Grab the widget  IWeb Gator

Monday, January 3, 2011

SAMBUTAN 21 TAHUN PERDAMAIAN: UCAPAN PENGERUSI


 (Ucapan Pengerusi Majlis Merayakan 21 Tahun Perdamaian, Kawan Indradjaja)

Pengerusi majlis, Kawan Indradjaja 
Assalamualaikum warahmatullahi wabarahkatuh.
Kawan Pimpinan yang dihormati,
Kawan-kawan dan saudara-saudari yang dikasihi,

Hari ini, kita, segenap anggota Kampung Chulabhorn Pattana Ke-12, yang terdiri daripada bekas anggota Rejimen Ke-10 dan anggota-anggota keluarga mereka, berkumpul di dewan ini untuk memperingati ulangtahun ke-21 ditandatanganinya Perjanjian Damai Hadyai 2 Disember Tahun 1989 dan sekaligus menyambut Tahun Baru Tahun 2011. 
Pada hari yang penuh erti ini, pertama-tama izinkanlah saya mengucapkan Selamat Tahun Baru 2011, semoga Tuhan Yang Maha Esa mengurniakan hasil-hasil yang lebih cemerlang kepada kita di masa-masa mendatang. Insya Allah.

Kawan-kawan dan saudara-saudari yang dihormati,

21 tahun yang lampau, Kawan Chen Ping telahpun memberikan satu kesimpulan yang amat ringkas tetapi sangat jelas berkenaan ditandatangani Perjanjian Damai Hadyai bahawa “ia adalah kemenangan bersama ketiga-tiga pihak iaitu Kerajaan Malaysia, Kerajaan Di Raja Thailand dan PKM”. Dengan ditandatanginya perjanjian damai tersebut, maka tamatlah bentrokkan bersenjata antara pihak TRM di bawah pimpinan PKM dengan kerajaan penjajah British yang berlangsung sejak tahun 1948 dan dengan Kerajaan Malaysia yang berlangsung sejak tahun 1957.

Ditandatanginya Perjanjian Damai Hadyai, membuktikan bahawa PKM adalah sebuah parti yang benar-benar cintakan perdamaian, di samping itu adalah sebuah parti yang amat berpegang pada prinsip keadilan. Ia hanya memiliki satu cita-cita yang luhur, iaitu mengusir kaum penjajah dari bumi tanah air kita dan mendirikan satu masyarakat yang lebih adil dan demokrasi di bumi persada itu.

Perang Dunia Ke-2 telah mendatangkan malapetaka dan penderitaan yang amat hebat kepada rakyat negara-negara tanah jajahan dan telah amat meningkatkan kesedaran mereka. Maka itu, setelah tamatnya Perang Dunia Ke-2, perjuangan anti-penjajah dan kemerdekaan telah menggelora di negeri-negeri tahan jajahan baik di Asia, Afrika dan Amerika Latin. Misalnya, perjuangan rakyat di Palestin melawan penjajah British dan Zionis Israel, Mesir melawan penjajah British dan Aljeria melawan penjajah Perancis, perjuangan rakyat di Tiongkok melawan kaum reaksioner Chiang Kai-sek yang mewakili kepentingan kaum imperialis, Vietnam melawan penjajah Perancis dan kemudiannya imperialis Amerika, India melawan pejajah British, Burma melawan penjajah British, Indonesia melawan penjajah Belanda dan Filipina melawan imperialis Amerika, dan lain-lain lagi.

Malaya juga bergolak, berbagai kekuatan patriotik dan demokratik telah melancarkan perjuangan damai untuk membela kepentingan rakyat. Selogan “merdeka” yang pertama-tama diserukan oleh PKMM telah mendapat sambutan dan sokongan hangat semua parti dan pertubuhan yang patritik dan demokratik dan rakyat luas. Justeru di bawah keadaan sedemikianlah, demi untuk memelihara kepentingan ekonominya yang terpenting di Timur Jauh, iatu Malaya yang kaya-raya dengan sumber alam terutamanya getah dan timah, pada bulan Jun tahun 1948, penjajah British akhirnya memutuskan untuk terlebih dahulu bertindak mengisytiharkan “Undang-undang Darurat” di seluruh Malaya. PKM, PUTERA-AMCJA dan pertubuhan-pertubuhan partiotik-demokratik anti-penjajah yang lainnya telah diharamkan. Puluhan ribu bahkan lebih ramai lagi pemimpin dan aktivis berbagai kaum yang anti-penjajah bahkan rakyat biasa telah ditangkap, dibuang negeri atau dibunuh. Dengan demikian, semua jalan ke arah perjuangan damai telah ditutup. PKM dan aktivis-aktivis kiri anti-penjajah yang patritik dan demokratik terpaksa beralih ke bawah tanah dan masuk ke hutan, mengangkat senjata dan melancarkan perjuangan bersenjata.

Demikian juga, kita terpaksa melanjutkan perjuangan bersenjata sejak tahun 1957, kerana penjajah British dan Kerajaan Tunku Abdul Rahman yang dikendalikannya sebenarnya tidak berniat langsung untuk menamatkan perang dalam Perundingan Baling pada tahun 1955.

Masalah ini akhirnya baru berhasil diselesaikan pada Disember tahun 1989, secara adil dan munasabah, setelah peperangan ini berlarutan selama 40 tahun lebih. Itupun atas pertolongan atau jasa baik Kerajaan Di Raja Thailand.

Kawan-kawan dan saudari-saudiri yang dihormati,

Selama 21 tahun masa perdamaian dan pembangunan ini, anggota-anggota Kampung Perdamaian Sukhirin ataupun sekarang ini disebut Kampung Chulabhorn Pattana Ke-12 telah menempuhi berbagai keliku-likuan, pahit-maung dan susah-payah.

10 tahun pertama berdamai dan membangun kampung adalah masa yang paling kritis dan susah-payah. Kita harus melalui masa peralihan daripada sistem kolektif yang tadinya diamalkan dalam pasukan kita kepada sistem perseorangan keluarga; kita harus belajar menyesuaikan diri kita dengan masyarakat luar di samping berusaha memelihara keistimewaan kita sendiri; kita harus mengkaji dan mempelajari banyak hal-hal baru yang tidak pernah kita hadapi sebelum ini; sedangkan kita sebenarnya cuma sehelai sepinggang.

Dengan tulang 4 kerat, kita telah meneroka hutan belantara tropika yang tebal ini. Demi hari depan dan jenerasi baru, segenap kawan dan saudara-saudari kita bekerja keras tak kira siang tak kira malam. Kita diserang berbagai penyakit, kita bekerja dengan kelengkapan-kelengkapan yang amat sederhana, kita miskin tiada wang.

Selama 21 tahun ini, setengah kawan yang tadinya berumur antara 20-an, sekarang sudah 40-an; yang tadinya 30-an dan 40-an, sekarang sudah berumur 50-an dan 60-an; kawan yang dulunya tergolong kawan lama atau berumur pun sekarang sudah berumur 80-an, bahkan ada yang berumur 90 ke atas. Puluhan kawan telah meninggal dunia meninggalkan kita. Kesemua ini adalah hukum alam yang tak terelakkan. Kebanyakan kawan telah memiliki anak, bahkan ada yang memiliki cucu. Pendek kata, bukan mudah bagi kita melalui 21 tahun ini. Ada pahit-maung juga ada manis-masinnya, ada kesedihan juga ada kegembiraannya.

Di sini, kita secara khas menyatakan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada Kerajaan Di Raja Thailand, pihak istana dan Tuan Puteri Chulabhorn kerana sanggup menerima kita, memberikan kita tanah untuk bercucuk tanam, memberikan kita rumah untuk tempat kediaman, memberikan kita kewarganegaraan, memberikan kita berbagai kelengkapan asas seperti jalan raya, lektik, bekalan air paip dan kelengkapan air bersih, sekolah, masjid, klinik dan sebagainya serta berbagai-bagai bantuan.

Kita telah berjaya membangun kampung kita ke taraf yang boleh dikatakan agak maju dan agak baik selama 21 tahun ini. Bagaimanapun, pembangunan kampung kita masih agak lemah jika dibandingkan dengan 3 kampung perdamaian yang lain, terutama di segi pembangunan ekonomi. Kelemahan adalah kekurangan, akan tetapi jika dikaji dari sudut lain, ia adalah pertanda bahawa kita masih mempunyai banyak ruangan untuk memajukan kampung kita ke taraf yang lebih baik, terutamanya di segi ekonomi.

Dalam masa yang tidak lama lagi, ekonomi kampung kita pasti akan mencapai taraf yang lebih tinggi.

Perjuangan kita bukan sahaja di bidang ekonomi dan kehidupan. Sebagai bekas anggota TRM pimpinan PKM, kita patut memiliki taraf ideologi yang lebih tinggi daripada orang biasa. Bersamaan itu, kita juga patut memelihara dan mengembangkan tradisi dan keistimewaan kita di bawah era perdamaian ini dan mewariskannya kepada jenerasi baru kita, supaya mereka menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat.

Kawan-kawan dan saudara-saudari yang dihormati,

Marxisme dan sosialisme yang kita pelajari dulu tidak ketinggalan zaman. Ilmu pengetahuan milik seluruh umat manusia. Kebenarannya semakin terbukti seiring dengan kemajuan dunia. Kontradiksi-kontradiksi dunia tetap wujud. Masalah Palestin yang wujud setengah abad yang lampau masih tak terselesaikan. Krisis ekonomi dan kewangan bukan sahaja berlaku secara berkala bahkan semakin acap dan semakin teruk.

Buku Das Kapital karya Karl Marx bukan sahaja dibaca oleh kaum revolusioner dan pakar ekonomi, tetapi juga dibaca oleh semakin ramai pembesar-pembesar negara dunia kapitalis. Mereka terpaksa mengakui bahawa apa yang ditulis dalam buku ini adalah benar dan mereka ingin mencari cara-cara untuk menyelesaikan krisis dunia kapitalis dari buku tersebut di samping mempertahankan sistem kapitalis yang mereka amalkan sekarang.

Krisis ekonomi dan kewangan yang bertubi-tubi telah menghumban rakyat ke jurang kemiskinan dan pengangguran. Gelombang tunjuk perasaan dan pemogokan besar-besaran yang melibatkan puluhan ribu bahkan ratusan ribu orang berlaku silih berganti di negara-negara dunia kapitalis. Kaum buruh bahkan beramai-ramai menyanyikan Lagu Internasional semasa mengadakan tunjuk perasaan.

Kemajuan masyarakat adalah perkembangan arus sejarah yang tidak dapat diubah oleh kemahuan manusia. Mewujudkan satu masyarakat yang lebih adil dan lebih baik tetap merupakan cita-cita rakyat sedunia.

Sekian.

Wassalam.
KINI DAN SILAM url: http://matamin02.blogspot.com emai: matamin48@live.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular