Perdana Menteri China Wen Jiabao dan rombongannya pasti dalam kebingungan jika mereka mengesan perkataan Cina yang dicetak pada latar belakang pentas majlis sambutan rasmi baginya di Putrajaya pagi ini.
Perkataan berkenaan adalah terjemahan langsung daripada perkataan Melayuyang berbunyi: "Istiadat Sambutan Rasmi Sempena Lawatan Rasmi TYT Wen Jiabao Ke Malaysia"
Namun terjemahan dalam bahasa Cina itu mempunyai kesilapan struktur ayat dan tatabahasa yang serius dan memalukan.
Terjemahan langsung itu berbunyi: "Majlis sambutan rasmi, dengan dia, Yang Terutama, Wen Jiabao ke Malaysia dengan rasmi”.
Latar belakang yang memalukan di podium hadapan Pejabat Perdana Menteri itu didirikan bagi upacara sambutan rasmi perdana menteri China itu.
Ia juga memaparkan bendera China dan Malaysia dengan gambar Tembok Besar Cina dan Menara Berkembar Petronas berserta gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sedang bersalaman dengan Wen.
Wartawan dan tetamu yang faham bahasa Cina terkejut melihat latar belakang itu. Begitu juga dengan beberapa menteri Malaysia yang berbangsa Cina tetapi sudah terlambat untuk membuat sesuatu.
Pada sidang media bersama selepas itu, Najib berkata Malaysia dan China bersetuju bekerjasama lebih rapat khususnya dalam bidang pengajian tinggi, pelancongan dan perubatan tradisional Cina.
Ia dicapai hasil rundingan antara kedua-dua pemimpin berkenaan hari ini.
"Perbincangan sangat produktif serta berhasil, dan kita mencapai persetujuan meluas selaras dengan pelan tindakan bersama mengenai kerjasama strategik yang ditandatangani pada 2009," kata Najib.
Wen berada di Malaysia untuk lawatan dua hari bagi membalas kunjungan Najib ke China dua tahun lalu.
Ia adalah lawatan kedua Wen ke Malaysia selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Kemuncak ASEAN-China pada 2005. -MK