Grab the widget  IWeb Gator

Sunday, December 26, 2010

RM400 untuk peneroka - termakan tak umpan kali ini?


from Kerabu Bersuara

“FELDA akan memulakan pembayaran bonus sebanyak RM400 bagi seorang peneroka dan ini menjadi satu lagi ‘tip’ yang plihanraya umum sudah menjelang” kata salah seorang pemeroka yamg saya kenali semasa menghadiri majlis persandingan sepupu saya disalah satu rancangan Felda diGemas hari ini.

Pengundi dari peneroka Felda mempunyai pengaruh besar setidak-tidaknya dalam 50 kawasan Parlimen di seluruh negara. Felda akan membayar kurang sedikit dari RM100.1 juta untuk maksud ini dan pembayaran akan bermula pada awal 2011 ini dipejabat-pejabat Felda dirancangan-rancangan tanah itu diseluruh negara. Berita ini rupa-rupanya memang sudah keluar melalui punca berita alternatif.

Saya tidak akan mendapat apa-apa berita dari media letronik dan cetak perdana kerana saya sudah hampir 6 tahun tidak menengok TV dan membaca akhbar perdana kerana saya mempunyai kurang keyakinan terhadap berita-berita yang disiarkan oleh media perdana. Kalau pun saya melihat rancangan berita TV selalunya saya akan menonton rancangan berita itu setelah setengah jalan rancangan itu berlalu untuk mengikuti berita-berita sukan yang terkini.

Jika pasukan bola Kelantan mengalah pasukan NS didalam pertandingan akhir Piala Malaysia dengan keputusan 2-1 atau 3-1 misalnya media perdana tidak akan dapat mengubah jumlah gol yang diperolehi oleh mana-mana pasukan itu, dan berita itu adalah berita benar dan tidak dapat diubah oleh editor-editor TV atau akhbar-akhbar perdana itu. Dalam akhbar-akhbar perdana ada 2 lagi berita yang pasti benar; iaitu keputusan Empat Nombor Ekor dan waktu sembahyang 5 waktu itu. Selain dari itu saya terpaksa berfikir samada berita yang tersiar itu benar atau sebaliknya.

Memberikan ‘hand-out’ seperti ini merupakan amalan yang telah menjadi budaya oleh pemerintah untuk mendapatkan undi dalam pilihanraya umum. Dengan pemberian ini adalah diharapkan ianya akan memberikan ‘advantage’ kepada BN kerana RM400 ini boleh dijadikan umpan dan bahan ungkitan dalam kempen pilihanraya umum nanti. Tentunya pihak pemerintah mengharapkan ‘budi’ ini akan digantikan dengan undi. Jika ini dianggap sebagai ‘budi’ maka BN berpendapat ianya akan memberikan kekuatan kepada UMNO dan BN dilima puluh kerusi parlimen dalam mana terdapat tanah rancangan Felda yang luas, khususnya ditiga buah negeri, Pahang, Johor dan Negeri Sembilan.

Persoalannya bolehkah RM400 itu menjadi umpan yang efektif untuk tujuan memenangi PRU 13 ini?

Dalam sinario politik yang dahulu umpan seperti ini boleh memastikan sokongan kuat dari peneroka, kerana krisis keyakinan terhadap kepimpinan tidak begitu nyata. Tetapi jika itu masih menjadi senjata untuk memikat hati dan sokongan dari peneroka sekarang ini ianya merupakan tindakkan yang tidak lagi membawa bekas kepada mereka.

Peneroka sekarang tahu yang RM400 itu bukannya datangnya dari sumber lain tetapi sumbernya adalah dari peneroka sendiri. Peneroka sekarang telah terbuka minda mereka hasil dari ‘exposure’ anak-anak mereka yang bekerja bertaburan diseluruh pelusuk negara dan mereka bukan lagi mudah diumpan secara begini. Mereka seperti juga masyarakat lain tetap mahu melihat kepimpinan yang bertanggungjawab tanpa ada unsur rasuah dan salah guna kuasa yang keterlaluan.

Mereka tahu yang mereka tidak boleh membiarkan pimpinan melakukan sesuatu yang membebankan rakyat dan mereka tahu bahawa apa yang dilakukan pada hari ini mempengaruhi keadaan dimasa yang akan datang. Mereka tahu juga selain dari kenyataan yang sumber RM400 itu datangnya dari mereka sendiri mereka juga tidak boleh dibeli dengan harga RM400 untuk memberikan kuasa selama lima tahun yang belum tentu ada kebaikkannya. RM400 itu jika dibahagikan dengan lima tahu bermakna mereka hanya mendapat RM80 bagi setahun untuk membiarkan pimpinan yang tidak diyakini untuk memerintah.

Itulah sebabnya blog ini selalu mengingatkan bahawa yang penting bukan RM400 itu; yang penting ialah untuk melihat kepimpinan yang bersih dan amanah dan tidak dipengaruhi oleh unsure-unsur kebathilan dalam pentadbiran kerajaan yang memerintah.

Mereka juga sedar yang mendapat keuntungan dari usaha dan penat-lelah mereka ialah Felda. Tidak ada sesiapa patut menafikan yang Felda perlukan keuntungan untuk mentadbir tanah rancangan yang begitu luas tetapi peratusan keuntungan kepada peneroka itu adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan apa yang diperolehi oleh Felda. Berbillion keuntungan yang diraih oleh Felda itu adalah terlalu tinggi jika kita baca dari segi matlamat penubuhan Felda itu dahulu.

Matlamatnya ialah untuk memberikan tanah dan kebun untuk mereka yang tidak bertanah. Maka jika keuntungannya menjadi begitu besar adalah lebih wajar peneroka diberikan lebih menufaatnya dari Perbadanan Felda itu sendiri.

Jika Felda sudah terlalu besar tidak bolehkah Felda membeli hasil mahsul ladang-ladang peneroka ini dengan harga yang lebih baik dari harga belian sekarang ini? Kenapa membeli hasil peneroka terlalu rendah dari harga yang ditawarkan oleh pembeli luar dari Felda?

Kita bukan mengkritik dengan semborono sahaja. Tetapi peneroka sepatutnya telah mendapat lebih dari apa yang apa yang mereka dapati sekarang ini jika dibandingkan dengan apa yang telah dicapai oleh Felda (Perbadanan).

Sampai bila kah budaya memberikan ‘hand-outs’ semasa pilihanraya akan mendatang ini? Kenapa kita tidak mendapatkan sokongan dari dasar-dasar dan pencapaian kerajaan.

Sampai bila rakyat dijadikan seperti ikan didalam sungai: diumpan dengan cacing, apabila ikan termakan umpan dan melekat dimata kail, ikan itu akan belah dan digaramkan untuk dimasak bagi hidangan seorang dua. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular