Mengapa Felda memperlakukan peneroka tanah rancangan Felda seperti penjajah, jika tidak sepenuhnya tapi persis seperti kolonial yang mengaut keuntungan dari tanah jajahan. Bonus insentif yang diberikan tidak sepenuhnya adil dan saksama, ianya merupakan satu ugutan dan balas dendam terhadap peneroka yang menguruskan kebun mereka sendiri.
Sikap ugutan Felda ini jelas tidak dapat disembunyikan dan boleh disaksikan oleh sesiapa pun. Peneroka yang menguruskan kebun mereka tidak memperolehi insentif ini meskipun peneroka berkenaan menghantar hasil mereka ke kilang Felda.
“Saya ingin mempersoal proses pengagihan insentif hasil ini. Memang insentif hasil ini diberi tiap-tiap tahun berdasarkan jumlah tan hasil yang dikeluarkan dan dihantar ke kilang Felda.
“Tetapi yang menjadi persoalan utama ialah insentif itu berdasarkan sama ada mereka mengikut Felda atau pun tidak.
“Sedangkan mereka yang tak ikut Felda pun menghantar hasil ke kilang Felda. Jadi kalau peneroka yang tidak bersama Felda dianaktirikan dalam pemberian insentif itu tidak betul sebab mereka bukan menjual di kilang swasta tapi mereka jual di kilang Felda,” Ujur sdr Mazlan Aliman, Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.
Mazlan Aliman menegaskan bahawa kaedah pemberian insentif berdasarkan jumlah tan.Kalau jumlah tan mereka tinggi, dapat tinggi dan kalau rendah dapat rendah dan beliau juga tidak bersetuju mereka yang tak capai piawaian tak dapat langsung. Peneroka kena dapat hak mereka walaupun sedikit. Beliau menambah sekiranya pemberian bonus ini dijadikan modal untuk PRK di DUN Tenang ianya adalah tidak relevan kerana pemberian ini dibuat setiap tahun.