Dari Keadilan Daily
Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar Umno di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendakwa beliau akan melarikan diri ke luar negara sekiranya kalah dalam perbicaraan yang dihadapi di mahkamah.
Sebaliknya, kata Anwar pentadbiran Najib tidak senang duduk kerana takut segala penyelewengan, skandal pembunuhan dan rasuah kepada kroni akan didedahkan jika Pakatan Rakyat mengambilalih pentadbiran negara selepas pilihan raya umum nanti.
“Najib tuduh saya akan lari jika kalah (perbicaraan) kali ini. Saya nak bagi tahu dia, siapa sebenarnya yang berbuat demikian semua rakyat akan tengok dan tunggu.
“Jika saya nak lari, saya sudah bertindak begitu tahun 1998 lagi apabila saya dipecat dan dituduh dengan berbagai cara. Saya takut Najib yang akan bergegas langkah keluar macam pemimpin Tunisia,” tegas Anwar ketika berceramah di Padang Awam Sebarang Jaya malam tadi.
Anwar merujuk kepada laporan media Umno yang mengatakan beliau akan lari ke luar negara sekiranya beliau didapati bersalah dalam kes Fitnah II, selain merancang untuk melakukan huru-hara bagi menjatuhkan kerajaan.
Beliau turut menyentuh mengenai pelawaan debat kepada perdana menteri yang gagal dijawab sehingga hari ini berhubung program yang ditawarkan dalam Buku Jingga, dokumen yang dikemukakan Pakatan Rakyat jika mengambil alih tampuk pentadbiran. Kata Anwar, beliau tidak berminat berhujah tentang soal peribadi sebaliknya berdebat mengenai kandunganprogram itu yang didakwa Najib akan menyebabkan negara menjadi bankrap.
Tambah beliau, kedudukan rakyat akan lebih terjamin kerana program 100 hari Pakatan Rakyat yang dijanjikan dalam buku Jingga membawa pelbagai kebaikan seperti penghapusan tol, penurunan harga minyak.
“Saya tidak mahu berdebat soal peribadi tetapi soal ekonomi dan Buku Jingga. Tetapi jika Najib enggan dan mahu menumpukan soal peribadi, saya sanggup untuk tiga soalan saja. Saya pasti Najib demam,” jelasnya yang merujuk kepada isu pembunuhan Altantuya, komisyen pembelian kapal selam dan skandal bersama artis di sebuah bilik hotel pada 1997.