Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia menawarkan tawaran harga rendah menakjubkan untuk sejuta tempat duduk bagi pelbagai destinasi tempatan dan luar negara sempena promosi Big Sale bermula 22 Februari.
Ketua Komersial Serantaunya, Kathleen Tan berkata, promosi Big Sale ini adalah penghargaan kepada pelanggan di atas sokongan hebat yang diberikan selama ini. Sebagai ganjaran, tawaran sejuta tempat duduk pada harga hebat serendah RM5 diberikan.
“Promosi kami sering kali dinanti orang ramai. Kempen “Mind Blowing Fare’ dan ‘Free Seats’ tahun lalu menerima sambutan yang sangat menggalakkan dalam tempoh 24 jam selepas pengaktifan.
“Malah, berdasarkan maklum balas yang diterima dari orang ramai, mereka inginkan lebih promosi dari kami. Justeru itu, kami yakin akan menerima sambutan seperti itu lagi pada kali ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Tawaran bermula dari harga serendah RM5 ke pelbagai destinasi menarik ini boleh mula ditempah dari 22 hingga 27 Februari untuk tempoh perjalanan di antara 13 September 2011 dan 29 Februari 2012.