WarkahDaily – Lidah rasmi Umno, Utusan Melayu didapati cuba mengelirukan penduduk Dun Tenang dan rakyat Malaysia apabila cuba memutar-belitkan fakta sebenar berkaitan pengurusan jenazah Setiausaha Umno Cawangan Kolam Air Felda Tenang yang telah diabaikan oleh imam kawasan itu yang dikatakan menyambut kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang datang untuk ‘menyuap’ janji kepada rakyat kawasan Dun Tenang baru-baru ini.
Keadaan itu timbul apabila Che Zuhar Che Haron, ahli PAS dari Pahang yang datang ke Dun Tenang yang kebetulan berada di masjid berkenaan telah diminta oleh makmum dan bilal masjid berkenaan untuk mengimami jenazah Setiausaha Umno itu.
Namun semalam, akhbar milik Umno itu telah cuba memutar alam dengan memetik kenyataan Pengerusi Biro Khairat Kematian Masjid An-Nur, Hamzah Manaf, 77, dan beberapa pemimpin setempat, tindakan Najib tidak melawat jenazah Setiausaha UMNO Cawangan Kolam Air Felda Tenang, bukannya suatu isu kerana Perdana Menteri memang langsung tidak mengetahui mengenai kematian Allahyarham kerana tidak dimaklumkan mengenainya.
Akhbar pro Umno tersebut turut memetik edisi kedua Buletin Tenang, konon PAS menipu apabila mendakwa jentera parti itu yang menguruskan jenazah Allahyarham, sedangkan hakikatnya ia diuruskan sendiri oleh para penduduk kampung.
Lidah rasmi Umno itu menyebut, beberapa wakil dan jentera PAS hanya muncul secara tiba-tiba di masjid berkenaan termasuk calon parti itu, Normala Sudirman untuk memberi penghormatan kepada jenazah Allahyarham.
Tambah akhbar Umno, di dewan solat Masjid An-Nur Felda Tenang itu, salah seorang daripadanya yang memakai jaket Pas secara tidak semena-mena bangun dan mengimamkan solat jenazah ketika pengurusan masjid meminta waris Allahyarham menjadi imam kerana lebih afdal diimamkan oleh keluarga terdekat, atau menunggu kira-kira 15 minit untuk imam tiba.
Padahal apa yang diceritakan akhbar baru Umno itu hanyalah alasan untuk pertahankan tindakan pemimpin Umno yang didapati mengabaikan tugas fardhu Kifayah yang perlu dilaksanakan semata-mata kerana seorang Najib.
“Apa yang saya lakukan hanyalah menyelesaikan hukum fardhu kifayah setelah sekian lama jenazah setiausaha Umno itu tidak disempurnakan, itupun setelah makmum dan bilal meminta saya berbuat demikian kerana imam sebenar masjid itu pergi ke padang,” jelas Che Zuhar.
“Pada hakikatnya Unit Amal PAS telah bertungkus-lumus membantu penduduk kampung menggali kubur. Kemudian jenazah Allahyarham telah dibawa ke masjid kira-kira jam 10 pagi. Makmum terus meninggu hingga ke waktu Solat Zohor, tetapi imam tidak ada kerana pergi ke padang menyambut Najib.
“Kemudian apabila sampai ke jam dua petang, seorang tua yang mewakili bilal masjid telah mengumumkan sesiapa yang layak diminta tampil mengimamkan solat jenazah kerana imam masjid pergi ke padang,” katanya.
Menurut Che Zuhar, ketika itu makmum mula berbaris dalam saf dan beberapa orang penduduk kampung menarik tangannya ke depan untuk mengimamkan solat jenazah itu.
Beliau yang berkempen dalam PRK Tenang mewakili Dewan Ulamak, telah menyempurnakan tugas berkenaan sehinggalah jenazah dibawa ke kereta dan tanah perkuburan.
“Saya kecewa kenapa perkara ini dibangkitkan lagi walhal saya menyempurnakan fardhu kifayah setelah imam masjid meninggalkan tugas untuk meraikan Najib. Jenazah sudah selamat dikebumikan, kenapa mahu dipolitikkan lagi,” soalnya.
Penulis WarkahDaily bukan mahu menyalah PM dan alasan Najib tidak tahu berita kematian itu tidaklah menjadi persoalan tetapi bagaimana rakan-rakan seperjuangan jenazah selama ini, di manakah imam masjid dan ahli-ahli Umno yang lain? Semata-mata kerana PM, kewajipan terhadap agama terus diabaikan.
Yang menjadi tulang belakang pemutar alam ialah, akhbar lidah rasmi Umno iaitu Utusan Melayu yang memang padat dengan agenda jahat pemimpin Umno. Pakatan Rakyat perlu serius memboikot lidah rasmi pelampau Umno ini. Dengan kata lain, lebih serius lagi, haramkan terus pembelian akhbar barua Umno tu. Usah kompromi lagi dengan sang pemfitnah, nanti makan diri.
Kepada rakan blogger, nyahkan terus nama ‘Utusan Melayu’ dari link blog hangpa sekarang!