Grab the widget  IWeb Gator

Wednesday, December 29, 2010

SEKILAS PANDANG DI DUN TENANG : CHUA SOI LEK VS MAZLAN ALIMAN

by 

ALFATIHAH buat Adun bagi kawasan Tenang Johor,Datuk Sulaiman Taha,59 tahun yang meninggal dunia di Hospital Pakar Puteri pada 17 Disember yang lalu.Allahyarham yang mengalami jangkitan kuman dalam darah semenjak 24 November yang lalu meninggal dunia sekitar jam 1.10 pagi Jumaat.Apapun,yang pastinya negara bakal berdepan dengan satu lagi siri pilihanraya kecil,yang keempat belas dalam tempoh tiga tahun sejak Mac 2008.Untuk rekod,pilihanraya kecil terakhir di Johor adalah hampir 21 tahun yang lalu di N33 Tambatan dalam Parlimen Pulai pada 5 Ogos 1989 berikutan kematian Adun kawasan tersebut,Allahyarham Mahmood bin Daud.

N5 Tenang terletak di dalam Parlimen Labis,di kawasan utara negeri Johor. Secara umumnya,jumlah pemilih di Dun tersebut dalam daftar pemilih Tahun 2008 adalah seramai 14 511 orang pengundi dengan pecahannya iaitu 49.59% daripadanya adalah pengundi Melayu,38.24% Cina dan 12.07% India.

Pada Pilihanraya Umum ke 12 hampir tiga tahun yang lalu,pertandingan dua penjuru satu lawan satu di Dun ini menyaksikan pertembungan calon UMNO,Allahyarham Datuk Sulaiman Taha menentang calon Pas yang juga merupakan Timbalan Yang Dipertua Pas Labis ketika itu,Mohd Saim Siran.Berikut adalah keputusan rasmi pilihanraya bagi Dun tersebut pada tahun 2008:


N5 Tenang mempunyai 13 buah daerah mengundi iaitu Kampung Redong,Pekan Ayer Panas,Ladang Labis Utara,Bandar Labis Timor,Bandar Labis Tengah,Labis,Felda Tenang,Sawah Bahru,Tenang Station,Ladang Bukit Dato,Chemplak Barat dan Chemplak.Dari segi demografinya,penduduk kawasan Tenang terdiri daripada peneroka,pekerja ladang,pekebun dan peniaga.Untuk rekod,terdapat tiga buah kawasan tanah rancangan FELDA di Dun Tenang iaitu Chemplak,Chemplak Barat dan Felda Tenang.Kawasan majoriti pengundi Cina pula terletak di kawasan peti undi Bandar Labis Timor,Bandar Labis Tengah dan Labis,di mana rata-rata mereka adalah peniaga dan pekebun.Pengundi India pula kebanyakannya terletak di kawasan ladang seperti Ladang Bukit Dato dan Ladang Labis Utara.

Kawasan Tenang,seperti di kawasan-kawasan lain di Malaysia umumnya masih mencerminkan peninggalan dasar pecah perintah British yang tidak banyak berubah di mana orang Cina masih kekal di bandar dan berniaga,orang Melayu di kawasan luar bandar dan tanah rancangan manakala orang India masih menetap di kawasan ladang-ladang.Apa yang menariknya di Dun Tenang ini,cerminan komposisi utama kaum di Malaysia dapat dilihat di sini,di mana orang Melayu menjadi majoriti,diikuti kaum Cina dan kemudiannya India.Oleh itu, apa juga keputusan dalam pilihanraya kecil ini nanti bakal memberikan gambaran awal terhadap kecondongan beberapa golongan dalam Pilihanraya Umum ke 13 terutamanya kaum Cina,India,golongan luar bandar dan golongan peneroka.

CABARAN BUAT SOI LEK DAN MAZLAN ALIMAN

Parlimen Labis,kawasan di mana terletaknya Dun Tenang adalah kawasan kubu kuat Presiden MCA sekarang,Datuk Seri Chua Soi Lek.Dalam pilihanraya umum yang lalu,beliau tidak bertanding di Parlimen Labis memandangkan ketika itu, skandal video seksnya sedang hangat diperkatakan membawa ke arah pengundurannya daripada arena politik tanah air.Tempat beliau itu walaubagaimanapun diambil alih oleh anaknya,Chua Tee Yong yang tiada masalah untuk mengekalkan kedudukan MCA di Labis meskipun hampir kesemua kawasan tandingan lain MCA di semenanjung telah kalah teruk kepada calon-calon DAP dan PKR.

Pun begitu,kesan tsunami politik sebenarnya turut dirasai di kawasan Labis di mana Chua Jr hanya mampu mendapat majoriti sebanyak 4094 undi berbanding 10 729 undi pada tahun 2004.Pengurangan undi MCA itu bergerak dalam pengurangan majoriti sebanyak 44.76% undi.Di kawasan Dun Tenang sendiri misalnya di kawasan majoriti Cina,calon Pas Mohd Saim Siran mampu memperoleh undi sehingga 50 hingga 67 peratus,sesuatu yang tidak pernah dicapai sebelum ini.Di kawasan India pula,Pas memperoleh hampir 50 peratus undi di kawasan Ladang Labis Utara tetapi hanya mampu meraih sekitar 32.1 peratus undi di Ladang Bukit Dato.

Dijangka,dalam pilihanraya kecil kali ini,sokongan pengundi Cina kepada calon Pakatan Rakyat (berkemungkinan Pas) adalah sekitar sehingga 70 peratus.Jika ini berlaku,semestinya keputusan itu memberi isyarat jelas kepada Chua Soi Lek untuk terus membiarkan anaknya di kerusi Labis dan beliau mungkin boleh mencari kerusi lain yang lebih selamat jika beliau bercita-cita untuk kembali ke Parlimen.

Persoalannya,apakah perkaitan Saudara Mazlan Aliman dalam pilihanraya kecil kali ini?Sebenarnya, pilihanraya kecil kali ini penting bagi Pas terutamanya ANAK,badan bertindak bagi warga Felda menilai sokongan balas yang diberikan oleh warga Felda sendiri kepada Anak.Apakah warga-warga Felda mengambil tahu secara terperinci akan kes-kes penipuan Felda seperti di Felda Kemahang dan Serting?Adakah pendedahan demi pendedahan ANAK dalam isu Felda termasuk isu Felda Bangkrap tidak diambil pusing atau adakah warga Felda peduli dan inginkan perubahan tentangnya?

Perlu diingatkan bahawa bukan semua warga Felda adalah fixed deposit kepada Barisan Nasional semata-mata.Dalam Pilihanraya Umum 1999 misalnya,Pas dan KeAdilan menang di beberapa buah kerusi majoriti peneroka seperti di Jengka,Chini dan Penor di Pahang?Malah,peralihan signifikan warga Felda dan KETENGAH di peti-peti undi dalam Dun Terengganu berjaya menenggelamkan Umno di Terengganu.Di Parlimen Kemaman,Dungun,Setiu dan Besut contohnya,pengurangan undi warga Felda terhadap UMNO membolehkan Pas menyapu bersih Parlimen terbabit dan hampir kesemua Dun di dalamnya.

Oleh itu,adakah Pas mampu mencuri undi warga Felda di Dun Tenang kali ini?Pada dasarnya,mungkin sukar untuk Pas memenangi peti undi di kawasan tersebut,namun kejayaan mengurangkan margin dan jurang undi Pas-Umno adalah penting bagi membentuk kekuatan dalam pilihanraya kecil itu nanti.

Menurut Mazlan Aliman,untuk memenangi Dun Tenang,Pas perlu menembusi kawasan Felda dan semua sudah sedia maklum undi golongan peneroka cukup dijaga oleh Barisan Nasional bagi menjamin kemenangan mereka.Tambah Mazlan,dalam PRU 12 yang lalu,undi warga Felda untuk calon Pas di Dun Tenang hanya berada dalam lingkungan hanya 18 peratus undi sahaja.Ini bermakna,undi besar diperoleh oleh calon UMNO dan jurang majoriti untuk calon Pas dirapatkan oleh undi daripada pengundi Cina.Untuk berada di kedudukan selesa,Pas perlu mencuri undi sehingga 30 hingga 40 peratus undi di kawasan Felda.Sebenarnya,banyak isu yang boleh ditonjolkan di kawasan Felda ini terutamanya tentang nasib generasi kedua Felda yang hanya bekerja sebagai buruh di kawasan tanah rancangan selain penghijrahan golongan muda keluar untuk mencari kerja terutamanya di Kuala Lumpur dan Singapura.Keadaan kurangnya generasi muda di Tenang menyebabkan berlaku ketidakseimbangan dinamik penduduk menyebabkan pengundi tua di kawasan Tenang menjadi lebih dominan.

Adakah warga Felda bersama Anak atau tidak?Ini adalah sesuatu yang menarik untuk diperhatikan.Untuk perhatian juga,ada beberapa pihak kini dilihat bersungguh untuk menaikkan nama Mazlan Aliman sebagai calon Pas di Dun Tenang memandangkan beliau sendiri adalah anak jati Johor.

PELUANG PAS DALAM PRK DUN TENANG


Satu lagi soalan yang paling wajar diajukan adalah,adakah Pas mempunyai peluang untuk menang?Ini jawapannya.Secara umumnya,para penganalisis politik yang rasional pada angka dan kemungkinan tidak meletakkan peratusan menang yang tinggi bagi calon Pas untuk menang jika diambil pelbagai faktor semasa. Walaubagaimanapun,dalam politik semuanya adalah tidak mustahil dan di luar jangkaan.Siapa jangka Barisan Nasional mampu hilang majoriti di Parlimen dalam pilihanraya umum yang lalu?Namun ianya telah benar-benar berlaku.

Secara umumnya,penulis menjangkakan peluang untuk Pas menang dalam Pilihanraya Umum kali ini adalah 45 peratus sahaja.Calon UMNO berkemungkinan menang,tetapi dengan majoriti yang lebih mengecil,mungkin di sekitar 1500 undi.Asasnya ada satu,walaupun pengundi bukan Melayu diyakini memihak kepada Pas, warga Felda dijangka akan mengekalkan sokongan mereka kepada Umno.Pun begitu,undi Pas mungkin boleh diharapkan kepada golongan Melayu separa bandar seperti di kawasan peti undi Pekan Ayer Panas kerana diyakini mereka adalah pengikut media  baru,jika dibandingkan dengan pengundi Melayu luar bandar yang masih mempercayai media tradisi seperti RTM dan Utusan Malaysia.

Pertambahan undi Pas mungkin akan bertambah sehingga 5000 undi dan calon Umno kekal dengan kelebihan hampir 6500 undi.Rasional penulis adalah bersandarkan kepada sokongan kaum Cina dan Melayu separa bandar,dan jika ini berjaya diambil oleh Pas,peluang untuk mengurangkan majoriti Umno itu ada kalaupun tidak mampu merampas kerusi tersebut daripada tangan Umno.

Di sini penulis sertakan pergerakan undi Pas dan pembangkang bagi Dun Tenang sejak Pilihanraya Umum 1986:

PERBANDINGAN JUMLAH UNDI 1986-2008


PERGERAKAN UNDI PAS/S46 1986-2008


KONKLUSI
Apapun,selamat mengundi buat pengundi di kawasan Dun Tenang.Pilihlah calon pilihan anda,tapi sila ingat, mereka-mereka yang diangkat bakal mencatat sejarah Adun terpendek tempoh perkhidmatannya dalam sejarah negara memandangkan PRU 13 semakin hampir....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular