SHAH ALAM 26 Jan - Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini, Steven Gan melahirkan kebimbangannya dengan tindakan Perdana Menteri yang melancarkan perang habis-habisan ke atas media internet yang mendukung prinsip kebebasan di negara ini.
Katanya, tindakan terbaru Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah kabinet Datuk Seri Najib Razak meminda Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984 (PPPA) adalah lebih dahsyat berbanding apa yang berlaku di era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bercakap kepada Tv Selangor, Steven Gan berkata, sekatan ke atas media yang melampau itu merupakan satu petanda bahawa Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) semakin hampir sehingga mengakibatkan kerajaan terdesak untuk mengawal informasi yang tersebar melalui ruang maya.
“Rakyat secara umum bukan mengharapkan Perdana Menteri, Najib untuk laksanakan kawalan media ala-Mahathir, tetapi kita juga tak boleh berharap ia menjadi lebih buruk dari zaman Mahathir.
“Apa yang dia cuba lakukan ialah memastikan media atas talian (online) berada di bawah kawalan sebelum pilihan raya umum, itulah sebabnya dia kini bercakap mengenai pindaan dalam akta cetak, kemungkinan pada Mac depan.
“Tindakan kementerian yang tergesa-gesa mahu membuat pindaan ini merupakan isyarat jelas pilihan raya umum semakin hampir,” jelasnya.
Semalam KDN mengumumkan untuk memperluaskan penguatkuasaan merangkumi ruang maya termasuk seperti laman web, blog termasuk Facebook.
Ia dilihat sebagai langkah terbaru kerajaan menyekat media alternatif seperti Tv Selangor, Malaysiakini dan banyak lagi portal di negara ini untuk menyebarluaskan maklumat yang bertentangan dengan kepentingan politik mereka.
“Ini sudah tentunya satu tamparan kepada sedikit kebebasan yang kita nikmati sejak 15 tahun dahulu,” katanya.
Katanya lagi, tindakan ini juga mungkin satu perangkap daripada KDN untuk memudahkan tugas mereka menyekat kemaraan laman web yang bebas mengkritik kerajaan.
Dengan melakukan pindaan ini, ia mungkin memberi laluan untuk permohonan lesen kepada media-media alternatif dan mereka yang tidak berbuat demikian dengan mudah akan dikenakan tindakan perundangan.
“Saya rasa mereka memberi kelonggaran dalam perlesenan sebagai satu kaedah kerajaan mengenakan tekanan politik kepada bukan sahaja Malaysiakini tetapi banyak lagi media atas talian. Ini juga memberi kementerian kuasa untuk mengharamkan mana-mana sesawang,” katanya.
Steven Gan juga turut senada dengan Presiden NUJ, Hata Wahari yang menyifatkan tindakan kerajaan meminda PPPA sebagai tindakan terkebelakang kerajaan.
“Saya bimbang kedudukan kita dalam kebebasan media akan semakin menurun dan ini akan memberi tamparan hebat kepada pengamal-pengamal media, bagaimana mereka hendak mengamalkan media,” kata Hata kepada Tv Selangor.
Tambah beliau, tindakan kerajaan meminda PPPA adalah bertujuan untuk terus mencengkam rakyat untuk mengikut apa juga corak pemerintahannya.
“Bermakna kata-kata Perdana Menteri bahawa era kerajaan tahu semua, tidak dilaksanakan. Maknanya sekarang ini kerajaan terus meletakkan agenda-agendanya sendiri kepada rakyat,” jelasnya.