Pada tahun lalu, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (Mier) melaporkan Malaysia mempunyai hutang isi rumah tertinggi di Asia dan ia dilaporkan beberapa akhbar utama tempatan.
Institut itu menyatakan kebimbangan dengan peningkatan kadar paras hutang isi rumah daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang meningkat kepada 76.6 peratus bagi tahun 2009, berbanding 63.9 peratus pada 2008.
Peratusan itu dipetik daripada laporan tahunan 2009 Bank Negara Malaysia. Apa yang dapat difahamkan mengenai angka statistik itu adalah pinjaman untuk membiayai keperluan isi rumah lebih meningkat berbanding pinjaman membiayai perniagaan.
Pinjaman perniagaan secara asasnya akan menyumbang kepada penjanaan dan peningkatan KDNK, namun pinjaman untuk keperluan isi rumah tidak meningkatkan kadar terbabit.
Menerusi satu artikel berkaitan, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Azrul Anwar Ahmad Tajudin berkata, rakyat Malaysia masih mempunyai kapasiti untuk melunaskan hutang mereka sekalipun kadar hutang semakin meningkat.
Sementara itu, Pensyarah Ekonomi di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, tiga faktor utama menyumbang kepada peningkatan kadar hutang isi rumah adalah pendapatan isi rumah tidak mencukupi, terdorong dengan gaya hidup mewah dan kelemahan pengurusan kredit.
Secara asasnya tidak dinafikan kenaikan kos sara hidup masa kini memberi kesan kepada perbelanjaan harian seluruh isi rumah.
Namun, menurutnya, konsep perbelanjaan berhemah perlu dipertingkatkan. -SH