Keadaan muka bumi Sabah yang berbukit bukau dengan sempadan laut yang begitu panjang merupakan cabaran utama kepada pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasa untuk mengawal pergerakan manusia antara negeri ini dan negara jiran, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Sukarti Wakiman.
"Dalam hal ini terdapat pula pihak yang mengambil kesempatan untuk menyeludup masuk rakyat dari negara sempadan bagi tujuan pekerjaan dan kemudiannya memperdagangkan mereka atau mengeksploitasi mereka bagi tujuan buruh paksa atau pelacuran," katanya pada taklimat anti pemerdagangan orang dan anti penyeludupan migran di Kota Kinabalu hari ini.
"Manusia kini menjadi komoditi yang diperdagangkan dan isu pemerdagangan orang ini merupakan jenayah yang kian meningkat.
"Ia juga menjadi satu bentuk perdagangan hamba abdi moden yang tidak mengenal bangsa, agama dan keturunan, malah ia sudah menjadi isu global merentas sempadan membabitkan semua negara di dunia," kata Sukarti.
Beliau berkata mangsa-mangsa menderita akibat penderaan mental, fizikal dan seksual selain tidak dibayar upah yang sewajarnya.
Selain itu, ada kecenderungan menggunakan wanita hamil dengan menjual anak yang dikandung terutama kepada pasangan yang tidak mempunyai anak, kata Sukarti.
"Begitu juga sindiket yang mengeksploitasi wanita negara ini untuk tujuan membawa dadah ke luar negara. Mereka dijanjikan dengan pendapatan lumayan atau diumpan dengan pakej percutian yang menarik tanpa mereka sedari bahawa mereka diperalatkan untuk menjadi keldai dadah," katanya.
--Bernama