Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Sarawak, Baru Bian membidas Perdana Menteri Najib Razak dan Kementerian Dalam Negeri kerana mendalangi penahanan 30 ribu naskah Kitab Injil versi Bahasa Malaysia di Pelabuhan Kuching sejak Januari lalu.
Dalam kenyataannya, Baru menganggap tindakan itu sebagai pencabulan hak masyarakat Kristian di Sarawak dan kegagalan Putrajaya mendokong kebebasan beragama yang termaktub dalam perjanjian Perjanjian Persekutuan 1963 yang membolehkan Sabah dan Sarawak menanggotai Malaysia.
"Ia bukan sahaja pencabulan terbuka terhadap hak orang Kristian yang termaktub dalam pelembagaan tetapi bertentangan dengan provisi dan syarat-syarat dalam Perjanjian Malaysia 1963. Sebagai rakyat beragama Kristian di Sarawak, kita diberi jaminan bahawa hak kebebasan agama sebelum Sarawak menyertai Malaysia" kata Baru Bian.
Menurut Baru, sebuah surat bertarikh 12 Januari 2011 mengenai penahanan itu oleh Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al Quran Negeri Serawak menyatakan rampasan itu dilakukan dibawah seksyen 9A, 17 dan 18 di bawah Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984, sementara menanti keputusan Menteri Dalam Negeri.
Sebelum ini KDN turut menahan lima ribu kitab Injil Bahasa Melayu di Pelabuhan Klang sejak tahun lepas.
Menurut Baru lagi, hal ini tidak dapat diterima masyarakat Kristian di sini dan mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bertanggungjawab sebagai ketua Kerajaan Persekutuan.
"Beliau (Najib) tidak boleh memberi sebarang alasan bahawa 'Napoleon Kecil' yang menyebabkan masalah ini," tegas beliau.
Baru berkata masyarakat Kristian di negara ini, terutamanya di Sarawak harus menghantar mesej tegas dengan mengubah kerajaan pada pilihanraya negeri dan pilihanraya umum akan datang.