Grab the widget  IWeb Gator

Monday, February 21, 2011

Portfolio bukan Muslim: Guan Eng selar BN hipokrit

Harakahdaily   
PENANG, 21 Feb: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyelar pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang bersifat hipokrit dan bermain api perkauman atas usaha kerajaan negerinya menubuhkan portfolio baru bagi menguruskan hal ehwal agama bukan Islam.

Dengan merujuk kepada portfolio yang sama di dalam kerajaan Barisan Nasional di Perak, Guan Eng menyifatkan kebisuan pemimpin Barisan Nasional terhadap kerajaan Perak yang dipimpin Menteri Besar Zambry Abdul Kadir sebagai satu sikap talam dua muka hipokrit.

“Negeri Perak wujudkan portfolio bukan Islam yang sama dan diteruskan oleh Menteri Besar Zambry, mengapa Umno tidak mengutuk Zambry? Barisan Nasional talam dua muka bermain dengan api,” selar Guan Eng di Twitter.

Di Perak, Zambry masih meneruskan portfolio untuk bukan Islam yang diwujudkan oleh bekas Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebelum rampasan kuasa Barisan Nasional pada Februari 2009 dengan memberikan tanggungjawab tersebut kepada Mah Hang Soon dari MCA.

Sejak pengumuman penubuhan portfolio bukan Islam, Guan Eng dan kerajaan Pulau Pinang diserang tanpa henti oleh para pemimpin BN, termasuk bekas Ketua Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon yang menganggap portfolio baru bagi menguruskan hal ehwal agama bukan Islam hanya untuk mencari publisiti.

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia seperti biasa memainkan peranannya dalam mengapi-apikan sentimen perkauman dengan mendakwa bahawa portfolio bukan Islam tersebut bakal dijadikan alat oleh DAP untuk mengancam kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara.

“Portfolio bukan Islam Penang tidak menyoal kedudukan Islam sebagai agama rasmi Malaysia. Barisan Nasional sedang bermain api dengan pembantahan seolah-olah orang bukan Islam tidak mempunyak hak untuk menyelesaikan masalah sendiri,” tegas Guan Eng dalam menjawab tuduhan tersebut.

Tiada masalah - Mujahid

Sementara itu, ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat Dr Mujahid Yusuf Rawa menyokong penuh kewujudan portfolio itu sambil berkata ia adalah langkah yang wajar diambil oleh kerajaan Pakatan Rakyat untuk mengelakkan fitnah-fitnah agama yang boleh mencetuskan suasana tidak harmoni dalam negara.

“Bagi saya portfolio ini adalah satu tindakan yang tidak bertentangan dengan pentadbiran negara, yang mana kita ada portfolio menjaga hal ehwal agama Islam, jadi tiada masalah untuk wujudkan portfolio khas bagi menguruskan hal ehwal agama-agama bukan Islam di Pulau Pinang,” kata Mujahid yang dipetik oleh The Malaysian Insider.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Najib Razak mengingatkan umat Islam negara ini tentang soal pluralisme agama dengan mengatakan bahawa ia adalah bertentangan dengan kepercayaan Islam bahawa semua agama sama di depan Allah.

Dalam satu langkah yang disifatkan berbaur politik dari kaca mata penganalisa politik, Tan Sri Koh Tsu Koon telah mengeluarkan satu kenyataan untuk mentafsir kenyataan Najib.

“Saya fikir beliau merujuk dari sudut pandang teologi dan apa yang kita (kerajaan) telah lakukan adalah mempromosikan pemahaman yang lebih baik (melalui panel antara agama)," kata Koh di samping menegaskan kerajaan masih komited terhadap fungsi panel antara agama walaupun umum mengetahui sekian lama tidak menampakkan apa-apa hasil.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular