Grab the widget  IWeb Gator

Sunday, December 26, 2010

BN tak dipercayai banteras rasuah - PAS Parit Buntar


Hanya 35% Rakyat 'Iktiraf' Usaha Putrajaya Lawan Rasuah


KUALA LUMPUR 26 Dis.: Kadar kepuasan rakyat berhubung usaha dan langkah diambil kerajaan pusat untuk melawan amalan rasuah mengalami kemerosotan sejak akhir tahun lalu, demikian menurut satu hasil kajian terbaru Merdeka Center.
Hasil kajian firma itu bulan ini menunjukkan hanya 35 peratus responden mengatakan mereka berpuas hati dengan usaha pentadbiran Najib berbandning 39 peratus pada tempoh yang sama tahun lalu.

Pada Mei lalu kadar itu adalah dalam lingkungan 36 peratus.


Secara purata kadar itu masih dalam lingkungan 30 peratus meskipun kerajaan pusat mengambil pelbagai langkah termasuk menaikkan taraf agensi antipencegahan menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bermulai 1 Januari 2009.


SPRM mengalami perubahan kepimpinan sejak Januari lalu selain mewujudkan pelbagai pendekatan dalaman bagi memperbaiki persepsi di kalangan rakyat.


Bagaimanapun, tahap tidak berpuas hati pada kali ini merosot dua peratus berbanding 61 peratus Mei lalu selepas meningkat berbanding 52 peratus pada Disember 2009.


Mengikut kaum pula, bilangan orang Melayu yang berpuas hati dengan langkah-langkah diambil kerajaan adalah dalam lingkungan 42 peratus manakala 46 peratus di kalangan orang India tetapi sangat rendah iaitu sekitar 20 peratus sahaja di kalangan orang Cina.


Prestasi kerajaan pusat dalam soal mengatasi rasuah adalah paling rendah di antara enam inisiatif Putrajaya yang ditinjau oleh Merdeka Center. Tempat kedua paling rendah adalah berkaitan dengan pendekatan mengurangkan jenayah.


Kadar kepuasan kedua-dua inisiatif itu berada di bawah paras 50 peratus. Empat inisiatif lain melebihi paras 50 peratus iaitu memperbaiki kualiti pendidikan di sekolah rendah dan menengah, menyediakan bantuan kepada mereka yang memerlukan dan memperbaiki kemudahan pengangkutan awam di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur.


Kajian terbaru ini dijalankan selepas lima orang termasuk bekas presiden MCA dan menteri pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik dihadapkan di mahkamah berhubung skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan pendedahan isu lama kerugian Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dan kerugian lebih RM2 bilion konglomerat Sime Darby.


Kajian Disember 2009 dijalankan beberapa bulan selepas kematian bekas setiausaha politik Teoh Beng Hock mati ketika dalam siasatan SPRM. Inkues mengenainya masih berjalan dan keputusan dijangka diketahui 5 Januari depan.


Beberapa hari sebelum kajian Merdeka Center ini berakhir, SPRM telah mendakwa bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.


Pada 15 Disember lalu, diumumkan bahawa SPRM masih menjalankan siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa bekas pengerusi eksekutif MAS Tan Sri Tajuddin Ramli ekoran terdapat bukti baru diperoleh suruhanjaya itu.


Siasatan kes yang dibuat sejak 2002 itu akan dikemukakan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.


Sebelum ini, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menggesa kerajaan menyiasat semula kerugian yang pernah dialami MAS sebanyak RM8 bilion ketika syarikat tersebut diterajui Tajuddin dalam tempoh antara 1994 dan 2001.


Pada hari yang sama SPRM juga mengumumkan bahawa ia telah menutup fail tiga kes yang mengaitkan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong.


Awal bulan ini, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa SPRM telah membawa 547 kes ke mahkamah dari tahun 2008 hingga September lepas.


Dalam tempoh yang sama, 69 peratus kes perbicaraan awal menang manakala 31 peratus kalah.


Tinjauan Merdeka Center kali ini dijalankan mulai 30 November hingga 11 Disember lalu membabitkan seramai 1,005 responden yang merupakan pengundi berdaftar berusia 21 ke atas dan ditemu bual melalui telefon di seluruh Semenanjung.


Begitu juga kadar rasa tidak puas hati dengan tindakan kerajaan pusat mengurangkan jenayah.


Kadar puas hati kali ini adalah sebanyak 47 peratus berbanding 52 peratus pada tempoh yang sama tahun lalu.


Bagaimanapun kadar 47 peratus itu lebih baik berbanding situasi Mei lalu yang menyaksikan persetujuan 41 peratus responden.


Pada Mei lalu, 57 peratus responden tidak berpuas hati dengan langkah-langkah kerajaan persekutuan berbanding 51 peratus bulan ini.


Sehubungan itu hasil kajian juga menunjukkan rakyat mahu usaha melawan rasuah perlu mendapat perhatian utama kerajaan persekutuan.


Ini kerana seramai 53 peratus berpandangan sedemikian. Mengikut kaum, 57 peratus responden Melayu, 51 peratus (Cina) dan 39 peratus (India) memilih aspek melawan rasuah sebagai isu yang perlu diberikan perhatian oleh pentadbiran Najib.-The Malaysian Insider
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular