anwaribrahim Anwar Ibrahim
Mahkamah CCTV:apa isunya? Memang saya hadir bersama prof ariff,nik mahmud dan 7 org lain.Yg dihebah hanya 2 org. Apa dakwa alaMubarak? #fb
Mohd Saiful antara individu dirakam CCTV kondominium
KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk
Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi hari ini tertumpu kepada keterangan
mengenai rakaman kamera tertutup memaparkan tujuh kenderaan dan beberapa
individu termasuk pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan keluar masuk di lif tingkat lima Kondominium Desa Damansara tempat beliau didakwa diliwat oleh Anwar. Rakaman berkenaan turut mempaparkan visual kenderaan yang dipandu oleh Mohd
Saiful dan lif yang digunakannya.
Mohd Saiful sebelum ini telah mengenal pasti di mahkamah bahawa beliau
adalah individu yang memandu kenderaan berkenaan dan masa beliau menggunakan lif
itu.
Pegawai penganalisis audio visual Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia di
Cheras, Asisten Superintendan Fauziah Che Mat, memberitahu mahkamah bahawa beliau telah diarahkan
oleh pegawai penyiasat kes berkenaan DSP Judy Blacious Pereira untuk membuat analisis secara terperinci data kandungan dua pemacu keras pada 3 Julai 2008.
Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hanafiah Zakaria,
saksi itu berkata pegawai berkenaan memberitahu beliau bahawa kedua-dua pemacu
keras mengandungi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dirakamkan pada
hari kejadian pada 26 Jun 2008.
Fauziah memberitahu mahkamah bahawa pegawai penyiasat berkenaan telah
membantunya dalam mengenal pasti beberapa kenderaan dan individu yang memasuki
perkarangan Kondominium Desa Damansara antara 12 tengah hari dan 4 petang
pada hari berkenaan.
Saksi pendakwaan kelapan itu menjelaskan bahawa beliau telah memuat turun
segala data yang terdapat pada kedua-dua pemacu keras untuk memastikan segala
data tidak terjejas akibat virus ataupun disebabkan faktor lain seperti
kepanasan ataupun terkena cecair.
"Setelah memastikan kesemua data seperti mana terdapat dalam pemacu keras
asal, saya menggunakan peralatan dan perisian khas yang terdapat di makmal untuk
membuat analisis terperinci mengenai segala visual yang dirakamkan oleh
CCTV dari bangunan berkenaan," katanya.
Anwar, 63, sedang menghadapi tuduhan meliwat Mohd Saiful, 25, yang merupakan
bekas pembantu peribadinya, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan
Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun
2008.
Ketika disoal lanjut oleh Mohd Hanafuah apakah arahan khusus oleh Pereira
kepada beliau, Fauziah berkata beliau telah diarah untuk mengenal pasti visual
dua kenderaan iaitu jenis MG Rover berwarna hitam dengan nombor pendaftaran WMK
6 serta sebuah kereta Fiat bernombor WPK 5925.
Kepada persoalan mengenai apa yang berlaku kepada dua pemacu keras yang asal
diserahkan oleh Pereira, saksi itu berkata beliau telah memeterikannya dalam
sebuah sampul dan menyerahkannya kepada pegawai penyiasat pada 24 Sept
2008.
Fauziah juga memberikan keterangan satu persatu mengenai setiap
kenderaan dan invividu bermula dari kenderaan memasuki perkarangan utama
kondominium, seterusnya individu dari setiap kenderaan menaiki lif di tingkat P1
ke tingkat lima.
Kenderaan berkenaan tiba antara 12 tengah hari dan 1 petang, dan
kenderaan terakhir meninggalkan kondominium berkenaan pada 5 petang, katanya.
Visual rakaman ditayangkan di mahkamah, di mana satu pemacu keras
mempaparkan visual di pintu keluar masuk kondominium dan satu lagi menayangkan
individu-individu keluar masuk lif berkenaan.
Fauziah memberi keterangan secara terperinci mengenai gambar-gambar yang
beliau memuat turun daripada rakaman berkenaan yang dikehendaki oleh Pereira.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak pasti siapakah pemilik kenderaan
berkenaan ataupun individu-individu di dalam rakaman berkenaan.
Kepada persoalan lain oleh Mohd Hanafiah mengenai apakah beliau lakukan
dengan kedua-dua pemacu keras yang asal, saksi itu berkata beliau telah
masukkannya dalam sampul makmal dan sampul dimeterikan sebelum diserahkan kepada
Pereira pada 24 September 2008.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah disambung
hari ini. -- BERNAMA