KUALA LUMPUR, 27 Mac: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berpandangan pertuduhan dengan cara video klip tidak sah memandangkan ia dilakukan di luar lingkungan prosiding perundangan yang telah digariskan undang-undang Syariah.
Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz merujuk kepada isu panas yang melibatkan konspirasi Datuk "T" untuk menjatuhkan kredibiliti dan maruah seorang pemimpin pembangkang menerusi pendedahan klip video seks baru-baru ini.
Hal ini, katanya kerana dakwaan sedemikian adalah sesatu yang cukup berat untuk ditanggung oleh tertuduh memandangkan ia melibatkan harga diri, maruah, dan air muka individu berkenaan.
Lantaran itu, tambahnya disebabkan faktor berkenaan Islam telah menggariskan prosedur khusus dengan mensyaratkan empat orang saksi yang adil yang benar-benar melihat aksi sedemikian seperti melihat masuknya celak ke dalam penutupnya dan bukan dengan hanya sekadar menonton video yang samar-samar hitam putih.
Dalam pada itu, jelasnya dalam jenayah seperti hudud, pembuktian seharusnya dibuat bukan sekadar menjangkaui keraguan munasabah, tetapi menjangkaui sebarang bayang-bayang keraguan untuk memastikan tertuduh benar-benar bersalah dan bagi mengelakkan sebarang bentuk kezaliman kepada tertuduh.
Namun, jelasnya dalam perkembangan politik semasa, prinsip memelihara kemuliaan insan, maruah dan harga diri individu seringkali diabaikan apatah lagi ia dianggap sebagai senjata yang paling ampuh untuk menjatuhkan seseorang.
“Maka, demi memastikan agar prinsip ini terus subur dalam masyarakat, PKPIM menggesa agar eleman Qazaf yang mengenakan hukuman berat kepada penuduh jika gagal membawa empat orang saksi yang adil dimasukkan dalam Kanun Keseksaan supaya masyarakat kita akan mengambil sikap berhati-hati dalam membuat sesuatu dakwaan yang melibatkan maruah seseorang,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM bimbang situasi sedemikian akan meletakkan masyarakat berada dalam keadaan terumbang ambing dan hilang kredibiliti untuk menjadi masyarakat contoh.
Hal ini, ujarnya berlaku apabila senjata ini sudah dibudayakan setiap kali apabila berlaku pertelingkahan.