.......sama sesatnya kerana berpisah dari agama Islam
1. Islam adalah ad Deen [ Minhaajul Hayah ] atau cara hidup dan ianya adalah suatu yang telah diiktiraf oleh Allah swt Tuhan Yang Maha mencipta sekelian makhluknya termasuk manusia. Islam adalah jalan yang lurus, memimpin manusia dengan petunjuk dan pedoman wahyu Allah swt. Firman Allah swt :
Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.
Al Ana'am : 153
2. Islam adalah agama yang benar dan tiada syak pula pada kebenarannya serta kebenaran yang dibawanya adalah unggul sehingga hari ini malah hingga ke hari kiamat. Ia juga menolak anutan syirik dan berhala serta keercayaan ciptaan manusia dan aliran idealogi yang terpisah dari wahyu Allah swt. Firman Allah swt :
Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar. Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka Yang bahan-bahan bakarannya adalah manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang yang ingkar.
Al Baqarah : 23 - 24
3. Menganggap atau mempercayai bahawa Islam adalah sama dengan agama lain jua sebaliknya agama lain dianggap sama dengan agama Islam adalah merupakan tanggapan dan kepercayaan karut yang membatalkan syahaadatain [ dua kalimah syahadah ]. Ini adalah prinsip Islam yang sama sekali tidak boleh disama taraf dengan mana - mana agama atau aliran pemikiran dengan satu pembawaan pluralisme. Firman Allah swt :
Katakanlah (Wahai Muhammad): Hai orang-orang ingkar ! "Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang Aku sembah. Dan Aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara Aku beribadat. Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku".
al Kaafiruun : 1 - 6
4. Firman Allah swt dari surah al Kaafiruun itu adalah nas yang bersifat qatei bahawa pluralisme dalam agama adalah bercanggah dengan prinsip aqidah Islamiyyah. Namun begitu, ia tidak bermakna Islam tidak menghormati agama lain atau dalam erti nilai yang lain ialah Islam tetap menghormati prinsip kebebasan beragama justeru Islam tidak boleh memaksa manusia menganutnya kerana Islam adalah agama yang mesti dianut dengan penuh keinsafan, kesedaran, keyakinan dan kerelaan.
5. Sebagaimana Islam menolak faham pluralisme dalam agama, Islam juga menolak faham sekularisme yang memisahkan agama dari urusan kehidupan seperti memisahkan agama dari urusan pentadbiran negara atau apa yang disebut sebagai "politik suku agama suku" . Serahkan urusan pemerintah kepada pemerintah dan urusan agama kepada tuhan juga adalah sebahagian dari faham sekularisme yang merosakkan aqidah Islam.
6. Melihat pasaran Islam yang meluas dan cahayanya tidak mungkin boleh dipadam, maka faham sekularisme ini menelurkan aliran pemikiran yang boleh berlunak dengan prinsip sekularisme atau melunakkan ummat Islam lalu ianya disogok kepada ummat Islam yang jahil agar mereka keliru lantas menganggap ia sebahagian dari ajaran Islam, seperti Islam Liberal, Islam Progresif, Islam Kontemporary, Islam Tamadun [hadhari] dan lain - lain. Mutaakhir ini diperkenalkan pula oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib satu lagi aliran Islam baru iaitu Islam Sederhana.
7. Aliran pemikiran atau mazhab baru seperti Islam Sederhana ini adalah suatu fitnah bawaan oleh ummat Islam yang jahil tentang Islam. ianya adalah Islam jadian yang tidak mewakili ajaran Islam tulen yang dibawa melalui risalah an Nabawi. Mendakwa bahawa mereka [kerajaan UMNO dan BN hari ini ] membawa dan menawarkan pakej Islam Sederhana kepada dunia hari ini bererti mereka membawa satu pakej Islam yang asing dan berlainan dengan Islam yang wahyukan oleh Allah swt.
[ Jika pakej itu adalah pakej yang serupa dengan ajaran Islam maka kenapa perlu menawarkan pakej yang baru ? kenapa tidak sebut sahaja kami menawarkan Islam yang telah diperjuangkan oleh Rasulullah saw ? atau mereka mengganggap Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw adalah Islam yang ekstrim ? Islam yang kolot ? Islam yang tidak lagi sesuai untuk dilaksanakan pada hari ini ? atau mereka menganggap bahawa Islam mereka lebih baik dari Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw ? ]
8. Sebagaimana Islam tidak boleh disama taraf dengan agama lain [pluralisme], maka demikian juga Islam tidak mempunyai pakej yang berlainan antara satu zaman pemerintahan dengan zaman pemerintahan yang lain. Zaman Tun Dr Mahathir dibawa pakej Islamisasi, zaman Tun Abdullah Badawi bertukar kepada pakej Islam Hadhari dan kini dizaman Datuk Seri Najib Tun Abd Razak, sekali lagi pakej itu berubah menjadi Islam Sederhana. Islam apakah sebenarnya yang sedang dijaja oleh UMNO dan BN ini ? melainkan ini adalah satu kebhatilan dan kesesatan aqidah serta fikrah yang mesti ditolak oleh ummat Islam.
9. Pluralisme agama dan faham sekularisme tidak boleh dianut dan diperjuangkan oleh ummat Islam. Justeru itu saya nasihati diri saya sendiri dan seluruh ummat Islam agar berhati - hati dengan konsep 1 Malaysia yang masih kabur konsep dan perlaksanaannya. Jika 1 Malaysia hanya bermaksud membawa semua bangsa bersatu padu menjadi satu dengan prinsip saling hormat menghormati bangsa dan budaya antara satu sama lain maka ia dibenarkan. Namun jika memahami 1 Malaysia yang mengheret persamaan taraf antara pelbagai agama yang wujud dalam negara Malaysia ini, maka ia juga satu pluralisme yang ditolak oleh Islam.
10. Begitulah jika konsep 1 Malaysia dipisahkan dari prinsip agama Islam dengan maksud menggerakkan aktiviti berteraskan konsep 1 Malaysia tanpa mengambil kira soal halal dan haram maka ia adalah satu elemen dari faham sekularisme yang ditolak oleh Islam.
Murnikan Perjuangan dan Maknakan Kemenangan
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia