambarkan setiap perkara... setiap satu adalah konspirasi besar menentang Umno.

“Ia hanya helah untuk kekal berkuasa,” kata Ahli Parlimen Batu ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular