Sekiranya semalam tangkapan dibuat sewaktu forum anti-Interlok berlangsung, tetapi hari ini polis bertindak lebih awal dengan menahan penganjur forum yang sama yang akan diadakan malam ini.
Malaysiakini telah dimaklumkan mengenai tangkapan tersebut oleh seorang pemimpin Parti Hak Asasi Manusia (HRP) petang ini.
"Mereka datang ke rumahnya pada 12.30 tengahari tadi, dengan
membawa waran tangkap.
"Mereka menangkapnya dan membawanya ke balai," kata ketua penerangan HRP, S Jayathas ketika dihubungi.
Bagaimanapun, Jayathas (kiri) berkata, forum tersebut akan diteruskan walaupun tanpa kehadiran penganjurnya.
"Kita akan teruskan dan mengadakannya di tempat lain di kawasan perumahan yang sama," katanya, sambil menambah HRP tidak gentar dengan tindakan polis.
HRP, parti politik yang lahir daripada Hindraf yang telah diharamkan, menentang penggunaan novel Interlok sebagai buku teks kesusasteraan Melayu kerana penggunaan perkataan 'pariah' untuk menceritakan beberapa watak yang datang dari India.
Tangkapan hari ini adalah tindakan seterusnya pihak polis selepas 63 pemimpin dan ahli HRP ditahan minggu lalu, dan 16 orang lagi di Perak malam tadi.
Bagaimanapun, kesemua 79 orang yang ditahan polis itu telahpun dibebaskan - 63 dibebaskan dalam tempoh 24 jam ditangkap dan 16 lagi dibebaskan jam 3 pagi ini.
Jayathas dan pemimpin HRP yang lain, merancang untuk membawa isu penangkapan tersebut dan ketidakpuasan yang lain kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tengahari esok.