Karpal kemudian menyentuh secara terperinci apa yang berlaku pada hari berkenaan, berdasarkan testimoni Saiful.
Karpal turut membangkitkan beberapa perkara berkaitan dengan aksi seks tetapi, ini tidak boleh dilaporkan kerana keterangan Saiful itu diberikan secara tertutup.
Tambahnya selepas pelakuan aksi seks tersebut, Saiful makan karipap dan minum kopi dan berada di dalam bilik itu selama 20 minit.
Peguam itu mendakwa, Saiful juga tidak memperlihatkan tanda-tanda emosi yang dia telah menjadi mangsa diliwat.
Menurut Karpal lagi, sehari selepas kejadian tersebut (27 Jun 2008), Saiful pergi ke ibupejabat PKR di Tropicana, malah juga pergi ke rumah Anwar.
Peguam itu mendakwa, tindakan itu bukan tingkahlaku oleh seseorang yang didakwa telah diperlakukan sedemikian.
Menurut Karpal lagi, Saiful telah melakukan sumpah bohong kerana mendakwa dia telah berbohong di mahkamah dan dalam laporan polisnya apabila dia berkata pelakuan seks itu dilakukan tanpa persetujuannya.
"Bukti Saiful tidak meyakinkan melebihi keraguan. Dia telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 195 untuk mereka bukti," hujah Karpal.
Karpal kemudiannya meminta pendakwa mendakwa Saiful kerana didakwanya telah mereka bukti.
Saiful, tambahnya, juga telah menunda membuat satu laporan polis - dia membuat laporan dua hari selepas insiden tersebut.
"Doktor pertama yang ditemui Saiful ialah Dr Mohd Osman Abdul Hamid, tetapi beliau tidak dipanggil sebagai saksi," kata Karpal.
Hujahnya, ketidakhadiran Dr Osman (kanan) sebagai saksi, telah menimbulkan keraguan yang serius terhadap kes pendakwa.
Katanya, pihak mendakwa tidak berbuat demikian walaupun ditawarkan Dr Osman sebagai saksi.
Katanya, keterangan Dr Osman akan bercanggah dengan keterangan yang diberikan oleh tiga doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL).
"Akan terdapat dua versi kes dan kesangsian tersebut seharusnya diberikan kepada dituduh," tambahnya.