Grab the widget  IWeb Gator

Tuesday, April 19, 2011

BN menang dalam ketakutan

WarkahDaily – Dalam keriangan menyambut kemenangan dalam pilihanraya negeri Sarawak Sabtu lalu, rupa-rupanya ada pemimpin Barisan Nasional (BN) sedang dilanda keresahan dan ketakutan.

Akhbar tempatan hari ini telah melaporkan presiden Parti Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (gambar kiri) kelihatan bimbang dengan penambahan kerusi yang dimenangi DAP dalam pilihanraya negeri Sarawak Sabtu lepas.

DAP dalam pilihanraya negeri pada 2006, sekadar mendapat 6 kerusi, namun kali para pengundi telah memberi sokongan kuat kepada DAP apabila dapat menambah 6 lagi kerusi.

Rata-rata kerusi yang dimenangi DAP adalah kawasan bandar yang dikuasai pengundi Cina.

Perkembangan itu mengakibatkan Koh Tsu Koon menyifatkannya sebagai lanjutan tsunami politik yang berlaku di Kuching pada 2006 dan perlu ditangani dengan serius.

Sambil berkata, BN harus menganggap kekalahan beberapa kerusi yang sebelum ini dikuasai BN sebagai pengajaran dan cabaran yang perlu dikaji secara teliti serta ditangani dengan lebih berkesan.

Koh yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyifatkan penguasaan beberapa kerusi yang sebelum ini dikuasai parti politik tempatan di Sarawak tetapi kini beralih kepada DAP dan PKR, jelas memperlihatkan persepsi bahawa hanya parti tempatan mampu menambat hati pengundi Sarawak sudah tidak lagi relevan.

Mengulas punca penolakan pengundi Cina terhadap calon dari parti komponen BN khususnya Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), beliau berkata, ada beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan, termasuk dari segi calon.

Walaupun ada calon SUPP adalah bekas wakil rakyat yang sudah banyak menabur jasa kepada penduduk diwakili, katanya, calon muda diketengahkan DAP berjaya mengubah persepsi pengundi terhadap apa yang mampu disumbangkan mereka pada masa depan jika terpilih.

Dalam perkembangan lain, Berita Harian melaporkan, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai (gambar kanan), berkata tindakan pengundi Cina memilih calon pembangkang sebagai wakil mereka, terutama di kawasan bandar, dilihat sebagai isyarat kepada MCA dan Gerakan supaya tidak sambil lewa menangani masalah kaum itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, tidak lama lagi.

“Kekalahan calon BN itu menyaksikan pengundi Cina di kawasan bandar di Sarawak mahukan transformasi kepemimpinan parti itu sendiri. Kehendak pengundi amat penting dan kepemimpinan parti perlu peka mengenai apa yang diutarakan mereka. Begitu juga dengan isu kontroversi membabitkan pemimpin parti, antara penyebab mereka tidak dapat diterima pemilih pada pilihan raya kali ini.

“Pembangunan dan kemajuan di Sarawak begitu memberangsangkan, namun masalahnya ialah janji pemimpin harus dikotakan.

“Saya lihat kebanyakan pemimpin sudah lama mengemudikan parti dan sudah tiba masanya mereka memberi laluan kepada muka baru seperti diwar-warkan pembangkang ketika berkempen,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup Konvensyen Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) serta melancarkan kad ahli PPKK 2010-2013 di Kuala Lumpur, semalam.

Manakala bagi Naib Presiden MCA pula, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen (gambar kiri) , berkata kekalahan SUPP menggambarkan masyarakat Cina di Sarawak tidak menghargai peranan parti itu yang mewakili kaum mereka.

“Sekiranya keputusan pilihan raya itu dijadikan kayu pengukur, SUPP kini dilihat sudah tidak relevan di kalangan masyarakat Cina di Sarawak.

“Kegagalan dengan undi sebanyak itu juga memperlihatkan seperti tiada sokongan untuk SUPP dan mereka perlu melihat keadaan ini sama ada masih mahu bersama komponen BN atau tidak,” katanya kepada media selepas merasmikan Rumah Warisan Gopeng semalam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular