KUALA LUMPUR: Perdana Menteri hendaklah didakwa atas tuduhan menghina mahkamah, kata ketua pasukan peguam bela perbicaraan Fitnah II, Karpal Singh.
Menurut Karpal, tuntutan itu berikutan campur tangan Datuk seri Najib Razak kerana memberi komen berkaitan kes ini dengan meminta Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sampel DNA beliau.
Karpal membuat permohonan tersebut semasa membentangkan hujah balasnya bagi menolak permohonan pendakwa minggu lepas untuk mahkamah menyemak semula penolakan tiga barang sebagai bukti termasuk permohonan mereka yang mahu Anwar menyerahkan sampel DNAnya.
Bagaimanapun Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamad Zabidin Mohd Diah hanya berpura-pura tidak mendengar permohonan Karpal dan meminta Peguam Cara Negara II, Mohd Yusof Zainal Abiden untuk memberikan hujah balasnya terhadap pembentangan Karpal pagi ini.
Menurut Mohd Yusof, DNA adalah elemen paling hampir dengan cap jari manusia yang unik.
Atas alasan itulah katanya, pendakwa raya memohon mahkamah untuk mengarahkan Anwar memberikan DNA beliau.
Karpal membalas kenyataan Mohd Yusof dan berkata bahawa Akta Bukti belum lagi dipinda untuk memasukkan DNA sebagai salah satu perkara yang boleh didapatkan di mahkamah tanpa izin tertuduh.
Mohamad Zabidin berkata, beliau tidak dapat memberikan keputusan hari ini dan hanya akan berbuat demikian Rabu ini.
“Amat jelas saya tidak dapat memberikan keputusan hari ini. Saya memerlukan masa untuk meneliti perkara ini.
“Jika peguam bela berpendapat piahk anda mempunyai kes, anda boleh memfailkannya kepada unit pengurusan di mahkamah,” kata Mohamad Zabidin.
Terdahulu, Karpal berkata, peguam bela tidak mempertikaikan bahawa keputusan bicara-dalam-perbicaraan boleh disemak semula.
Namun, katanya dakwaan Anwar bahawa beliau ditahan secara tidak sah tidak pula dicabar pendakwa raya sebelum ini.
“Seksyen 62 Akta Bukti tidak memberikan kuasa kepada mahkamah untuk mengarahkan mana-mana tertuduh menyerahkan sampel DNA mereka,” kata Karpal.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=9419