meletakkan kemuliaan bangsa adalah salah dari segi Islam kerana ianya sama seperti kefahaman bangsa terpilih(Chosen Race) yang difahami Yahudi.
Nazri Abdullah |
KAJANG, 27 Dis: Keempat-empat panel forum 'Polemik Ketuanan Melayu' yang diadakan malam tadi sependapat bahawa istilah 'ketuanan Melayu' hanya agenda politik pihak tertentu yang sebenarnya tiada isu.
Mereka iaitu Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP), Ahmad Sabky Yusof, Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Ezaruddin Abd Rahman dan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu & Bumiputra (MPM), Dr Hasan Mad juga sependapat istilah tersebut kabur dan dan tidak perlu diperdebatkan.
Berhujah pada forum yang berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Kajang malam tadi, Dr. Asri berkata, meletakkan kemuliaan bangsa adalah salah dari segi Islam kerana ianya sama seperti kefahaman bangsa terpilih (Chosen Race) yang difahami Yahudi. "Menolong kaum bukan perinsip perjuangan, ia salah satu kerja amal yang lain, perjuangan kita untuk Islam.
"Boleh menolong kaum dengan syarat tidak menimbulkan permusuhan dengan kaum lain," katanya.
Selain boleh menimbulkan perasaan permusuhan dengan kaum lain, apa yang lebih membimbangkan ujarnya, kefahaman tersebut akan memberi tafsiran salah terhadap agama Islam itu sendiri.
Katanya, oleh kerana Melayu di negara ini disinonimkan dengan Islam, maka dibimbangi kaum lain akan menganggap Islam mendiskriminasi kaum lain sekaligus menghalang proses dakwah berlaku.
"Mungkin mereka (bukan Islam) mengatakan ini pegangan Islam yang mengamalkan diskriminasi kaum," jelasnya lagi.
Istilah 'ketuanan' juga jelasnya berbeza dengan 'keistimewaan', di mana orang yang diberi layanan istimewa tidak semestinya tuan kepada sesuatu.
Sehubungan itu jelasnya, perdebatan isu 'ketuanan Melayu' yang kini makin meruncing sejak 50 tahun pemerintahan Umno, perlu dihentikan segera.
Hanya pertikai polisi
Bagi Ahmad Sabky, apa yang dipertikai oleh pihak tertentu terhadap dasar pemerintah, tidak boleh dianggap 'mencabar ketuanan Melayu'.
Menurutnya, pertikaian itu hanya menyentuh soal polisi yang perlu disesuaikan mengikut masa dan ketika.
"Keistimewaan yang ada dalam perlembagaan itu diterima semua orang, tidak ada yang mempertikai.
"Yang ada pertikaian hanya soal polisi contohnya soal pemilikan kuota Melayu, saham Melayu yang perlu disesuaikan dengan keadaan semasa," katanya.
Menyifatkan polemik tersebut sebenarnya bukan isu, beliau mendakwa ianya hanya ditimbulkan Umno selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu bagi mengembalikan sokongan Melayu kepada mereka.
Umno selepas PRU lalu katanya telah tersepit apabila pengundi bukan Melayu dan sebahagian Melayu telah memilih Pakatan Rakyat yang terdiri dari PAS, PKR dan DAP.
"Ketuanan Melayu sebenarnya non-issue dan hanya propaganda pihak tertentu," ujarnya.
Bukan 'Malay Supermacy'
Dr Hassan Mad juga sependapat bahawa isu ketuanan Melayu timbul disebabkan 'gegaran politik' selepas PRU-12.
Malah katanya, bukan Melayu tidak pernah mempersoalkan ketuanan Melayu, namun ianya dibangkitkan orang Melayu sendiri.
Selain itu, ketuanan Melayu menurutnya tidak boleh diterjemahkan sebagai 'Malay Supermacy'.
Malay Supermacy katanya lebih menjerumus kepada konsep 'Melayu sebagai tuan, dan yang lain adalah hamba', sedangkan maksud sebenar ketuanan Melayu bukan begitu.
Menurutnya, ketuanan Melayu pada asalnya adalah digunakan merujuk kepada 'kepimpinan Melayu' (Malay Leadership) ekoran Melayu antara pemula menggerakkan inisiatif menuntut kemerdekaan.
Sambil mengakui istilah 'ketuanan Melayu' tiada dalam perlembagaan, beliau menggesa semua pihak berhenti mengelirukan masyarakat dengan istilah itu.
"Kita wajar hentikan kekeliruan ini.
"Orang politik kena berhenti bercakap soal ini dan cendikiawan pun kena berhenti menulis atau membuat analisis yang mengelirukan ini," katanya.
Forum malam tadi diadakan dihadapan lebih 150 hadirin yang hadir dan dikendalikan oleh Ketua Penerangan DPP, Suhaizan Kaiat yang bertindak sebagai perantara. |
|