PUTRAJAYA, 24 Jan - PAS bersama Pakatan Rakyat lega dengan penjelasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa anggota Wataniah tidak dimasukkan dalam kalangan pengundi pos.
Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS berkata perkara itu dijelaskan oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam pertemuan dengan pemimpin PR di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya hari ini.
Menteri Pertahanan pernah membuat kenyataan untuk mewujudkan pasukan Askar Wataniah dalam setiap Parlimen. Ini dilihat sebagai satu talian hayat bagi BN terus berkuasa kerana mereka bakal dijadikan pengundi pos.
Turut dibincangkan juga tentang cadangan tempoh kempen selama 21 hari.
"Jumlah hari tersebut adalah separuh daripada amalan pada pilihan raya umum pertama tahun 1959 yang menetapkan tempoh kempen sebanyak 42 hari," ujar Liew Chin Tong, Setiausaha Biro Pilihanraya DAP.
Turut serta pada pertemuan dengan anggota tertinggi SPR itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abd Halim Abd Rahman, Setiausaha Biro Pilihan Raya DAP, Liew Chin Tong, Ketua DAPSY, Antony Loke dan dua wakil dari sekretariat Pakatan Rakyat.