Grab the widget  IWeb Gator

Friday, February 25, 2011

[Bergambar] Kuala Lumpur Dilanda Banjir Kilat

Berikutan banjir kilat setinggi kira-kira 0.7 meter itu, banyak kenderaan ringan terperangkap di beberapa jalan-jalan utama di ibu negara.


Hujan lebat di ibu negara petang ini menyebabkan beberapa jalan utama dinaiki air akibat air melimpah dari beberapa batang sungai antaranya Sungai Gombak dan Sungai Bonus.

Berikutan banjir kilat setinggi kira-kira 0.7 meter itu, banyak kenderaan ringan terperangkap di beberapa jalan-jalan utama di ibu negara.

Jurucakap Bilik Gerakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata antara jalan yang terjejas ialah Jalan Tun Razak bermula di hadapan Pusat Rawatan Pusrawi menghala ke Cheras.

Ekoran itu, kenderaan ringan tidak boleh melalui jalan tersebut namun kenderaan yang menghala ke arah Bulatan Pahang masih boleh dilalui di jalan tersebut.

Jalan-jalan lain yang dinaiki air ialah Jalan Ampang di hadapan Bangunan Risda dan Jalan Semarak.

Selain itu, katanya 13 buah rumah dimasuki air iaitu 12 buah rumah di Taman Sri Rampai dan sebuah lagi di Taman P.Ramlee, Setapak.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berkata pihaknya menerima laporan air naik di Jalan Tun Razak dan telah menghantar tiga anggotanya untuk meninjau keadaan di sekitar Kampung Baru sebelum menghantar sebarang bantuan.

Dalam pada itu, seramai 40 orang, termasuk 16 kanak-kanak, terperangkap hampir 15 minit di kawasan Kolej Multimedia di Jalan Gurney Kiri di sini apabila dinaiki air sedalam tiga meter.

Ketua Balai Bomba Jelatek Isa Ahmad berkata dalam kejadian kira-kira pukul 5.18 petang tadi seramai 23 wanita dan seorang lelaki, yang merupakan pelajar di pusat latihan dua tingkat itu terperangkap di tingkat satu bangunan berkenaan.

“Manakala seramai 16 kanak-kanak berumur antara 16 bulan hingga empat tahun pula terperangkap di sebuah pusat asuhan berhampiran bangunan tersebut,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua mereka telah dapat dikeluarkan oleh 25 anggota dari Balai Bomba Jelatek, Chow Kit dan Jinjang.

Beliau juga berkata 50 buah kereta di kawasan sekitar bangunan itu turut ditenggelami air. — Bernama


Terperangkap dalam kereta

KUALA LUMPUR: Lebih 20 kenderaan ditenggelami air dalam kejadian banjir kilat yang melanda sebuah kompleks latihan di Jalan Semarak, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 5 petang itu, dipercayai berlaku selepas hujan lebat beberapa jam sebelum itu.

Seorang mangsa, Amir Subhi Wan Omar, 25, berkata, ketika kejadian dia baru selesai menjalani latihan di institut berkenaan sebelum menyedari paras air mula naik.

“Pada awalnya, paras air hanya separas lutut dan saya cuba untuk bawa keluar kenderaan dari kawasan tempat letak kereta secepat mungkin.

“Bagaimanapun, ketika cuba keluar saya menyedari ada kenderaan lain sudah ditenggelami air dan paras air mula meningkat dengan mendadak,” katanya yang terperangkap dalam kereta Proton Waja yang dinaikinya.

Menurutnya, dia bagaimanapun bernasib baik apabila dapat keluar dari keretanya yang ketika itu paras air mencecah pinggang.

“Kalau saya lambat tak tahu apa nasib saya,” katanya.

Paras air mula meningkat dalam tempoh kurang 15 minit sebelum mangsa terpaksa keluar dari kenderaannya dan mengharung air setinggi paras pinggang bagi menyelamatkan diri.

Tidak lama kemudian, paras air semakin meningkat sebelum kenderaannya turut tenggelam bersama puluhan kenderaan lain milik pelatih institusi itu.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Jelatek memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 5.15 petang.

“Bagaimanapun, air mula surut kira-kira sejam kemudian dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan sebelum mangsa yang terbabit dalam insiden itu menghubungi ahli keluarga masing-masing bagi mendapatkan bantuan,” katanya. -hm
Gambar ehsan Bernama








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular