Grab the widget  IWeb Gator

Monday, March 21, 2011

DUN Sarawak dibubar hari ini, SPR mesyuarat Rabu

KUALA LUMPUR, 21 Mac — Dewan Undangan Negeri Sarawak akan dibubar  hari ini — membuka laluan kepada pilihan raya negeri ke-10 selepas teka-teki dan spekulasi yang berlarutan kira-kira setahun.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas di Kuching Rabu ini bagi menentukan tarikh pilihan raya.
Sabtu lalu, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata, beliau telah mengunjungi Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng Khamis lalu bagi mendapatkan persetujuannya untuk membubarkan dewan.
Notis pewartaan pembubaran akan dibuat hari ini.
Ramai menjangkakan penamaan calon dan pengundian akan diadakan pada 6 dan 16 April ini.
Fasal (4) Perkara 21 perlembagaan negeri memperuntukkan bahawa pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri.
SPR perlu mengadakan mesyuarat dalam tempoh 10 hari sejak wujud kekosongan untuk menentukan tarikh pilihan raya.
Mandat semasa Dewan Undangan Negeri Sarawak yang memperuntukkan 71 kerusi akan tamat pada 23 Julai ini.
Pilihan raya negeri yang lepas diadakan pada 20 Mei 2006.
Ia adalah pilihan raya negeri terakhir bagib Taib dan yang pertama bagi Datuk Seri Najib Razak menjadi perdana menteri.
Sabtu lalu ketika mengumumkan tarikh pembubaran, Taib yang genap 30 tahun menerajui pentadbiran Sarawak Sabtu ini  turut melahirkan hasrat untuk berundur sebagai ketua menteri, menyatakan beliau  bercadang berbuat demikian sejak 2006 tetapi terpaksa menangguhkannya kerana tidak dapat dilaksanakan.
Najib juga hadir pada sidang media Sabtu lalu ketika Taib mengumumkannya di Kuching.
Ketika ini, BN negeri menguasai 63 daripada 71 kerusi selepas Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Engkilili, Dr Jonical Rayong Ngipa, yang bertanding atas tiket parti pembangkang Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), menyertai BN tahun lepas.
DAP menguasai enam kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan  Parti Cinta Malaysia (PCM), menerusi wakil rakyat Bebas, masing-masing menguasai satu kerusi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular