Grab the widget  IWeb Gator

Sunday, January 23, 2011

Koleksi ANALISIS AWAL PASCA PENAMAAN CALON


Kemeriahan pilihan kecil Tenang kali ini bakal terserlah berikutan masing-masing pihak sudah menzahirkan calon. Pertama pihak bebas lebih awal menampil diri, apabila G. Sivanandan, 50, seorang pemimpin Kesatuan Kebangsaan Pekerja Pekerja Ladang (NUPW) menawar diri (8 Januari).

Seminggu kemudian (16 Januari), pihak PAS-Pakatan Rakyat pula mengumumkan calonnya seorang bekas guru, Normala Sudirman selaku Ketua Muslimat PAS Labis.

Diikuti pula pengumuman Umno-BN (19 Januari) yang mengemukakan seorang bekas ADO, Mohd Azahar Ibrahim seorang pegawai kerajaan bukan aktivis parti.

Berikutan itu, sudah muncul tiga nama calon yang bakal bertanding yang bermula dengan penamaan calon 22 Januari dikuti dengan poengundian pada 30 Januari. Ia menyaksikan tempoh kempen selama tujuh hari, antara yang terpendek diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia.

Oleh itu, faktor calon menjadi isu yang menarik sebagai penentu kemenangan pilihan raya kecil Tenang kali ini. Namun, berdasarkan pemerhatian awal senario selepas pengumuman calon-calon, mendapati kemungkinan faktor calon berpihak kepada PAS-Pakatan Rakyat.

Teori Dr. Mahathir

Walau bagaimanapun, kemungkinan itu adalah bersandarkan pelbagai persoalan (skeptikal). Antaranya, nilai bersih, mesra dan cakna pengundi bakal menentukan sejauh mana masing-masing calon itu memenuhi nilai-nilai yang harmoni untuk bersaing.

Sehubungan itu, ada beberapa sudut analisis yang perlu diberi perhatian. Antaranya sudut pandangan calon bersih mengikut hemat (baca teori) Dr. Mahathir.

Menurut Dr. Mahathir, ekoran daripada pencalonan Tan Sri Isa Samad selaku calon pilihan raya kecil Bagan Pinang (11 Oktober 2009), Dr. Mahathir pernah mencoretkan di dalam blognya (24 September 2009) bahawa seorang calon yang bersih pun boleh kalah dan calon yang kotor pun boleh menang.

Justeru dalam konteks Bagan Pinang, Umno-BN mempunyai ‘simpanan tetap undi’ yang besar iaitu pengundi pos tentera dan pengundi (India) di ladang, maka logiknya Dr. Mahathir mempercayai sesiapa juga yang dilantik sebagai calon, besar kemungkinan dia akan menang.

Dalam hal ini, senario Bagan Pinang hampir sama dengan pilihan raya kecil Tenang yang mempunyai jumlah pengundi peneroka Felda dan pengundi ladang kira-kira 4,800 orang atau 33 peratus daripada 14,635 pengundi berdaftar di Dun Tenang. Secara logiknya menurut teori Dr. Mahathir, BN selayaknya menang atas jumlah ‘simpanan tetap undi’ yang ada tanpa mengira siapa calon.

Analisis peluang

Justeru dalam konteks Dun Tenang, tanpa mengira apa isu yang berbangkit natijahnya Umno-BN boleh menang mudah. Ini kerana menurut sumber Umno, keahliannya sahaja sudah ada kira-kira 4,000 orang.

Daripada jumlah ini, sebahagian besarnya iaitu seramai 2,300 orang adalah pengundi peneroka Felda dan 1,700 orang merupakan pengundi Melayu di kampung-kampung tradisi. Ia bermakna, daripada 4,800 orang ‘simpanan tetap undi’ itu hanya 800 orang yang belum ahli Umno tetapi komited mengundi BN.

Berdasarkan keputusan pilihan raya umum 2008, undi BN ialah 6,367. Daripada jumlah ini, 4,000 undi ahli Umno, maka selebihnya lagi (2,367 undi) adalah pengundi Melayu yang belum ahli Umno (800 undi), undi ahli MCA dan undi pengundi terapung (bukan ahli mana-mana parti).

Ahli MCA mungkin tidak ramai mengundi BN untuk calon Dun Tenang pada pilihan raya lepas kerana protes. Oleh kerana itu, PAS menang di tiga daerah mengundi sekitar Bandar Labis.

Hakikat itu, PAS mendapat lonjakan sebanyak 1,737 undi, iaitu dari 2,138 pada 2004 kepada 3,875 pada 2008. Ia suatu gambaran pengundi Cina yang selama ini terbelenggu dengan MCA sudah menunjukkan sikap berubah. Justeru apakah pada pilihan raya kecil kali ini, PAS akan dapat mempertahankan undi ini?

Ataukah PAS mampu meraih sokongan baru daripada sejumlah kira-kira 3,900 undi yang tidak keluar mengundi pada 2008. Mungkinkah juga PAS sedia meraih sokongan kira-kira 800 pengundi Melayu yang belum jadi ahli Umno?

Sehubungan itu, peluang yang dilihat baik bagi PAS-Pakatan Rakyat ialah kepada sejauh mana faktor calon dapat mempengaruhi mood keluar mengundi beramai-ramai.

Jangkaan keluar mengundi musim ini boleh jadi 85 peratus. Ini bermakna kira-kira 12,540 bakal keluar mengundi pada pilihan raya kecil nanti. Jika ditaksirkan kepada undi status-quo 2008, BN mempunyai undi 6,367 dan PAS 3,875 undi. Selebihnya nanti sekitar 2,298 adalah undi rebutan. Sejauh mana upaya masing-masing parti menguasai undi rebutan ini adalah suatu peluang dan tugasan berat kepada pasukan kempen PAS-Pakatan Rakyat dan pasukan kempen calon Cukgu Mala.

Ini kerana faktor calon amat signifiken sebagai penentu kemenangan yang menyaksikan persaingan calon muslimah berdepan dengan calon lelaki yang umurnya sebaya.

Calon yang bersih

Faktor penerimaan masyarakat setempat terhadap calon juga perlu dijadikan kriteria utama pemilihan. Jika calon itu bersih sahaja tapi tidak mempunyai semangat berkhidmat kepada rakyat dan belum diakui kepimpinannya, ia boleh menjejaskan peluang kemenangan.

Calon berkenaan mesti mampu membawa visi dan misi perjuangan parti membahagiakan rakyat di kawasan yang diwakilinya melalui pelbagai aktiviti, misalnya program kebajikan dan sentiasa cakna terhadap kehidupan rakyat. Maka visi dan misi ini mesti dizahirkan dalam agenda kempen calon.

Walau apapun, politik pilihan raya adalah seni kempen yang serba mungkin. Suatu seni yang harus diolah sebaiknya bagaimana seorang calon yang bersih bila bersaing dengan calon yang kotor, boleh memenangkan calon yang bersih.

Namun jika direnung kepada teori Dr. Mahathir, maka calon yang bersih berhadapan dengan calon yang kotor, belum tentu yang bersih boleh mencapai kemenangan.

Dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang, Isa Samad diturun bertanding dengan imej ‘perasuah politik’ ketika pemilihan majlis tertinggi Umno. Ia berjaya digambarkan oleh pasukan kempen BN sebagai mangsa politik kotor dalam Umno, bukannya perasuah politik.

Maka Isa layak dipilih dan menang. Justeru dalam konteks pilihan raya kecil, isu calon diperbesar-besarkan bukannya parti. Bagan Pinang yang besar jumlah ‘pengundi simpanan tetap’ BN (tentera dan ladang) dikira mudah menerima gambaran sebegitu, meskipun calon PAS ketika itu, Zulkefly Omar seorang yang bersih.

Namun, harus juga dilihat apa yang berlaku pada pilihan raya kecil Permatang Pasir (25 Ogos 2009). Pihak Umno-BN mengemukakan calon yang kotor, tetapi kalah. Walau pun calon BN itu seorang peguam, tetapi dikatakan terlibat dengan melesapkan duit pelanggannya dan berbohong berkenaan dengan jumlah isterinya.

Keputusannya BN kalah, dan pasukan kempen BN tidak berupaya memaksa pengundi, kerana di situ jumlah ‘pengundi simpanan tetap’ BN agak kecil dan pengundi pos tidak sampai 50 orang. Hal ini (pengundi simpanan tetap), cukup berbeza Permatang Pasir dibandingkan dengan Tenang.

Atas pengalaman tersebut, mungkin Umno-BN sudah serik untuk mencalonkan calon yang kotor. Terutama selepas PAS-Pakatan Rakyat telah mengemukakan seorang calonnya lebih awal, seorang guru muslimah yang dikira rapat dengan rakyat dan penyayang serta calon yang bersih. Malah diktakan telah terlibat lebih awal memahami hati-budi dan citarasa rakyat setempat melalui Pusat Khidmat Masyarakat PAS Dun Tenang.

Mengetahui keadaan tersebut, tindakan BN ialah tidak harus meletak seorang calon yang dilihat mudah dijadikan isu oleh parti lawan. Maka pemangku ketua bahagiannya, Rosdin Mahmud tidak wajar diturunkan kerana ia dikatakan rapat dengan Chua Soi Lek yang tersabit dengan pengakuan seks terlarang dan asalnya anak Negeri Sembilan bukan Johor. Ia pasti ditolak oleh pengundi peneroka dan pengundi bandar.

Apa yang penting bagi BN, ialah bagaimana faktor calon boleh membantu BN untuk menang pilihan raya kecil Tenang. Isu calon yang bersih sudah menjadi keutamaan. Maka secara terpaksa, orang bukan parti, Mohd Azhar terpaksa dipilih untuk menyaingi calon PAS.

Apa pun, strategi kempen Umno-BN bertanggungjawab membuktikan calonnya benar-benar bersih berbanding calon PAS. Ini kerana dalam pilihan raya kecil, pendekatan kempen agresif amat penting. Persepsi rakyat mesti diutamakan dan dipengaruhi secara bestari.

Berdasarkan itu, pengalaman pilihan raya kecil Galas cukup tragis kepada PAS-Pakatan Rakyat. Ia tragis kerana pasukan kempen BN di Galas mengambil pendekatan agresif dan kotor dengan melakukan putaran isu yang diada-adakan memburukkan calon PAS.

Lalu difitnahkan calon PAS, Zulkefly Mohamad dengan kes berkhalwat sebelum berkahwin dengan isterinya. Walaupun isu itu dinafikan, tetapi putaran terus dibuat atas kepercayaan pengundi akhirnya akan percaya sekiranya diulang-ulangkan. Mungkin cara yang sama akan dilakukan oleh BN di Tenang dalam mengalih sokongan pengundi supaya tidak menerima calon Cikgu Mala. Oleh itu, pasukan kempen PAS harus bijak menggunakan taktik pre-amptive bagi menduga pendekatan kotor Umno-BN itu.

Penentu kemenangan

Berdasarkan dua pilihan raya kecil di Kelantan, pertama di Manek Urai (14 Julai 2009) dan keduanya di Galas (4 November 2010), faktor calon amat kritikal sebagai penentu kemenangan bagi kedua-dua belah pihak. Masing-masing parti telah melakukan pemilihan calon dengan cermat dan mengambil kira semua sudut, agar memenuhi harapan dan persepsi positif pengundi.

Di Manek Urai, PAS kalah tahun 2004 dikatakan kerana calonnya tidak popular berbanding Ismail Yaacob, wakil rakyat sebelum itu. Sebaliknya PAS telah menang semula 2008 setelah Ismail Yaacob kembali bertanding. Kemudian pada pilihan raya kecil Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah dipilih kerana sifatnya yang seakan sama Ismail Yaacob.

Pihak Umno-BN juga turut meneliti calon yang mampu menang berpandukan pilihan raya 2004, ketika itu menamakan ketua pemudanya, Zulkifli Omar yang dikira popular untuk memenangi hati pengundi muda berbanding calon PAS Mohd Zamzuri yang juga ketua pemuda. Atas formula yang sama, pada pilihan raya kecil Manek Urai, Umno-BN telah menamakan ketua pemudanya, Tuan Aziz Tuan Mat sebagai calon. Namun, sifat calon PAS, Mohd Fauzi (mirip Ismail Yaacob) dikatakan lebih mesra di sisi pengundi Menak Urai. Layaknya PAS menang tipis di situ.

Sehubungan itu, pilihan raya kecil Tenang kali ini menarafkan faktor calon sebagai penentuan teratas berbanding faktor isu-isu lokal kerana sifat sosial pengundi Tenang yang agak sacred, mementingkan hubungan intim, bersemuka dan ramah. Maka, semua sifat sosial tersebut perlu ada pada wajah, tutur kata dan gerak fizik calon yang bertanding. Mungkin Cikgu Mala adalah kelebihannya kerana beliau seorang guru yang dilatih dengan psikososial dan sudah mengajar 13 tahun anak-anak pengundi di situ.

Faktor jantina

Latar belakang calon Cikgu Mala itu secara logiknya adalah semestinya mesra wanita yang dilengkapkan lagi sebagai aktivis muslimah. Ia sinonim dengan pengundi Tenang yang mempunyai 51 peratus (7,523 orang) pengundi wanita daripada keseluruhan 14,753 pengundi. Tambahan pula pecahan pengundi ikut kohot umur, wanita warga emas seramai 1,893 (55.3 peratus) dan kumpulan pengundi dewasa wanita 3,214 (50.4 peratus). Ini satu peluang bagi calon PAS-Pakatan Rakyat meraih simpati tinggi golongan pengundi wanita berbanding calon BN, seorang pegawai lelaki.

Apa pun keupayaan menguasai hati-budi pengundi wanita harus dikongsi sama dengan sambutan pengundi lelaki. Di sini, keupayaan pasukan kempen untuk membawa isu-isu yang berkaitan sentimen jantina amat penting. Di samping pasukan kempen calon harus agresif di dalam menyampaikan rayuan dan kesedaran pengundi untuk memilih calon PAS-Pakatan Rakyat, Cikgu Mala sebagai yang terbaik kerana rapat dengan rakyat berbanding calon BN, Mohd Azahar seorang pegawai tadbir yang belum aktif dalam parti.

Apa yang utama, penampilan pasukan kempen calon Cikgu Mala hendaklah turut berlaku ke dalam kelompok pengundi muda, kerana gelanggang utama kempen calon Umno-BN, ADO Azahar ialah pengundi di bawah 40 tahun sekitar 4,934 (33.44 peratus). Lebih-lebih lagi pengundi muda wanita yang dilihat terbatas maklumat tentang perjuangan PAS-Pakatan Rakyat, maka kehadiran Cikgu Mala amat perlu bagi meraih sentimen dan sokongan.

Semoga kempen calon pada pilihan raya kecil Tenang kali ini membuahkan hasil berbeza dengan Galas. Harapannya, Dun Tenang sedia tenang dalam melakar suatu sejarah gemilang menerima calon wanita mewakili kepentingan rakyat berpihak kepada PAS-Pakatan Rakyat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular