Grab the widget  IWeb Gator

Thursday, April 21, 2011

Skim Perlindungan Takaful : Keprihatinan Kerajaan Selangor Dihargai


GOMBAK 21 April - Ketua Kampung seluruh Negeri Selangor menerima berita gembira apabila Kerajaan Negeri mengumumkan memberi caruman takaful dengan nilai pampasan sebanyak RM30,000 baru-baru ini.

Ketua Kampung Tengah, Edrus Mohd Yusof, 56, berkata, dia bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada pimpinan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) dengan memberi skim perlindungan ini kepada semua ketua kampung.
“Skim terbabit memang wajar diberi memandangkan tugas ketua kampung amatlah berat terutamanya apabila berdepan dengan pelbagai kerenah.
“Dengan pendapatan elaun ketua kampung yang tidak seberapa, kebanyakan ketua kampung tidak mampu untuk membeli insurans nyawa walaupun ia sangat penting. Pemberian ini sangatlah bernilai kepada saya dan keluarga,” katanya.
Ketua Kampung Changkat, Zainal Abidin Abu Bakar, 53, berkata, dia tidak pernah terfikir akan menerima kenaikan elaun RM450 kepada RM800 baru-baru ini dan ditambah pula menerima caruman takaful sebanyak RM30,000.
“Saya menerima pemberian ini sebagai rezeki yang ditentukan Allah di bawah pimpinan Kerajaan Negeri Selangor yang sentiasa memikirkan kebajikan rakyatnya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih di atas seluruh kepimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bersama barisan kerajaan PR yang berterusan memikirkan kebaikan rakyat negeri ini,” katanya.
Ketua Kampung Mulia, Ampang, Zubir Din, 56, berkata, dengan pemberian skim takaful yang diberikan kepada ketua kampung ini menunjukkan kerajaan PR mengamalkan konsep negeri berkebajikan.
“Tugas ketua kampung sebenarnya amat mencabar dan dengan adanya skim caruman takaful ini sedikit sebanyak dapat menjaga kebajikan keluarga,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali berkata, dengan pemberian caruman takaful RM30,000 kepada semua ketua kampung di Negeri Selangor ini menunjukkan Kerajaan PR mengamalkan negeri berkebajikan dengan setiap hasil negeri dipulangkan kepada rakyatnya.
“Kenyataan pihak pembangkang yang menyatakan konsep yang diamalkan Kerajaan PR dengan memberi kebajikan kepada rakyat akan membuat negara menjadi muflis adalah tidak benar sama sekali.
“Ini kerana hanya dalam tempoh tiga tahun PR memerintah tanpa bantuan Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri Selangor mencatat pelaburan tertinggi sebanyak RM6.533 bilion pelaburan keseluruhan, 245 projek dan 16,966 peluang pekerjaan.
“Ini mencerminkan kekuatan kerajaan PR dengan menunjukkan pengurusan kewangan yang tulus dan penuh bertanggungjawab,” katanya.
Menurutnya, skim takaful yang diberikan kepada ketua kampung juga menunjukkan keprihatinan Kerajaan PR terhadap keselamatan mereka.
-Sinar Harian-
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular