Grab the widget  IWeb Gator

Monday, December 27, 2010

Majlis Fatwa pantau perayaan agama, mahu Muslim pertahan akidah


KUALA LUMPUR, 27 Dis — Majlis Fatwa Kebangsaan mahu memantau situasi musim perayaan pelbagai kaum di negara ini bagi memastikan umat Islam tidak melakukan perbuatan yang menyerupai amalan agama bukan Islam.

Pengerusinya, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata dalam apa juga keadaan, pendekatan awal adalah mendidik dan menasihatkan umat Islam sebelum merangka tindakan susulan.

Beliau berkata, toleransi sesama rakyat berbilang bangsa dan agama sememangnya digalakkan di negara ini, tetapi perlu diingat jangan sampai hilang identiti sebagai umat Islam.

“Lebih utama, jangan pula menyerupai amalan agama lain kerana ia tidak sesuai dan dalam masyarakat majmuk pula, tidak perlu wujud pluralisme kerana setiap agama berbeza cuma kita perlu hormat menghormati satu sama lain.

“Di Malaysia, seeloknya kita menghormati penganut bukan Islam, ucap tahniah atas sambutan perayaan mereka dibolehkan, menjamah makanan yang halal juga boleh tetapi tidak sampai melakukan ritual seperti memakai kostum dan meletakkan hiasan keagamaan di kediaman kerana ia tidak sesuai untuk imej Islam,” kata beliau dipetik Berita Harian hari ini.

Pandangan itu menyusul kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam bahawa majikan tidak boleh memaksa pekerja mereka yang beragama Islam untuk memakai kostum Santa Claus atas alasan kehendak tugas walaupun terbabit dalam kerja mempromosi barangan di pusat beli-belah sempena Krismas.

Beliau berkata majikan juga tidak boleh mengambil tindakan disiplin terhadap pekerja beragama Islam yang enggan mematuhi arahan bertentangan dengan pegangan agama mereka.

Baru-baru ini, Mufti Johor Datuk Tahrir Shamsuddin menasihatkan umat Islam tidak memakai pakaian atau perhiasan menyamai Santa Claus kerana ia bercanggah dengan seruan Nabi Muhammad SAW. Beliau dipetik berkata, ada sesetengah pekerja Islam di pusat beli-belah terpaksa memakai pakaian atau perhiasan itu atas kehendak tugas.

Abdul Shukor berkata, jika tidak disekat atau tidak diingatkan generasi muda mengenai amalan yang dibenarkan dan sebaliknya, tentunya akan timbul tanggapan bahawa tiada bezanya antara perayaan umat Islam dan bukan Islam.

Beliau berkata, ketika ini, ulama Indonesia berhadapan situasi yang getir apabila rakyatnya yang beragama Islam menjalani hidup seperti umat bukan Islam terutama ketika musim perayaan.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, fahaman pluralisme agama adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Beliau berkata fahaman pluralisme agama mampu membuat orang Islam terpesong dari landasan Islam sebenar.

“Fahaman pluralisme agama ialah satu kronologi yang dianggap sebagai kepelbagaian dan kemajmukan dengan membawa maksud semua agama adalah sama dan benar.

“Hal ini amat bertentangan dengan ajaran Islam sebenar kerana ia menyentuh soal akidah umat Islam.

“Islam adalah agama yang Ad-Din dan sempurna dan fahaman ini mampu memesongkan akidah umat Islam kerana membawa kesamarataan kepada semua agama,” katanya.

Jamil Khir bekata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa membuat pemantauan secara berterusan bagi membendung hal berkaitan agama Islam yang mampu memesongkan akidah masyarakat Islam.

“Kita akan melakukan kerja pemantauan secara berterusan dan penguatkuasaan akan dilaksanakan sekiranya ada maklumat berkaitan aktiviti yang membawa kepada kepincangan akidah,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular