Grab the widget  IWeb Gator

Monday, December 20, 2010

‘Selain pluralisme, nasionalisme juga terpesong dari Islam’



PETALING JAYA: Jika fahaman plurlisme agama bertentangan dengan Islam kerana boleh memesongkan akidah umatnya, fahaman nasionalisme juga boleh dianggap sedemikian kerana khuatir dengan sikap terlalu mengagungkan bangsa sendiri sehingga menolak ajaran agama.

Dewan Pemuda PAS Wilaya Persekutuan (DPPWP) dalam kenyataannya hari ini berkata, pihaknya kesal dengan sebilangan umat Islam menganggap kedudukan bangsa lebih mulia daripada agama sehingga sanggup memperjuangkan bangsa Melayu lebih daripada memperjuangkan agama Islam.

"Mereka sanggup hidup dan mati kerana bangsa Melayu, tetapi tidak menjalankan hukum-hukum Islam seperti yang diperintahkan di dalam al-Qur’an.

"Mereka kononnya membela hak istimewa bangsa Melayu, tetapi hukum asas Islam seperti menutup aurat, menjaga pergaulan, bercakap benar, amanah, jujur, adil dan lain-lain tidak dilaksanakan.

"Fahaman ini digelar sebagai fahaman nasionalisme," kata Naib Ketua DPPWP Mohamad Suhaimi Abdul Aziz dalam kenyataan itu.

Walaupun tidak menafikan malah terus menyokong kedudukan Melayu dan agama Islam dalam Perlembagaan, Suhaimi berkata fahaman nasionalisme lebih bersifat asabiyah (berpuak) kepada bangsa dan menganggap bangsanya sahaja mulia, sedangkan bangsa lain tidak.

Sehubungan itu, beliau mendesak agar Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengiktiraf bahawa fahaman nasionalisme turut terpesong dari ajaran Islam.

"Kami menyeru penganut fahaman ini agar kembali kepada Islam kerana Islam adalah lebih perlu untuk diperjuangkan daripada bangsa.

"Bangsa Cina dan India lebih mulia dari bangsa Melayu sekiranya mereka beriman dan bertaqwa. Bahkan Islam lebih dahulu sampai ke negeri China dan India berbanding Tanah Melayu.

"Mencintai bangsa Melayu tidak menyalahi agama, tetapi menjadi satu kesalahan sekiranya sayang bangsa sehingga menolak agama," katanya.

Jamil Khir pada Sabtu lalu ketika diminta mengulas tentang pandangan tokoh Islam yang berpendapat bahawa golongan yang mempertikaikan kedudukan Islam dan orang Melayu seperti yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan merupakan mereka yang berfahaman pluralisme ala John Hick dan perlu ditentang kerana fahaman tersebut bertentangan dengan ajaran Islam.

“Fahaman pluralisme agama ialah satu kronologi yang dianggap sebagai kepelbagaian dan kemajmukan dengan membawa maksud semua agama adalah sama dan benar.

“Hal ini amat bertentangan dengan ajaran Islam sebenar kerana ia menyentuh soal akidah umat Islam.

“Islam adalah agama yang Ad-Din dan sempurna dan fahaman ini mampu memesongkan akidah umat Islam kerana membawa kesamarataan kepada semua agama,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular