Grab the widget  IWeb Gator

Wednesday, December 29, 2010

MEMAHAMI MENGAPA UMNO MASIH GAGAL MENGUASAI KELANTAN HINGGA KINI

Persoalannya sekarang,apakah Umno di Kelantan itu ditolak sepenuhnya oleh rakyat Kelantan?Jika Ya,apakah faktornya?


by 

Jika ditakdirkan Pilihanraya Umum ke 13 bakal diadakan pada tahun hadapan,maka kerajaan Pas Kelantan pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat telah berjaya mentadbir Kelantan selama hampir 21 tahun bermula daripada tahun 1990.Sepanjang tempoh itulah juga Umno-Barisan Nasional kekal menjadi pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan,meskipun mereka pernah membuat kenyataan sinis bahawa kerajaan pimpinan Pas itu hanya mampu bertahan selama tiga bulan.

Persoalannya sekarang,apakah Umno di Kelantan itu ditolak sepenuhnya oleh rakyat Kelantan?Jika Ya,apakah faktornya?Itu sebenarnya adalah sesuatu yang menarik untuk diperhatikan oleh kita semua asbab kegagalan Umno itu walaupun sudah hampir 21 tahun mencuba.Perlu diingatkan,tulisan ini bukan hanya semata-mata mahu mencari kelemahan Barisan Nasional supaya Pas nampak kuat,tetapi lebih daripada itu memahami seni politik yang berlaku di Kelantan.Oleh itu,sebelum kita memerhati kelemahan mereka,marilah kita melihat juga kekuatan mereka.

Pencapaian terbaik Umno Kelantan di bawah pentadbiran Pas adalah pada tahun 2004.Jika mereka berkubur tanpa nesan pada tahun 1990 setelah tewas di kesemua kerusi,pencapaian terbaik mereka pada tahun 2004 berjaya menidakkan majoriti dua pertiga Pas dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan.Berikut disenaraikan kedudukan kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan bermula daripada tahun 1990 hingga 2010:


TAHUN
UMNO-                    BARISAN NASIONAL
PAS-S46|PAS-BA|PAS-PR
1990
0
39
1995
7
36
1999
2
41
2004
22
23
2010
7
38


Umno Kelantan mempunyai wang yang banyak apabila wang ehsan petroleum disalurkan terus kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan.Di sinilah kekuatan Umno di Kelantan,di mana mereka mampu menguasai dan memonopoli undi menggunakan wang.Hasilnya Pas tewas dalam Pilihanraya Kecil Dun Galas dan hampir tewas di Manek Urai tahun lalu.Ini semua adalah kesan permainan wang,di mana Umno dilihat mampu memperoleh undi dari kalangan penduduk luar bandar.Jika dilihat secara lebih dekat,terdapat tujuh buah kerusi Umno di Kelantan iaitu Dun Pengkalan Kubor,Kok Lanas,Bukit Bunga,Kuala Balah,Nenggiri,Paloh dan Galas.Daripada tujuh kerusi tersebut,hampir kesemua kerusi boleh dikategorikan sebagai kerusi luar bandar kecuali Pengkalan Kubor dan Kok Lanas yang boleh dianggap sebagai separa bandar.Kerusi Dun Galas misalnya,walaupun terdapat peti undi kawasan bandar namun peti undi luar bandar lebih dominan menjadikannya boleh dianggap sebagai kawasan luar bandar.

Jika trend ini berterusan,dijangka mereka bakal menguasai beberapa buah kerusi di Kelantan terutamanya kawasan luar daripada Delta Kelantan (kawasan padat penduduk).Kawasan yang berpeluang dimenangi oleh Umno adalah kerusi-kerusi Dun di Kuala Krai,Machang dan Pasir Puteh,selain berpeluang mengambil kerusi Air Lanas di Jeli yang berjaya dimenangi semula oleh Pas dalam pilihanraya umum yang lalu.Penulis meramalkan Pas masih mampu kekal di Kelantan,namun berkemungkinan berlaku pertambahan beberapa kerusi oleh Umno-Barisan Nasional.Walaubagaimanapun,jumlah kerusi tersebut mungkin akan tidak menyamai rekod terbaik mereka pada tahun 2004 di mana mereka berjaya memenangi 22 kerusi Dun.

Keyakinan ini berdasarkan satu asas.Tiada faktor penarik rakyat terhadap Barisan Nasional seperti tahun 2004,di mana ketika itu imej Pak Lah naik mendadak selepas turunnya Mahathir daripada kerusi Perdana Menteri Malaysia.Kini,faktor penarik rakyat  kepada Umno hanya tinggal wang,setelah imej Najib tidak sebaik Pak Lah selain faktor politik semasa yang tidak condong kepada Barisan Nasional.

Apapun,bukan peluang Barisan Nasional yang mahu kita perhatikan tetapi faktor mengapa Umno masih gagal menguasai Kelantan.Di sini penulis melihat kepada beberapa sebab yang relevan.

1.Pemimpin Umno Kelantan Tidak Mesra Rakyat
Perlu diingatkan bahawa masyarakat Kelantan adalah satu komuniti yang mementingkan semangat kekitaan dan persaudaraan dalam sesebuah kawasan.Oleh itu,maka tidak hairanlah apabila kriteria utama untuk menjadi wakil rakyat bukan hanya bersandar kepada kelayakan ikhtisas dan akademik tetapi lebih kepada aspek "senang kira,mudah bahasa" atau dalam erti kata lain mudah didekati dan seorang yang cakna.Justeru, kebanyakan wakil rakyat yang diangkat adalah seorang yang prihatin,boleh mengimamkan solat,memberi tazkirah dan yang lebih penting mudah dijumpai rakyat di kawasan mereka.Dan alhamdulillah,kriteria ini dimiliki oleh kebanyakan wakil rakyat Pas di Kelantan.

Pemimpin yang berjiwa rakyat:
bukan hanya pandai mengarah,tetapi turut sama
berpenat lelah

Mudah didekati dalam sesebuah komuniti
Persoalannya,adakah ini semua ada dalam kebanyakan kepimpinan Umno di Kelantan?Bagi penulis,jika adapun,tidaklah sebegitu ramai dan kebanyakan pembesar Umno Kelantan seperti Mustapa Mohamed, Awang Adek dan Annuar Musa lebih menjaga status elit mereka sebagai seorang pemimpin.Oleh sebab itulah mereka tidak mampu menang di Kelantan sehingga sekarang.

Tidak dinafikan bahawa Mustapa,Awang dan Annuar adalah seorang pemimpin yang hebat.Jika tidak, masakan mereka masih terpilih untuk menduduki jawatan menteri di peringkat pusat.Pun begitu,di Kelantan kriteria seorang yang berpelajaran tinggi dan educated bukanlah satu kemestian walaupun ianya penting untuk dipilih sebagai seorang wakil kepada rakyat.

pemimpin tanpa protokol 

Pemimpin Pas mudah dijumpai di warung-warung
(gambar Adun Selising dan MP Pasir Puteh)

2.Krisis dan Cah Keting Umno Kelantan
Umno Kelantan sebenarnya mempunyai agak ramai pemimpin yang berkebolehan.Mustapa boleh dianggap sebagai Singa di Barat,Annuar di Tengah,Awang Adek di Timur dan Ku Li di Hulu.Dengan gandingan Umno sebegitu,mereka masih gagal menguasai Kelantan kerana kelemahan dalaman mereka sendiri.Lihat sahaja Ku Li,mengapa orang sehebat beliau yang sudah hampir diangkat menjadi Perdana Menteri masih gagal diberi jawatan yang baik oleh Umno Kelantan?Ini juga sesuatu yang menarik untuk diperhatikan.Apakah dosa Ku Li kerana menentang Umno di bawah Semangat 46 masih mampu diterima Umno Kelantan,tidak seperti Senatak Ezam yang mula mendapat tempat di Selangor?

Secara umumnya,rakyat Kelantan melihat Umno hanya sebagai sebuah parti yang tiada asas perjuangan dan kepimpinan mereka lebih kepada menguntungkan perut sendiri.Sebagai contoh yang mudah,pertembungan terbuka antara dua kumpulan dalam Umno Rantau Panjang cukup untuk dijadikan bukti kepada ke mana arah iman perjuangan Umno di Kelantan.

Dalam krisis Umno Rantau Panjang tersebut,berlaku dua mesyuarat Agong serentak di Lubok Jong oleh Abdullah Mat Yasin dan di Lati yang dibuat oleh bekas Ketua Bahagian tersebut,Mohd Zain Ismail yang telah digantung.Pertembungan itu sendiri menunjukkan betapa Umno sememangnya berkrisis di Kelantan.

3.KECELUPARAN MULUT PEMIMPIN UMNO
Pemimpin-pemimpin Umno baik di Kelantan mahupun di peringkat Pusat dilihat sentiasa melabelkan rakyat Kelantan sebagai miskin dan tidak terbela.Pun begitu,rakyat Kelantan yang hidup dan tinggal sendiri di Kelantan sedar adakah mereka itu miskin ataupun tidak.Jika hendak dikatakan rakyat Kelantan itu miskin, dakwaan tersebut dapat disangkal bermula daripada pintu masuk di Gua Musang hingga ke Kota Bharu di mana rumah-rumah banglo berselerakan di sepanjang jalan,membuktikan rakyat Kelantan mampu berdikari walaupun mereka sentiasa dilabel miskin dan sebagainya.

Dakwaan Umno mengatakan rakyat tidak terbela di bawah Pas juga tidak mampu diterima oleh rakyat kerana mereka sendiri mampu menilai konsep Membangun Bersama Islam yang telah dilaksanakan.Kalau perkara itu tidak mampu diterima,masakan Pas mampu kekal sehingga 20 tahun di Kelantan?

4.DISKRIMINASI DAN TEKANAN KERAJAAN PERSEKUTUAN 
Diskriminasi pembangunan dan saluran peruntukan yang dinafikan oleh kerajaan Persekutuan terhadap Kelantan juga adalah antara faktor utama mengapa rakyat Kelantan tidak menyokong Umno di Kelantan. Contohnya,kewujudan Jabatan Pembangunan Persekutuan dan JKKP di Kelantan seolah-olah menafikan peranan kerajaan negeri dalam membangunkan negeri Kelantan.

Terbaru,isu penafian terhadap hak royalti minyak kepada rakyat Kelantan menambahkan lagi gelombang penolakan rakyat terhadap Umno di Kelantan.

Selain itu,janji-janji Pilihanraya yang gagal ditunaikan oleh Umno di Kelantan seperti membina Jambatan di Manek Urai menyebabkan penolakan terhadap Umno semakin jelas terutamanya oleh generasi muda di Kelantan,malah di seluruh negara.

Apapun,buat kepimpinan Umno Kelantan,perbaikilah dahulu kelemahan yang ada pada diri anda sebelum bercita-cita memerintah Kelantan.Apa khabar Galas?

Anak Rusa Nani,
Kuala Lumpur.
Pagi Krismas.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular