Politik Fitnah Mencemar Rukun Negara
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa rakyat kini bingung dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka. Semuanya berpaksi kepada video seks yang cuba dikaitkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Media arus perdana, Utusan Malaysia, Berita Harian dan Tv3 serta RTM mengangkat Shazryl Eskay kerana mahu melafazkan sumpah laknat untuk menyokong dakwaan bahawa Anwarlah pelaku zina dalam video itu.
Bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik pula mewakilkan Eskay untuk melafazkan ikrar itu bagi pihaknya yang mendapat sokongan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom.
Nasihat mufti-mufti seperti Tan Sri Harussani Zakaria bahawa isu itu harus ditangani secara qazaf dan bukan sumpah laknat ditenggelamkan oleh media arus perdana.
“Kalau semua orang boleh bersumpah (laknat) saja, ramai orang yang boleh melakukannya. Takut apa sumpah ini,” kata beliau kepada Tv Selangor kelmarin.
Di Kelantan, Parti Keadilan Rakyat mendedahkan seorang pegawai polis kanan memberitahu guru-guru kononnya pelaku dalam video itu adalah Anwar. Kempen “pencerahan isu Anwar” oleh pegawai polis berkenaan berlarutan sejak awal bulan ini.
Di Pulau Pinang, Timbalan Ketua Menteri Mansor Othman pula mendedahkan penduduk setempat di Penanti dijemput menonton video itu di pejabat Kemas. Video itu juga disajikan semasa kursus Biro Tata Negara untuk mahasiswa.
Untuk mereka, (termasuk kanak-kanak) yang tidak dapat mengikuti video seks menerusi You Tube atau suratkhabar dan blog-blog pro-Umno, jangan khuatir kerana gambar-gambar video itu dicetak dalam bentuk risalah dan diedarkan di merata tempat.
Ke mana hala tuju Negara? Jika ini bukan “politik longkang” yang menghakis nilai-nilai keagamaan dan peradaban yang kita junjung sebagai rakyat bersopan yang tahu menjaga maruah diri dan jiran kita, amalan politik apa namanya ini? Ke mana semangat Rukun Negara yang menggariskan soal KESOPANAN DAN KESUSILAAN?
Apakah segala-galanya boleh dihalalkan semata-mata untuk mencari keuntungan politik?
Apakah benar Polis dan Biro Tata Negara membantu mencaci dan menfitnah supaya generasi muda menolak pemimpin pembangkang? Kenapa Peguam Negara pula yang menentukan rentak siasatan polis?
Semua persoalan ini mempunyai jawapan mudah jika seseorang mengambil kira hakikat Perdana Menteri Najib Razak sendiri menggunakan “jam Omega’ sebagai modal politik ketika pilihanraya negeri Sarawak yang lalu.
Walaupun beliau cuba memberi gambaran kononnya segala yang melanda Anwar ketika ini tidak ada kaitan dengan Umno dan kerajaan, ramai yang sangsi, curiga dan amat tidak mempercayai Najib.
Malah, satu lagi kes Anwar bersabit isu moral menyebabkan kewibawaan polis, Peguam Negara dan Biro Tata Negara pula menjadi persoalan utama mengenai kredibiliti kita sebagai rakyat yang bermaruah.
Berdasarkan perkembangan semasa, isu ini juga akan mengheret Badan Kehakiman yang masih tercalar imejnya daripada pusingan pertama perbicaraan fitnah terhadap Anwar pada tahun 1998.
Rakyat tertanya-tanya, sampai bila institusi-institusi awam negara akan terus diheret ke kancah fitnah dan bukti rekayasa semata-mata untuk membenamkan Anwar Ibrahim.
Tindakan terbaru akhbar-akhbar berbahasa Melayu, Tv3 dan RTM menyembunyikan kenyataan-kenyataan mufti dan tokoh Islam bersabit isu fitnah dan kemungkaran mencerminkan bagaimana rendahnya kewibawaan media kawalan kerajaan.
Namun mereka tidak mempunyai pilihan kerana berfungsi di bawah telunjuk Umno dan Barisan Nasional (BN).
Mereka ditugaskan untuk mewarnakan Anwar sebagai seorang peliwat, kaki perempuan, ejen CIA, agen Yahudi dan apa sahaja asalkan Ketua Pembangkang itu diaibkan sehingga terpaksa berundur dari politik buat selama-lamanya.
Media massa ini mahu rakyat beragama Islam di Malaysia percaya bahawa orang-orang seperti Eskay, Rahim Thamby Chik dan Shuib Lazim adalah bebas daripada dosa besar dan layak membuat sumpah laknat untuk menuduh pihak lain.
Umno pula mengharapkan sumpah laknat Eskay akan berjaya setelah sumpah laknat Saiful Bukhari Azlan gagal mencapai matlamatnya dalam kes liwat fitnah.
Dalam mengejar matlamat masing-masing, Umno, mahupun media massa tidak harus lupa bahawa rakyat mempunyai kewarasan dan iman untuk membezakan antara kebenaran dan fitnah.
Kebenaran akan sentiasa menzahirkan diri dan menyerlah dengan peredaran masa serta mempunyai ketahanan untuk mengatasi apa sahaja kemungkaran yang cuba disebarkan.
Fitnah sebaliknya tidak lebih daripada rekayasa jijik yang akhirnya akan terpalit kepada pihak yang mencetuskannya.