Baru-baru ini sebuah akhbar harian tempatan memetik kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Ustaz Dato’ Harun Taib bahawa PAS bersedia bekerjasama dengan DAP, kerana parti berkenaan dapat menerima dasar dan konsep perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.
Beliau berkata demikian berikutan kenyataan Presiden Umno Najib Tun Razak yang berpandangan bahwa PAS sewajarnya bekerjasama dengan Umno, sebuah parti Melayu Islam berbanding dengan DAP yang bukan Islam.
Kata Ustaz Harun walaupun Umno mahu bekerjasama dengan PAS namun Umno terang-terang menolak konsep dan dasar perjuangan PAS. Berbeza dengan DAP yang walaupun sebuah parti sekular namun tidak menolak konsep dan dasar perjuangan PAS.
Sesungguhnya sejarah poitik tanahair telah membuktikan bahawa PAS konsisten dengan konsep dan dasar perjuangannya. Sejak ia ditubuhkan lebih 50 tahun dahulu dan sejak menyertai Pilihanraya Persekutuan yang pertama pada tahun 1955 begitulah PAS, jatuh dan bangun bersama Islam sehingga pernah tinggal cuma sebuah kerusi Parlimen iaitu Pengkalan Chepa dan dua kerusi DUN di Kelantan ia kekal demikian. Dan kini menang bersama Pakatan Rakyat di empat buah negeri dan bersama menafikan dua pertiga majoriti BN di Dewan Rakyat ia tetap juga begitu.
Kecakalan berpegang pada Islam inilah yang telah mengundang segan dan penghormatan kawan dan lawan terhadap PAS.
Parti-parti yang berkawan dengan PAS memahami perkara ini dan menghormati pendirian PAS. Malah rakyat rata-rata memberikan penghormatan kepada PAS lantaran iltizamnya pada Islam dan ini akan terus kekal selagi mana PAS tidak cuai atau lalai.
Benar Umno adalah sebuah parti Melayu Islam. Namun tidak seperti PAS, Umno mengambil Islam lebih secara selektif atau berpilih-pilih dan bukan sebagai konsep dan dasar perjuangan parti berkenaan. Tidak keterlaluan jika dinyatakan apa sahaja yang berbaur Islam yang tidak merugikan ia dari segi politik maka Umno akan bersedia mempertahankannya, sebaliknya jika ia merugikan khasnya dari kacamata politik maka Umno tidak teragak-agak akan menyisih atau menjauhkan diri darinya.
Contih terbaik adalah pengharaman judi di negeri Kelantan yang dikuasai PAS sejak tahun 1990. Baru-baru ini kerajaan negeri Kelantan bertindak ke atas premis yang menjual loteri “bigsweep”, dan tindakan berkenaan telah disensaikan khasnya oleh komponan BN iaitu MCA. Ketua Pemuda PAS Pusat Ustaz Nasaruddin Tantawi mengeluarkan kenyataan menyeru kerajaan negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat agar mengambil langkah yang sama seperti Kelantan malah menyeru agar kerajaan negeri yang diterajui Umno turut berbuat demikian.
Saya yakin kerajaan negeri-negeri BN tidak akan memberikan respon kerana ternyata ia bakal merugikan mereka dari sudut politik walaupun jelas ia haram di sisi Islam.
PAS tidak pernah mengendurkan cita-cita perjuangannya samada dalam keadaan ia kalah apalagi ketika ia menang. Parti-parti yang berkawan denga PAS sejak dari tahun 50an dahulu seumpama Parti Negara yang bersama membentuk kerajaan negeri Terengganu tahun 1959, dan kemudiannya Parti Melayu Semangat 46 ketika PAS membentuk kerajaan negeri Kelantan tahun 1990 masing-masing sedar akan tuntutan perjuangan PAS.
Dan kini PKR dan malah DAP juga sedar akan keadaan demikian. Kerana itu kita lihat pentafsiran Islam dalam pentadbiran lebih jelas dan ketara di negeri-negeri yang PAS turut berperanan walaupun hakikatnya kawan-kawan PAS di negeri-negeri itu termasuklah DAP merupakan parti yang Umno sering cap sebagai anti Melayu dan Islam.
Sebagai kawan DAP sedar akan kemampuan PAS. Dalam Pakatan Rakyat, PAS lah parti yang paling “senior” dari sudut usia. Dan dari sudut organisasi dan kekuatan akar-umbi tidak dapat dinafikan jentera PAS lah yang antara penyumbang besar kearah kemenangan luar biasa Pakatan Rakyat dalam PRU tahun 2008 lalu. Hakikat ini disedari oleh semua pihak.
Sejarah membuktikan PAS tidak pernah mengkhianati rakan-rakannya. Parti Negara pada tahun 1960an berpaling tadah sehingga mengakibatkan kerajaan PAS tumbang di Terengganu ketika itu. BN pula pernah tendang keluar PAS sebagai rakannya di zaman Allahyarham Tun Hussien Onn sebagai PM. Rekod menunjukkan PAS lah rakan yang paling jujur sehingga dalam kerajaan PR hari ini pun tidak ada seorang pun wakil rakyat PAS berpaling tadah tidak seperti wakil-wakil dari DAP dan PKR.
Umno mungkin menyedari hakikat ini tetapi ia tewas apabila enggan jujur dalam memberikan pengiktirafan sebenar pada Islam. PAS bukannya menuntut pangkat dan kedudukan, tetapi sejak awal penubuhannya, memartabatkan Islam itulah agenda utama perjuangannya. Dengan sikap Umno yang selektif terhadap Islam ternyata rakyat lebih mengharapkan pada PAS kiranya Islam terancam atau mahu diketengahkan dalam satu-satu isu atau keadaan.
DAP kini faham keutamaan PAS setelah berkesempatan berkerjsama dengannya. Walaupun ia tidak mengiktiraf konsep Negara Islam namun sebagai sebuah parti demokratik, kiranya majoriti rakyat disesebuah negeri itu member mandat terbesar pada PAS, saya yakin DAP akan akur.
Dalam isu kontroversi loteri “Bigsweep” di Kelantan contohnya, ahli parlimen DAP dari Segambut, Lim Lip Eng menyatakan bahawa jika majoriti rakyat Kelantan mahukan pengharaman itu maka rakyat yang minoriti harus menghormatinya kerana itulah prinsip demokrasi.
Kerana itu tepatlah apabila Ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu menyatakan lebih mudah bekerjsama dengan DAP yang tidak menganggu Islam berbanding dengan Umno yang lebih mengutamakan keuntungan politik lebih dari yang lain-lain. Sekurang-kurangnya apabila berkawan dengan PAS pemahaman DAP terhadap Islam dapat disemai, dipupuk dan dibentuk oleh pimpinan dan ahli-ahli PAS. Tidak mustahil apabila dasar dan prinsip perjuangan Islam dapat difahamkan bukan hanya DAP malah sesiapa sahaja akan dapat memahami dan menerimanya secara terbuka demi kebaikan umat sejagat.
ARTIKEL INI TERBIT DALAM AKHBAR MINGGUAN SIASAH BIL.0255