TEMERLOH:
Semua ahli dan penyokong Pakatan Rakyat yang berhasrat untuk mengiringi calon PAS ke majlis penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.28 Kerdau besok (26 Februari , diminta berhimpun di tapak parkir belakang Plaza Temerloh berhampiran Balai Bomba Temerloh.
Menurut Setiausaha Perhubungan PAS Pahang, Roslan Bin Zainal Al-Ahmadi, program akan bermula seawal jam 5 pagi dengan Munajat Perdana di kawasan berkenaan dan diikuti dengan Solat Subuh berjamaah.
Pada jam 7.30 pagi perarakan akan mula bergerak dari tapak berhimpun melalui bandar lama Temerloh ke Jalan Semantan, melalui hadapan Arked Mara dan berakhir di kawasan parkir di belakang CIMB Bank.
Katanya, proses penamaan calon akan bermula pada jam 9 pagi di Dewan Tun Razak, Temerloh dan dijangka berakhir kira-kira jam 12.00 tengah hari
“Semua pimpinan dan peserta perarakan dinasihatkan datang awal untuk mengelakkan kesesakan jalan raya. Jalan utama bandar Temerloh iaitu Jalan Ahmad Shah akan ditutup seawal jam 6.00 pagi bermula di hadapan Maybank.
“Bagi peserta yang menyertai munajat perdana disarankan membawa tikar dan sejadah serta siap berwuduk. Pastikan anda tidak membawa alat bunyian dan peralatan yang boleh diklasifikasikan sebagai senjata berbahaya,” ujarnya dalam kenyataan media.