Grab the widget  IWeb Gator

Friday, April 22, 2011

Pemuda sosialis bantah Skim Rumah Pertamaku

Skim Rumah Pertamaku dilancarkan oleh Perdana Menteri Najib yang antara lainnya membenarkan peminjam berusia kurang 35 tahun dan bergaji antara RM 1500 hingga RM 3000 untuk membuat pinjaman perumahan 100% untuk membeli rumah pertamanya dari RM 100,000 hingga RM 220,000 untuk tempoh pembayaran maksimum selama 30 tahun.


Sekiranya niat kerajaan adalah untuk merealisasikan pemilikan rumah untuk golongan muda, maka skim ini adalah satu sandiwara yang tidak melucukan kerana:

1. Skim ini tidak boleh menjadi pratikal kepada lebih 1.3 juta pekerja Malaysia yang berpendapatan di bawah RM 700 iaitu paras kemiskinan negara sepertimana yang diumumkan oleh Menteri Sumber manusia baru-baru ini di mana anggaran pekerja muda bawah 35 tahun melebihi 60% daripada jumlah tersebut.

2. Pinjaman untuk sebuah rumah yang berharga sekurang-kurang RM 100,000 menyebabkan anda perlu membayar RM 632 sebulan untuk tempoh 30 tahun.  Ini merupakan lebih kurang 42% daripada gaji minima RM 1500 yang diharuskan padahal salah satu syarat lain skim ini ialah bayaran bulanan seharusnya tidak melebihi 1/3 atau 33% daripada gaji bulanan.  Mengelirukan dan membebankan.  Adakah kita tahu bahawa, untuk sebuah rumah berharga RM 100,00 dan dikenakan kadar 6.5% bunga, kita akan membayar RM 227,544 atau lebih dua kali ganda harga asal rumah tersebut.

3. Pada masa ini, tumpuan pemaju adalah untuk membina rumah bernilai lebih RM 100,000 kerana keuntungan yang senang diperoleh.  Statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Parlimen menunjukkan sehingga akhir tahun 2010, pemaju membina hampir 68% rumah-rumah di Malaysia dengan harga RM 100,000 ke atas dan ini jelas menunjukkan golongan pemaju ini terlalu terdesak untuk menjual rumah-rumah yang dibinanya padahal majoriti golongan muda di negara ini yang merupakan kuasa utama pembeli rumah tidak mampu untuk membayar pinjaman perumahan yang tinggi serta syarat-syarat seperti pembayaran pendahuluan 10% dan sebagainya sebelum ini yang jelas menghalang mereka untuk membeli rumah bernilai tinggi.

Pemuda Sosialis menentang skim ini kerana berpendapat Kerajaan Malaysia seharusnya:

a. Pertama, melaksanakanlah Skim Gaji Minima RM 1500 yang disyorkan oleh kumpulan pekerja seperti Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) dan MTUC.  Punca utama rakyat tidak mampu membeli rumah ialah kerana gaji yang tidak mencukupi dan pada masa yang sama harga barangan keperluan asas meningkat tinggi.  Inikan pula dengan polisi neoliberal kerajaan BN yang menswastakan dan meninggikan harga perkhidmatan asas seperti air, elektrik, kesihatan dan pendidikan.

b. Kedua, membina Skim Perumahan Selesa Mampu Miliki untuk rakyat majoriti yang masih berpendapatan rendah.  Ini bermaksud kami mengesyorkan harga rumah seharusnya disubsidi dan dijual tidak melebihi RM 25,000.  Ini memang mampu dilakukan oleh kerajaan Malaysia yang sanggup membayar tiga kali ganda untuk kereta perisai yang sepatutnya berharga RM 10 juta.  Didapati projek kereta perisai tersebut bernilai RM 8 billion.  Satu kalkulasi kecil menunjukkan untuk nilai tersebut, kerajaan boleh membina 160,000 rumah murah yang berharga RM 50,000 sebuah.  Dan kita boleh membina 720 buah rumah-rumah tersebut untuk setiap kawasan Parlimen di Malaysia.

Golongan muda harus memahami polisi sebegini yang akan menjeratkan mereka ke dalam dunia penghutang yang terpaksa membayar sepanjang hidup mereka untuk harga rumah yang hanya menguntungkan golongan kaya.  Skim sebegini dimulakan untuk menyelamatkan kaum kroni yang mahu kekayaan cepat dengan menjual rumah-rumah yang mahal yang tidak dapat dijual di pasaran kerana kuasa membeli rakyat yang semakin menurun.

Kita perlu sedar bahawa polisi kerajaan BN hanyalah berpaksikan keuntungan kepada kaum majikan dan ia terbukti dengan lebih 68% daripada rumah yang dibina di Malaysia adalah melebihi RM 100,000 padahal kaum pekerja muda yang majoritinya berpendapatan rendah langsung tidak mampu untuk membeli rumah-rumah tersebut.  Maka, kaum pekerja muda harus menentang polisi ini dan memperjuangkan Skim Gaji Minima dan Perumahan Selesa Mampu Miliki yang mampu menjamin masa depan kita.

Hidup Anak Muda…. Hidup Perjuangan.

*Kenyataan media oleh Kartigesu. Mn selaku Pengerusi Pemuda Sosialis, PSM. merdekareview
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular