Tuesday, 21 December 2010 | Ruangan: Berita
RAWANG, 21 Dis - Wakil Masjid Nurul Iman, Rawang, mengesahkan tanah tapak Surau Al-Hidayah kekal sebagai tapak surau, selain menafikan dakwaan ketidakperihatinan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengenai isu merobohkan surau tersebut.
Justeru pihak masjid mengumumkan segala urusan rumah ibadah Islam harus dirujuk kepada pentadbiran masjid yang telah diberi mandat oleh DYMM Sultan Selangor Darul Ehsan.
Menurut Nazir Masjid Nurul Iman, Ilham Akhbar Harun, tanah rezab tapak masjid itu mesti dipertahankan kerana dokumen dari Pejabat Tanah & Daerah Gombak mengesahkan tanah seluas 13,885 kaki persegi tersebut telah direzabkan sebagai tanah rezab tapak masjid pada 12 Mac 1920.
Tambah beliau lagi, sebarang tindakan yang meminggirkan peranan masjid dan mempunyai agenda-agenda yang tersembunyi haruslah diabaikan.
“Surau ini perlu kekal sebagai simbol dan warisan kecemerlangan identiti umat Islam di Bandar Rawang sejak 100 tahun lalu selain tapak itu merupakan kawasan yang strategik untuk perkembangan Islam setempat,” katanya.
Perjumpaan antara Wakil Pejabat Adun Rawang, Ahli Majlis MPS Zon 19 dan wakil masjid bersama Penghulu Mukim Rawang 1 dengan Mahumas Sdn Bhd, semalam, bersetuju untuk mengembalikan keseluruhan lot-lot tanah tersebut setelah ukuran sebenar diperolehi.
Sebelum ini syarikat Mahumas Sdn Bhd mengeluarkan notis pengosongan tapak perniagaan dan aktiviti di kawasan itu bertarikh 19 Oktober 2010 selepas mendakwa keseluruhan 8 lot tanah tersebut adalah milik mereka namun tidak secara terperinci menjelaskan berkenaaan isu pencerobohan tapak surau.
Namun pentadbiran Masjid Nurul Iman berpendirian surau tersebut harus dikekalkan seperti sedia ada dan notis pengosongan tersebut adalah terbatal secara sah.