Grab the widget  IWeb Gator

Tuesday, February 15, 2011

HAKIKAT PILIHANRAYA & PENILAIANNYA MENURUT SYARA'



Pada asasnya, pilihanraya difahami sebagai proses pemilihan pimpinan - yang membentuk sebuah pemerintahan, daerah mahupun negara. Namun secara nisbinya, pilihanraya merupakan satu mekanisme kepada peraihan kekuasaan dari rakyat di dalam mana-mana negara yang menjalankan prinsip demokrasi (kebebasan). Tradisi memilih dan mengganti pemimpin hanyalah melalui kutipan suara majoriti atau pilihanraya samada di peringkat negeri mahupun Parlimen. Cara ia dijalankan bergantung pada jenis pemerintahan. Kebanyakan sistem politik demokrasi, beberapa jenis pilihanraya boleh didapati, bergantung kepada lapisan pemerintahan atau sempadan geografi.


Di sisi syara', pilihanraya merupakan suatu bentuk aqad wakalah (perwakilan). Penyempurnaan aqad wakalah mesti memenuhi rukun-rukunnya, iaitu:
1. Ijab dan qabul
2. Muwakkil - pihak yang mewakilkan
3. Wakil - pihak yang mewakili
4. Perkara yang diwakilkan
5. Bentuk redaksi akad perwakilannya (sighat tawkil)

Ini berdasarkan kepada beberapa dalil dari hadis; Dari Jabir bin Abdillah. Ia menuturkan, "Aku hendak berangkat ke Khaibar, lalu aku menemui Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam. Baginda kemudian bersabda : Jika engkau menemui wakilku di Khaibar maka ambillah olehmu darinya lima belas wasaq." [HR Abu Daud] Dan dalam peristiwa Bai'at 'Aqabah II, Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam meminta 12 orang sebagai wakil dari 75 orang Madinah ketika itu yang dipilih oleh mereka sendiri. Riwayat ini juga menunjukkan bahawa Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam melakukan proses perwakilan (wakalah). Dengan demikian, hukum asal wakalah dalam syariat Islam adalah harus (boleh). Sementara yang menjadi isu utama dalam menetapkan hukum pilihanraya itu adalah 'perkara yang diwakilkan' yang merupakan objektifnya, jika kita pasti bahawa calon yang kita undi itu dapat memastikan dirinya tidak terlibat dalam proses pembuatan undang dan melakukan aktiviti yang sesuai dengan syariat, maka bolehlah kita datang mengundi untuk beliau, namun jika tidak adalah haram untuk bersubahat melantik menjadi wakil kepada benda yang diharamkan, berasaskan Kaedah, Al-wasilatu ila haraam, muharramah (Sesuatu yang membawa kepada keharaman, maka ianya juga haram)

Dalam konteks umat Islam melakukan aktiviti politik menegakkan syari'at Islam melalui institusi negara (Khilafah), adalah perlu ditegaskan dua prinsip: Pertama, bahawa aktiviti seseorang muslim wajib bersandar kepada hukum syara', bukan bersandar kepada selainnya, seperti kemaslahatan, hawa nafsu, atau logik. Kerana itu, perjuangan umat untuk mendirikan Khilafah wajib didasarkan kepada hukum-hukum syara' dan tidak boleh didasarkan kepada pertimbangan-pertimbangan yang tidak syar'i. Keterikatan kepada syariat Islam adalah kewajiban tiap muslim. Kedua, bahawa umat Islam wajib mengambil suri teladan (uswatun hasanah) dari Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam dalam masalah ini. Ini adalah kerana, Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa sallam telah memberi teladan bagaimana caranya untuk mengubah masyarakat jahiliyah menjadi masyarakat Islam. Kita wajib meneladani manhaj (jalan) Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam ini. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala bermaksud: "Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kalian, (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan kedatangan Hari Kiamat, dan dia banyak menyebut Allah (dengan membaca zikir dan mengingat Allah)." [TMQ Al-Ahzab [33]: 21]

Secara asasnya, pilihanraya bukanlah suatu keharaman dalam Islam. Ia hanyalah suatu mekanisme (proses) yang boleh digunakan (selama mana tidak ada unsur penipuan) bagi tujuan yang dibenarkan yakni membentuk Majlis Ummat dan mencalonkan seorang Khalifah yang akan dibai'at oleh sekalian umat Islam sebagai pemimpin umum mereka. Namun ianya bukan Thariqah Rasulullah untuk meneggakan Negara Islam. Apa yang menjadi percanggahan di sisi syara' sekarang adalah pilihanraya disalahguna sehingga ia dijadikan satu-satunya jalan untuk membentuk sebuah majlis legislatif yang berfungsi sebagai penggubal undang-undang kehidupan selain dari wahyu (Allah) . Barat menjajakan demokrasi ke negara-negara Islam dengan bertopengkan kepada pilihanraya, lantas bila umat mengambil pilihanraya mereka juga mengambil pakej bahawa kedaulatan di tangan rakyat yang mana kuasa rakyatlah yang memilih sistem mana yang mereka inginkan, tambahan pula sikap kuku besi pemerintahan menjadi pemangkin kepada penyuburannya demokrasi ini. Selagi kapitalisme dan demokrasi menjadi asas sistem yang memancarkan undang-undang yang mengatur urusan rakyat, selagi itulah Islam tidak akan berjaya diterapkan sepenuhnya. Bahkan Barat akan cuba sedaya upaya untuk mempertahankan sistemnya agar ia terus diterapkan, walau dengan apa cara sekalipun (meskipun dengan cara yang bertentangan dengan aspirasi kebebasan (demokrasi) itu sendiri). Sayugia diingatkan bahawa bukan pilihanraya menjadi isu, tapi yang menjadi isu adalah layakah kita menjadikan suara majoriti manusia se bagai asas pembuatan peraturan hidup kita, Apakah kita berhak mengundi hukum Allah? "Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan rasul-Nya Telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. dan barangsiapa mendurhakai Allah dan rasul-Nya Maka sungguhlah dia Telah sesat, sesat yang nyata" . [TMQ Al-Ahzab, 33:36]

Wallahua'lam

Sila Layari : PilihanRaya dan Syara'
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular