Apa yang menarik tentang Pilihan Raya Negeri Sarawak yang berakhir dengan mengekalkan Tan Sri Patinggi Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri?
Apakah kemenangan semula kerajaan Barisan Nasional dengan majoriti dua pertiga? Atau kekalahan teruk SUPP di tangan DAP? Atau Taib Mahmud mampu buat apa yang Suharto dan Hosni Mubarak tidak mampu?
Semuanya menarik tetapi paling menarik ialah pilihan raya itu menjadikan Jabatan Perdana Menteri kosong dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri antara seminggu dan sepuluh hari.
Pertama kali dalam pilihan raya bukan Parlimen Jabatan Perdana Menteri atau kini masyhur dengan Putrajaya tanpa Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri begitu lama.
Mungkin kecanggihan teknologi alam maya memungkinkan boleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri boleh serentak meninggalkan Jabatan Perdana Menteri buat tempoh semiggu atau lebih. Perdana Menteri dan timbalannya boleh memantau pejabat masing-masing dari jauh tanpa sedikit pun maklumat tercicir.
Setahun pun Perdana Menteri tidak turun ke pejabat, dengan bantuan teknologi maklumat dan komunikasi yang serba canggih itu tiada perkembangan di pejabatnya yang dia tidak tahu dan ketiadaannya tidak dirasakan dia tidak ada di pejabatnya.
Saudagar komunikasi Jerman yang terkemka Axel Springer tidak menjenguk pejabat-pejabat akhbarnya barang sekali pun setahun, melainkan dia menghabiskan banyak masa di pergunungan Switzerland, tetap arahannya tiba kepada CEOnya dari masa ke masa dan syarikatnya tetap berkembang.
Boleh gaya saudagar itu dijadikan ikutan, tetapi ia mendedahkan orang terasa boleh berjalan tanpa Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Siapakah yang menjalankan kerja Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri semasa ketiadaan mereka? Tentulah segala-galanya terserah kepada Ketua Setiausaha Negara. Kalau Tan Sri Sidik Hussein boleh menjalan dan menggerakkan pentadbiran negara tentulah Perdana Menteri seperti tidak diperlukan lagi.
Dalam sejarah Pilihan Raya Negeri Sarawak tiada yang lebih mencemaskan Kuala Lumpur selain dari pilihan raya untuk menggantikan pengaruh Datuk Stepen Kalong Ningkan dengan Tun Abdul Rahman Yaakub awal tahun 1970an dan pilihan raya bagi mengekalkan Taib Mahmud dari ancaman pengaruh Tun Abd Rahman Yaakub pertengahan tahun 80an.
Pilihan raya itu adalah untuk menentukan Kuching berada di tangan orang dipercayai oleh Perdana Menteri atau tidak.
Sekali pun Ketua Menteri Sarawak sebelum Tun Rahman adalah Tawi Sli yang penuh setia kepada pentadbiran Jabatan Perdana Menteri tetapi pengaruh bekas Ketua Menteri Stepen Kalong Ningkan adalah lebih besar. Masalah Kalong Ningkan ialah politiknya lebih dekat ke Singapura dari Kuala Lumpur.
Tun Razak tidak berada sepenuh masa di Kuching. Timbalannya Tun Dr Ismail lagilah terkenal sebagai orang yang suka menghabis banyak masa di pejabat. Walau pun Tun Razak ada juga ke Kuching masa pilihan raya itu, tetapi dia sekejap-sekejap saja ke sana. Tidak ditinggalkan Kuala Lumpur sampai seminggu.
Taib Mahmud pernah diancam oleh Tun Rahman, Ketua Menteri sebelumnya dan Yang Dipertua Negeri ketika Taib mula jadi Ketua Menteri. Taib boleh ditumbangkan oleh undi tidak percaya di DUN oleh penyokong-penyokong Tun Rahman.
Perdana Menteri Dr Mahathir menasihatkan Taib mengadakan Pilihan Raya Negera sebagai langkah menyelamatkannya. Pengaruh Tun Rahman adalah besar. Dia disukai pula oleh Timbalan Perdana Menteri Ghafar Baba tetapi orang Dr Mahathir adalah Taib.
Dr Mahathir lebih banyak masanya di Jabatan Perdana Menteri sepanjang kempen pilihan raya itu. Ternyata usaha Tun Rahman untuk kembali berpolitik semula gagal. Dr Mahathir dapat melakukannya tanpa beernaung lama di Kuching.
Mungkin cabaran Pakatan Rakyat dan pimpinan Anwar Ibraahim mencemaskan Taib dan Perdana Menteri Najib. Mungkin tanpa Najib dan Muhyiddin Yasin berkubu terus di Sarawak diperlukan bagi mengekalkan Taib dan BN.
Apa pun seolah-olah Perdana Menteri dan timbalannya tidak berani meninggalkan Sarawak sepanjang kempen itu. Adakah begitu?
Adalah penting bagi Najib dan Muhyiddin bagi memastikan Taib dan kerajaan BN dikekalkan, tetapi tidaklah sampai membiarkan Putrajaya ditinggalkan kepada Ketua Setiausha Negara sana semata-mata kedua-duanya mahu mempertahankan Taib.
Dalam pilihan raya-pilihan raya sebelumnya Perdana Menteri tidak berapa turun. Ia diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri saja. Itu pun tidak pula Timbalan Perdana Menteri meninggalkan pejabatnya langsung.
Hanya Najib dan Muhyiddin mengutamakan kempen lebih dari menjaga Jabatan Perdana Menteri. Ia tidak salah tetapi ia menjadi contoh, boleh kerja Perdana Menteri dibuat dari jauh.
Oleh Haji Abdul Subky Latif
Haji Abdul Subky Latif seorang penulis bebas dan tinggal di Kuala Lumpur. Seorang pendiam, dia gemar meneliti perangai manusia dan berita politik di Malaysia.