Grab the widget  IWeb Gator

Friday, February 25, 2011

PRK Kerdau: Penyokong BN, PAS Diminta Guna Laluan Berbeza - Polis

TEMERLOH: 
Penyokong Barisan Nasional (BN) dan PAS diminta berkumpul di dua tempat berasingan dan menggunakan laluan berbeza bagi mengelakkan ketegangan pada proses penamaan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau pada Sabtu.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abdul Ghani berkata, penyokong BN akan berkumpul di Dataran Temerloh sebelum bergerak ke pusat penamaan calon di Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh (MPT).
Sementara itu, penyokong PAS dan Pakatan Rakyat akan ditempatkan di belakang Plaza Temerloh yang juga menempatkan MPT.
"Kedua-dua pihak sama ada BN dan Pakatan Rakyat bersetuju dengan pelan pergerakan tersebut.
"Kami berharap penyokong parti mematuhi arahan ini bagi memastikan proses penamaan calon berjalan dengan lancar," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di sini, Jumaat.
Sementara itu Sharifuddin berkata, beberapa jalan utama akan ditutup bermula pukul 6 pagi Sabtu sempena proses penamaan calon.
Antara jalan yang terlibat ialah Jalan Tok Muda Awang Ngah (berhampiran mahkamah) dan Jalan Ahmad Shah (berhampiran IPD).
Menurut Sharifuddin, jalan-jalan berkenaan dijangka ditutup sehingga pukul 12 tengah hari selepas proses penamaan calon tamat.
Sharifuddin juga berkata, polis menjangkakan kira-kira 10,000 penyokong setiap parti akan terlibat dalam perarakan mengiringi calon ke pusat penamaan calon.
"Kami akan menempatkan anggota yang cukup bagi mengawal keadaan esok bagi menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.
Katanya lagi, polis mengenal pasti beberapa kawasan panas sepanjang kempen pilihan raya DUN Kerdau iaitu Teluk Sanggang, Jengka 22, Jengka 23 dan Desa Murni berdasarkan situasi pada pilihan raya umum yang lalu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular