LABIS, 25 Jan - Pakatan Rakyat kesal pendirian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang enggan mempertimbangkan desakann mereka bagi mewujudkan pilihanraya bersih dan telus dengan penggunaan dakwat kekal.
Ahli MPP (Ex-Officio) PKR, Sivarasa Rasiah berkata, SPR bagaimanapun akan mempertimbangkan untuk menambah baik sistem tersebut.
"Bagi pendaftaran automatik, SPR juga menjelaskan tidak akan dilaksanakan kerana ia perlu kepada pindaan perlembagaan," tambahnya.
Selain pendaftaran automatik, turut menuntut pindaan perlembagaan adalah cadangan supaya umur layak mengundi diturunkan kepada 18 tahun.
Pakatan Rakyat juga yakin tiada persempadan semula akan dibuat jika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 diadakan tahun ini.
Keyakinan itu diluahkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali selepas pertemuan antara pemimpin Pakatan Rakyat dengan SPR di Putrajaya semalam.
Ini berikutan penjelasan SPR iaitu kajian persempadanan semula hanya akan bermula 21 Mac tahun ini dan mengambil masa dua tahun sebelum dapat dilaksanakan.
"Jadi kita boleh buat kesimpulan, kalau pilihan raya dibuat 2011, maka tiada persempadanan semula," katanya pada sidang media di lobi pejabat suruhanjaya itu.
"Pengerusi SPR memberi jaminan bahawa proxy voting tidak akan dilaksana," tambahnya lagi.
Turut serta pada pertemuan dengan anggota tertinggi SPR itu ialah Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abd Halim Abd Rahman, Setiausaha Biro Pilihan Raya DAP, Liew Chin Tong, Ketua DAPSY, Antony Loke dan dua wakil dari sekretariat Pakatan Rakyat.