Penduduk Pedalaman Sarawak Belanja RM700 Untuk Ke Hospital
LIMBANG 26 Dis.: Masih ramai penduduk di kawasan pedalaman Limbang berhadapan masalah untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan yang baik disebabkan kekurangan kemudahan klinik dan hospital, kata anggota Parlimen Limbang Hasbi Habibollah di sini.
Beliau berkata untuk mendapatkan rawatan perubatan biasa di hospital Limbang sesetengah penduduk khasnya yang tinggal di Ulu Mendamit dan Ulu Lubai di pedalaman Limbang terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk belanja pengangkutan."Ada penduduk, seperti di Long Napir misalnya terpaksa berbelanja sekitar RM700 untuk mendapatkan sekali rawatan kesihatan di Hospital Limbang dan ia pastinya menjadi beban utama penduduk yang hanya terdiri daripada golongan petani kecil-kecilan," katanya ketika ditemui di sini.
Katanya beliau berharap kerajaan akan dapat menimbang usaha membangunkan kemudahan klinik kesihatan di kawasan pedalaman Limbang selain meningkatkan kemudahan jalan raya, elektrik dan air yang diperlukan di kawasan tersebut.
Bahagian Limbang dan Lawas yang terpisah oleh dua wilayah Brunei mempunyai kira-kira 49,000 penduduk dan kebanyakkkan adalah dari masyarakat Orang Ulu selain Melayu, Cina dan Iban.-Bernama