from Pencacai SeMalaysia
Kerajaan negeri Pulau Pinang hanya akan mengadakan pilihan raya negeri sekitar tahun 2013, bukannya lebih awal meskipun pentadbiran Najib disebut-sebut akan memanggil pilihan raya umum ke-13 tahun depan.
Pentadbiran Pulau Pinang mahu menggunakan mandat yang ada dengan sepenuhnya untuk melaksanakan projek pembangunan fasa kedua dan menafikan kecaman pengkritik.
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Mansor Othman (gambar) berkata, pihaknya masih yakin akan melepasi cabaran jika pilihan raya umum negeri diadakan kemudian, berasingan daripada pilihan raya nasional, walaupun ada pengkritik beranggapan langkah sedemikian tidak wajar dan boleh memerangkap mereka.
Mandat semasa akan berakhir Mei 2013.
“Buat masa ini kami mengatakan bahawa kami tidak akan memanggil pilihan raya negeri seiring dengan pilihan raya umum (nasional).
“Kami hendak melengkapkan penggal (semasa). Kami menghantar isyarat kepada mereka (Barisan Nasional) bahawa kami kemungkinan tidak akan mengikut mereka,” kata Mansor kepada The Malaysian Insider dalam satu pertemuan di sini baru-baru ini.
Pertengahan bulan ini, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihatkan agar cadangan pilihan raya Dewan Undangan Negeri yang berasingan bagi negeri-negeri dikuasai Pakatan Rakyat memerlukan kajian mendalam.
Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, sama ada pilihan raya negeri wajar dilaksanakan berasingan atau sebaliknya, keputusan itu perlu dikaji terlebih dahulu khususnya berhubung kesan yang bakal dihadapi kerajaan berkenaan sekiranya ia diamalkan.
Baru-baru ini, Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berkata, kerajaan negeri dikuasai perikatan tiga parti itu mempunyai pilihan untuk mengadakan pilihan raya Dewan Undangan Negeri berasingan jika kerajaan BN mengadakan pilihan raya umum tahun hadapan.
Katanya, kuasa membubarkan Dewan Undangan Negeri adalah hak kerajaan negeri dan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat berhak mengadakan pilihan raya negeri.
Nik Aziz menambah, sekiranya cara berkenaan dilaksanakan, ia akan memudahkan pelbagai jentera Umno dan BN menyerang negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.
“Jadi saya rasa cadangan itu perlu dikaji terlebih dahulu sebelum ia dilaksanakan,” kata Nik Aziz.
Pakatan Rakyat kini menerajui Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.
Laporan pertengan tahun ini menyebut kemungkinan Kedah, Pulau Pinang dan Selangor akan mengadakan pilihan raya negeri yang berasingan iaitu selepas tahun keempat mandat semasa.
Mengulas lanjut, Mansor yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat berkata, kesemua tiga komponen Pakatan Rakyat juga akan kekal dengan pembahagian kerusi yang sedia ada dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri akan datang.
“Tidak akan ada perubahan kerusi antara PAS dan PKR, status quo akan kekal. Kecuali beberapa perundingan, kemungkinan besar status quo akan kekal,” katanya lagi.
Dengan merujuk kepada kes kerajaan negeri Perak BN yang degil tidak mahu mengadakan pilihan raya walaupun didesak oleh Pakatan Rakyat, Mansor juga mendakwa kerajaan-kerajaan negeri BN juga tidak akan mengadakan pilihan raya tergempar.
Perak jatuh ke tangan BN selepas tiga wakil rakyat Pakatan Rakyat keluar parti awal tahun lalu.
“Saya percaya BN akan melakukan yang sama. Mereka (terus) menangguhkan pilihan raya Sarawak dan jika mereka tidak bimbang, mereka harus membuka Perak (untuk diadakan pilihan raya),” katanya.
Difahamkan Pakatan Rakyat belum membuat keputusan sama ada empat Dewan Undangan Negeri di bawah penguasaan mereka harus dibubarkan jika pilihan raya umum tergempar diadakan.
Menteri Besar dan Ketua Menteri boleh menasihati Sultan dan Yang Dipertua Negeri masing-masing untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.
Sehingga 2008, Kelantan membubarkan Dewan Undangan Negeri sebaik sahaja Parlimen dibubarkan. Begitu juga pada 2004 ketika Terengganu yang diterajui PAS membubarkan Dewan Undangan Negeri mereka.
The Malaysian Insider difahamkan bahawa pemimpin-pemimpin yang tidak bersetuju dengan pilihan raya serentak bimbang bahawa Kedah kemungkinan akan jatuh jika BN memanggil pilihan raya umum tergempar.
Kedudukan Kedah dikatakan paling lemah dalam pentadbiran di bawah Pakatan Rakyat setakat ini. Dalam pertemuan kali ini, Mansor juga ada menyebut bahawa serangan berterusan Umno terhadap Pulau Pinang kemungkinan akan menyebabkan Pakatan Rakyat kehilangan beberapa kerusi dalam pilihan raya umum akan datang.
Bagaimanapun Mansor masih optimistik bahawa serangan ke atas pentadbiran Lim Guan Eng akan berkurangan jika kerajaan negeri dibolehkan menghabiskan penggal penuh yang akan menyaksikan lebih banyak program dan skim pembangunan dilaksanakan.
Katanya, Pulau Pinang sedang melalui fasa kedua projek pembangunan dan ia akan mampu mengubah fikiran pengkritik terhadap pentadbiran kerajaan negeri.
“Kami sedang melalui fasa kedua pembangunan. (Fasa) pertama adalah tempoh di mana kami telah menunjukkan kepada orang ramai bahawa kami boleh memerintah meskipun sebelum ini ada dakwaan kami tidak boleh memerintah.
“Pada 2009 sahaja, ada lebihan RM88 juta dan ini diiktiraf oleh laporan Ketua Audit dan Transparency International (TI).
“Ia akan mengambil sedikit masa... jika kita masuk penggal kedua, rakyat akan dapat melihat apa yang kami merancang untuk dilakukan.
“Ini adalah fasa kedua, kami kena menunjukkan hasil. Kini bergerak ke fasa kedua, projek-projek fizikal akan dilaksanakan... akan ada lebih banyak FDI (selepas ini),” kata beliau lagi.
Mansor juga berkata, salah satu keutamaan pentadbiran Pulau Pinang buat masa sekarang ialah mengubahnya menjadi hab pendidikan dan menggalakkan lebih ramai pelajar asing menuntut di negeriitu.
“Pulau Pinang pernah menjadi pusat pengajian agama satu masa dahulu, kita boleh menghidupkan semula keadaan itu.
“Dari segi pendidikan, kami menubuhkan majlis sains, menggunakan model San Jose di California, diterajui oleh pemain-pemain utama dalam sektor swasta.
“Jika hab pendidikan tidak dijadikan isu perkauman, kita boleh membawa universiti-universiti terbaik,” kata Mansor.
Baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pentadbirannya akan meneruskan 10 projek infrastruktur di Pulau Pinang bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi demi kepentingan nasional meskipun negeri dikuasai Pakatan Rakyat, di bawah kepimpinan Lim Guan Eng.