Dalam sejarah politik negara belum pernah wujud situasi di mana sebilangan besar rakyat asyik menunggu sahaja supaya pilihan raya umum diadakan. Fenomena hati berdebar-debar ini boleh dipandang dari dua sudut. Dari sudut positif, tanda-tanda peningkatan dalam tahap kematangan masyarakat kita sebagai satu demokrasi yang giat dan sihat. Di antara lain: - Peningkatan tahap kesedaran awam tentang prinsip-prinsip urus tadbir negara. Kepentingan isu-isu integriti, akauntabiliti, ketelusan telah mula dibicarakan secara terbuka bukan sahaja di Parlimen tetapi juga di kalangan khalayak ramai;
- Perbincangan umum isu-isu yang sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada tahun 2008 dianggap sensitif seperti Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, ketuanan atau kedaulatan Melayu, negara sekular atau negara Islam, dan sebagainya;
- Tumpuan luar biasa terhadap pendaftaran dan pendidikan pengundi bukan sahaja oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi juga oleh parti-parti politik dan beberapa golongan masyarakat sivil;
- Kebangkitan kaum mahasiswa menuntut hak untuk melibatkan diri dalam proses politik dan isu kemasyarakatan serta menentang Akta Universiti dan Kolej Universiti;
- Kegiatan beberapa golongan masyarakat sivil mendidik masyarakat mengenai lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan serta hak asasi warga negara;
- Kerelaan parti pemerintah untuk mendapat maklumbalas rakyat secara langsung terhadap pelan-pelan pembangunan seperti Model Ekonomi Baru serta inisiatif baru untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat melalui program-program tertentu;
- Kesanggupan parti-parti politik untuk memperjuangkan hak rakyat melalui kempen anti-ISA, anti-potongan subsidi, mengkaji semula penswastaan utiliti dan lain-lain;
- Timbulnya kecenderungan di kalangan ‘diaspora’ (warga Malaysia yang menetap di luar negara) yang ingin menyertai proses demokrasi seperti Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM)1 dan Malaysians Overseas Voters.2
Sebaliknya ada juga beberapa perkembangan negatif yang menyimpang daripada matlamat murni penubuhan negara bangsa dan yang mengancam keharmonian masyarakat dan perpaduan negara seperti: - Beberapa usaha untuk menyemarakkan perasaan perkauman yang terpendam menerusi ‘kejadian-kejadian’ di Shah Alam (demonstrasi ‘kepala lembu’), pembakaran gereja Metro Tabernacle, kepala babi hutan dilontarkan ke dalam perkarangan surau Taman Sri Sentosa;
- Kemunculan pertubuhan-pertubuhan sukarela dan bukan-kerajaan (NGO) yang menekankan kepentingan hak kaum tertentu dengan menyuarakan isu-isu perkauman;
- Kemelut politik ekoran daripada usaha mengekal atau merampas kuasa seperti yang terjadi di Perak;
- Kesanggupan institusi-institusi negara (yang seharusnya neutral dan berkecuali) untuk campur tangan secara langsung atau tidak langsung dalam proses politik;
- Golongan-golongan tertentu khususnya di Sabah dan Sarawak sudah mula mempersoalkan pelaksanaan Perjanjian Persekutuan 1963;
- Keghairahan media arus perdana mahupun media alternatif yang menyokong kepentingan parti-parti politik serta memainkan peranan sebagai juara bangsa dan agama.
Walaupun tanda-tanda yang disebutkan adalah lumrah dalam sesuatu sistem demokrasi, malangnya ia juga menunjukkan bahawa kita masih terikat dengan satu suasana kuat berpolitik dan kurang menitikberatkan isu-isu urus tadbir baik.
Sebut politik, sebut kuasa Barisan Nasional berhasrat untuk mengekalkan kuasa dan meneruskan pemerintahannya, seboleh-bolehnya dengan majoriti dua-pertiga. Parti-parti dalam Pakatan Rakyat pula berhasrat untuk mengambilalih kuasa di Putrajaya. Perkembangan di peringkat masyarakat sivil pula amat menarik. Ada golongan yang menyokong pemantapan sistem dua parti. Ada juga yang berharap PR boleh menumbangkan BN. Dan kini muncul pula pergerakan baru seperti MCLM yang berhasrat memperbaiki sistem politik supaya kuasa sebenar adalah sentiasa dalam tangan rakyat.
