Sambil menyifatkan pemerintahan Najib hari ini tidak jauh beza dengan pemerintahan bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak, beliau menegaskan, rakyat tidak dapat menerima jika Najib terus menggunakan kuasa untuk kepentingan peribadi dan partinya sahaja.
"Saya beri amaran keras kepada Najib jangan hancurkan demokrasi. Inilah nanti menjadi punca kepada rakyat bangun seperti di Mesir, Tunisia dan sekarang ini di Bahrain," ujarnya kepada Harakah. Menurut Mohamad, Najib mungkin terlupa bahawa kebanyakan negara dunia ketiga hari ini jatuh hanya kerana kebangkitan rakyatnya menentang pemerintah yang zalim.
Hanya beberapa negara sahaja yang pemerintahnya jatuh dengan pilihan raya umum, selebihnya semua dijatuhkan dengan suara rakyat di jalan raya, katanya. Baru-baru ini, Harakah mendedahkan tindakan jahat Umno-BN menggunakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memindahkan alamat pengundi Sabah ke Selangor terutamanya di Shah Alam.
Operasi pertukaran alamat itu dikesan oleh Yang Di Pertua PAS Kawasan Kota Raja, Jaafar Shamsudin yang secara kebetulan berada di tempat kejadian. Sebuah bas dipercayai milik JPN bernombor pendaftaran BGS 5458 didapati berada di hadapan Pejabat Umno Shah Alam dengan beberapa orang kakitangan JPB sedang membuat pengesahana pertukaran alamat penduduk Sabah tersebut.
Mereka diarahkan mengisi borang pertukaran alamat di Tingkat 3 Bangunan Umno Shah Alam sebelum menaiki bas JPN secara bergilir-gilir bagi mendapatkan pengesahan JPN. Mengulas lanjut isu tersebut, Mohamad Sabu yang juga Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat menggesa badan bebas menyiasat Najib selaku Perdana Menteri yang merelakan tindakan tidak demokratik itu berlaku.
Lebih malang lagi kata beliau, tindakan itu dibuat ketika rakyat di beberapa negara Timur Tengah sedang bangkit menentang penguasa yang zalim dan korup.
"Apakah benda yang sama akan berulang di negara ini? Kita tidak tahu apakah yang sedang bermain dalam jiwa rakyat sekarang. Seperti di Tunisia, Bahrain dan Mesir, rakyat sendiri yang memimpin perubahan dengan berarak ke jalan raya bagi menumbangkan pemerintahnya," katanya lagi.
Beliau sekali lagi memberi amaran kepada Najib agar tidak terus melakukan tindakan yang sangat tidak demokratik semata-mata untuk memastikan Selangor mahupun negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain kembali semula ke tangan BN.