MERLIMAU -
Wanita UMNO Jasin berasa kecewa dengan keputusan pucuk pimpinan apabila tidak memilih wakil daripada pergerakan itu sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau seperti diumumkan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin.
Selain tersinggung, mereka mendakwa pemilihan itu menunjukkan suara Wanita selama ini tidak pernah didengar dan dipedulikan barisan atasan.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin, Zaleha Bujang berkata, keadaan itu menunjukkan pucuk pimpinan tidak mahu memberi peluang kepada Wanita, sedangkan pembangkang pernah meletakkan calon wanita dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Tenang, sebelum ini.
“Wanita ada melancarkan program ‘Gelombang Merah Wanita’ untuk menunjukkan kepada pucuk pimpinan komitmen dan persediaan kita, tetapi nampaknya ‘signal’ tidak diperhatikan.
“Jika pihak pembangkang boleh mengeluarkan calon dalam kalangan wanita kenapa tidak BN. BN tidak pernah meletakkan wanita sebagai calon walaupun sudah 15 kali PRK,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.
Zaleha yang juga antara tujuh nama calon tersenarai berkata, beliau kecewa kerana calon dipilih bukan pilihan pengundi di kawasan itu.
“Kami menutup Bilik Gerakan Wanita di Taman Merlimau Jaya dan perkara ini sudah dimaklumkan kepada Datuk Seri Shahrizat Jalil yang berada di luar negara melalui setiausahanya,” katanya.
SH