Reaksi rakyat pula berbeza-beza. Ada yang menaruh harapan terhadap peralihan kuasa di Putrajaya. Ada juga yang hendak mengekalkan BN demi mengelakkan kekecohan. Namum ada juga warga, khususnya golongan muda, yang sudah bosan dengan suasana berpolitik terlampau. Mereka kurang yakin dengan sistem demokrasi parlimen dan mempunyai sikap berbelah bahagi. Perkara yang merunsingkan ialah pemilih berdaftar mungkin memutus tidak akan keluar mengundi atau mahu merosakkan undi mereka. Meneliti keputusan PRU12 seperti dipaparkan dalam jadual di bawah akan dapat membantu kita dalam meramal golongan manakah yang mungkin mempengaruhi keputasan PRU13 kelak.
| Bilangan | % | Bil.Kerusi |
Jumlah yang layak menjadi pemilih | 15,000,000 | 100 | - |
Jumlah pemilih berdaftar | 10,922,139 | 72.8 | - |
Jumlah pemilih keluar mengundi
| 8,161,039 | 54.4 | - |
Jumlah undi untuk BN | 4,081,115 | 27.2 | 140 |
Jumlah undi untuk PR
| 3,786,732 | 25.3 | 82 |
Secara amnya beberapa rumusan boleh dibuat daripada data di atas: - Kerajaan BN kini adalah pilihan 27.2% pengundi;
- Pakatan Rakyat pula menjadi pilihan 25.3% pengundi;
- Sejumlah 2.8 juta pemilih yang berdaftar tidak keluar mengundi; dan
- Lebih kurang 4 juta warga yang layak mendaftar sebagai pemilih belum lagi berbuat demikian.
Atas andaian bahawa penyusunan semula bahagian pilihan raya tidak akan disempurnakan sebelum PRU13, realitinya ialah hasil PRU13 hanya akan ditentukan oleh 9 juta pemilih daripada 12 juta yang dijangka memiliki status pemilih berdaftar menjelang Januari 2011. Kiraan ini adalah berdasarkan purata nasional 75% yang biasa keluar undi dalam sesuatu pilihan raya. Perbezaan pemilih yang akan keluar mengundi di PRU 13 akan datang berbanding PRU12 yang lepas adalah lebih kurang 900,000 orang. Parti-parti politik bersungguh-sungguh cuba mempengaruhi pemilih baru dan atas pagar. Dalam scenario ini terdapat tiga pola perkembangan semasa yang akan mempengaruhi keputusan muktamad PRU13. i. Peningkatan ketara dalam bilangan anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela). Mengikut kenyataan Menteri Dalam Negeri jumlah anggota Rela telah meningkat daripada 556,286 orang pada bulan April 2009 kepada 2,042,215 orang pada bulan Oktober 2010.3 Ini bermakna keanggotaan Rela telah bertambah hampir empat kali ganda hanya dalam tempoh 18 bulan! Timbalan Menteri Dalam Negeri pula telah mengumumkan bahawa Rela mensasarkan keanggotaan 2.6 juta sebelum akhir tahun 2010.4
Disamping itu, kerajaan juga mengumumkan sasaran Rela untuk melaksanakan program ‘1Platun, 1Kampung, 1Taman’. Sekiranya anggota Rela dibahagikan secara purata kepada 222 kawasan pilihan raya Parlimen, ini bermakna setiap kawasan akan mempunyai hampir 10,000 pengundi anggota Rela. Perkembangan ini memberi kesan kepada ‘equation’ pilihan raya oleh kerana undi sebahagian besar anggota Rela kepada parti kerajaan boleh dianggap sebagai ‘simpanan tetap’.
Tidak mungkin anggota Rela yang berperanan sebagai “mata dan telinga kerajaan” dan menjalankan tugas “geraksaraf khasnya dari segi mengawasi pihak-pihak yang dianggap sebagai musuh dalam selimut” akan memihak kepada parti pembangkang.5
ii. Keputusan kerajaan pada April 13, 2009 untuk menubuhkan batalion Askar Wataniah di setiap kawasan Parlimen, kononnya untuk memantapkan sistem pertahanan negara.6 Setiap platun terdiri daripada 300 orang ahli dan kerajaan mahukan supaya ada sejumlah 600,000 anggota Askar Wataniah secara keselurahannya. Mereka-mereka ini juga boleh dianggap sebagai pengundi simpanan tetap BN.
iii. Pengumuman pihak SPR bahawa hak undi pos akan dihulurkan kepada suami/isteri pasangan anggota tentera dan polis. Berdasarkan rungutan mengenai proses undi pos yang untuk sekian lama tidak telus, pengecualian yang diperkatakan ini barangkali akan juga mempengaruhi keputusan PRU13.
Dalam pada itu, jelas bahawa golongan terbesar yang tidak akan mempengaruhi hasil PRU13 ialah mereka yang tidak berdaftar sebagai pemilih walaupun layak – seramai lebih kurang 4.3 juta warga. Akan tetapi, satu perkembangan positif adalah sebilangan besar rakyat telah mula sedar bahawa kuasa sebenar adalah di tangan mereka. Brang sesiapapun yang menjadi pemerintah selepas PRU13 tidak boleh bermaharajalela lagi! |