Jika dahulu Parlimen Malaysia pernah kecoh tentang kebocoran syiling Dewan Rakyat dan kebocoran mulut seorang wakil rakyat berhubung satu kenyataan yang tidak manis, kini seluruh dunia kecoh dengan kebocoran yang didedahkan oleh WikiLeaks.
WikiLeaks merupakan satu organisasi Internet yang mendedahkan maklumat rahsia, termasuk dokumen-dokumen kerajaan di seluruh dunia. i tanah air pula, dedahan WikiLeaks telah menjadi modal kepada pihak kerajaan persekutuan untuk menyerang ketua pembangkang parlimen Anwar Ibrahim.
Majlis Peguam mahupun Mahkamah Tinggi langsung berdiam diri berhubung isu ini, sedangkan kes beliau masih dalam perbicaraan. Sebarang komen berhubung isu berkenaan boleh terjumlah kepada kesalahan ‘subjudice’ (membincangkan kes yang sedang dihakimi dan boleh memberi kesan negatif kepada yang tertuduh).
Namun keterlanjuran media arus perdana memberi liputan kepada Anwar boleh difahami kerana kerajaan menghalalkan apa sahaja cara untuk memastikan Barisan Nasional terus memerintah di Putrajaya.
Kes Altantuya
Selain isu liwat kali kedua Anwar, WikiLeaks juga melaporkan mengenai isu pembunuhan model dari Mongolia Altantuya Shariibuu. Namun, berita tersebut tidak menjadi perhatian media terutama sekali Utusan Malaysia.
Akhbar tersebut melaporkan kes liwat Anwar yang dipetik dari WikiLeaks pada Disember 13 lalu. Pendedahan-pendedahan yang mengaibkan pembangkang dihebohkan manakala pendedahan-pendedahan yang mengaibkan parti pemerintah diendahkan.
Memetik dedahan WikiLeaks, Bilahari Kausikan, setiausaha tetap Kementerian Luar Singapura didakwa memberitahu Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat David Sedney bahawa “ada kemungkinan besar berlakunya konflik perkauman di Malaysia” yang akan menyebabkan orang Cina meninggalkan Malaysia dan “menyusahkan” Singapura.
Mengenai kepimpinan Barisan Nasional pula, kata beliau, “masalah utama Malaysia adalah tiadanya pemimpin yang berwibawa.”
Seorang lagi pegawai diplomatik bernama Peter Ho pula didakwa mengutuk bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kerana “membaling batu” kepada penggantinya Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau juga mendakwa ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin akan “ditikam” (dari belakang) kerana tiada orang yang menyukainya kerana beliau naik dalam politik akibat pertalian keluarga.
Selain itu, Ho juga didakwa mengulangi tuduhan yang mengatakan Perdana Menteri Najib Razak menanggung beban politik angkara kes pembunuhan Altantuya dan menyifatkan beliau seorang yang suka mengambil kesempatan. Perkara-perkara ini juga tidak mendapat perhatian media perdana sungguhpun berkaitan dengan isu nasional.
Melihat kepada reaksi Perdana Menteri pula, beliau hanya sekadar meminta rakyat Malaysia tidak menghiraukan cakap-cakap yang menyentuh hubungan negara jiran serantau, sebaliknya mahu memfokus kepada usaha mencapai matlamat negara.
Namun Utusan Malaysia tetap memetik laporan WikiLeaks sebagai bahan laporan mereka. Alangkah baiknya jika nasihat yang sama diberikan kepada media arus perdana di bawah kawalan Barisan Nasional.
Mungkin ada baiknya kita melupakan kes Altantuya, dakwaan bahawa satu konflik perkauman bakal berlaku dan juga tindak tanduk akhbar arus perdana yang terus mengapi-apikan hubungan di antara kaum, dan memberi sepenuh perhatian terhadap dakwaan terhadap ketua pembangkang.
Latarbelakang WikiLeaks
WikiLeaks menjadi popular sejak Julai ini apabila laman tersebut membocorkan puluhan ribu dokumen rahsia milik Amerika Syarikat mengenai perang di Afganistan.
Julian Paul Assange merupakan individu yang mengasas WikiLeaks dan juga jurucakap organisasi tersebut.
WikiLeaks memperjuangkan hak pemberi maklumat (sebut whistleblower) sejak Disember 2006.
Assange seorang aktivis Internet sekaligus wartawan yang berasal dari Australia. Sebelum ini, beliau lebih dikenali sebagai pelajar yang pakar dalam bidang matematik dan fizik yang bertugas sebagai programmer.
Pada tahun 2006, Assange membuat keputusan untuk menumpukan perhatian terhadap memperbesarkan skop WikiLeaks.
Mungkin beberapa temuan Assange di atas masih asing di telinga anda, umpamanya penglibatan beliau dalam menerbitkan dokumen tentang seorang pembunuh yang lari daripada penghakiman di Kenya.
Selain itu, Assange juga mengungkap pembuangan limbah beracun oleh sebuah perusahaan perdagangan minyak Trafigura ke pantai Ivory Coast di Afrika, dan disusuli dengan penerbitan manual Church of Scientology, prosedur kem tahanan Teluk Guantanamo, dan bahan-bahan yang melibatkan bank-bank besar seperti Kaupthing dan Julius Baer.
Sehingga Jun 2009, WikiLeaks mencatat lebih dari 1,200 sukarelawan terdaftar dengan sembilan anggota dewan penasihat, termasuk Assange, Phillip Adams, Wang Dan, C. J. Hinke, Ben Laurie, Tashi Namgyal Khamsitsang, Xiao Qiang, Chico Whitaker dan Wang Youcai.
Setakat ini WikiLeaks kini mempunyai 355 alamat baru (‘mirror sites’) yang bisa diakses untuk tatapan umum ekoran daripada percubaan-percubaan pihak AS untuk menyekat laman sesawang tersebut.