Lagi dua hari menjelang penamaan calon, penduduk Merlimau menerima risalah berbaur hasutan yang dimasukkan ke dalam peti surat rumah mereka.
Salah satu risalah, yang tertera lambang PERKASA, menuduh orang Cina sebagai pengkhianat, telah menimbulkan kemarahan pemimpin Pakatan Rakyat.
"Ini hanya baru permulaan pilihan raya kecil tersebut dan kita sudah
berdepan dengan isu-isu rasis... Pengundi Cina tidak senang, marah dan merasa terhina. Mereka lahir dan dibesarkan di sini. Ini negara mereka," kata ADUN DAP Bandar Hilir, Tey Kok Kiew (foto - kanan sekali).
Risalah itu, yang menjelaskan isi Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, juga menyatakan bahawa orang Cina adalah "pengkhianat" kerana menentang Perkara tersebut yang melindungi kedudukan istimewa Melayu dan penduduk asal Malaysia.
Tey, yang juga pengarah DAP bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau, berkata penduduk Taman Muhibbah menerima risalah berbaur hasutan dalam kotak surat mereka selepas seorang lelaki yang menaiki motosikal, mengedarkannya pada jam 5 pagi ini.
Walaupun risalah itu tidak memaparkan lambang BN, beliau percaya ia merupakan suatu muslihat untuk menyokong calonnya, Roslan Ahmad, kerana PERKASA dilihat menyokong Umno.
Sementara itu, timbalan pengarah pilihan raya PAS di Merlimau, Kamaruddin Sidek pula membangkitkan soal penyertaan PERKASA dalam kempen pilihan raya kecil tersebut.
"(Mereka) nak membela orang Melayu tapi perkara begitu tak mengikut tatasusila orang Melayu. Ini tak diarah oleh Raja-raja Melayu and Sultan Kelantan sendiri pun dah tarik balik darjah kebesaran (presiden PERKASA) Ibrahim Ali.
"PERKASA hanya sebuah NGO, bukan parti politik tapi kali ini bergiat dalam pilihan raya kecil ini. Tiga hari dulu Ibrahim Ali telah beri ceramah di Pengakalan Samak kepada lebih 100 orang," tegasnya.
Pemimpin Pakatan berkata memberi akan membuat laporan polis berhubung perkara itu esok, dan memberi tempoh 24 jam kepada PERKASA untuk menyatakan sama ada ianya risalah mereka.
Sementara itu, PERKASA Melaka, membuat laporan polis hari ini ekoran pengedaran risalah tersebut, yang didakwa memfitnah pertubuhan itu dan berbaur hasutan.
Laporan itu dibuat yang dipertua PERKASA Melaka, Abdul Rahim Osman di balai polis Merlimau kira-kira jam 1.30 petang tadi
Menurutnya, risalah tersebut bermotifkan politik dan bertujuan menghasut serta membangkitkan kemarahan kaum bukan Melayu, khususnya Cina.
"Kami mendapati risalah yang diedarkan ini berbaur hasutan dan membangkitkan provokasi dengan menggunakan nama PERKASA.
"Ia dikesan diedarkan di taman-taman perumahan sekitar Merlimau pada malam semalam," katanya ketika ditemui di Perkarangan Balai Polis Merlimau hari ini.
Abdul Rahim berkata, PERKASA menafikan sekeras-kerasnya terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam penerbitan, pengeluaran, percetakan dan pengedaran atau penyebaran risalah berkenaan kepada umum, khasnya pengundi di dalam DUN Merlimau.
@BD - Biasa lah, sape nak mengaku berak tgh jalan.. Perkasa bukan UMNO tak gitu...