Jamuan, angpow, hamper, malah hadiah istimewa seperti motorsikal, basikal, barangan elekronik dan sebagainya terus diberikan melalui cabutan bertuah oleh NGO 1Malaysia, yang bertapak di Merlimau dua minggu sebelum PRK Merlimau membuka tirai. Setakat ini dua jamuan malam telah diadakan, dan lebih RM200 ribu dibelanjakan, mengikut anggaran kasar wartawan.
Jamuan malam diadakan pada 20 dan 28 Februari, dengan kehadiran kira-kira 1300 orang masing-masing. Menurut seorang penduduk tempatan, Fua Yong Siong, jamuan yang disediakan kononnya berharga kira-kira RM200 semeja, dan kedua-dua jamuan menyediakan 130 meja masing-masing (semeja untuk 10 orang). Dengan kata lain, RM52,000 telah dibelanjakan hanya untuk makanan jamuan.
Ia belum termasuk angpow yang diberikan selepas jamuan pertama pada 20 Februari. Menurut Fua Yong Siong, penduduk hanya perlu mendaftarkan nama dan nombor kad pengenalan dirinya, untuk menghadiri jamuan bersama Perdana Menteri Najib Razak pada minggu lalu. Berbekalkan tiket yang berwarna kuning, penduduk di situ boleh mendapat wang tunai RM100, dan berpeluang memenangi hadiah istimewa.Seandainya kesemua 1300 orang memperolehi angpow bernilai RM100 masing-masing, maka RM130 ribu telah diberikan. Menurut Fua Yong Siong lagi, kira-kira 600 bungkusan yang mengandungi teh, susu dan sebagainya juga diedarkan, dijangka bernilai RM10 setiapnya.
Perkiraan kasar perbelanjaan NGO 1Malaysia di Merlimau setakat ini membawa kepada jumlah RM188,000 (RM52,000 + RM130 ,000 + RM6,000), belum termasuk barangan elektronik (televisyen LCD, mesin basuh, periuk nasi), basikal, pakaian, hamper dan sebagainya yang diberikan melalui cabutan bertuah. Malah, kos lain seperti upah pekerja, upah untuk persembahan,banner dengan gambar Najib dan sebagainya belum diambil kira.
Satu lagi jamuan sebelum hari pengundian
Fua Yong Siong menambah, sebagaimana yang diketahuinya, satu lagi jamuan yang menyasarkan 3,000 orang bakal dianjurkan pada 5 Mac, iaitu sehari sebelum hari pengundian PRK Merlimau. Bagaimanapun, Fua Yong Siong tidak pasti sama ada jamuan tersebut juga dianjurkan NGO 1Malaysia.
"NGO" 1Malaysia ini muncul buat kali pertama di PRK Galas pada Oktober 2010. Mereka mengerah pengundi untuk menyertai perarakan dan jamuan yang diadakan oleh mereka. "Pulangan" berharga RM100 hanya sampai ke tangan setelah hampir sebulan PRK Galas melabuh tirai.Secara umumnya, kewujudan "NGO" 1Malaysia ini dikatakan kerana MCA dan Gerakan tidak yakin terhadap kemampuan dirinya untuk memikat undi Cina. Bagaimanapun, Barisan Nasional telah menafikan hubung-kaitnya dengan NGO 1Malaysia ini, mendakwa bahawa NGO 1Malaysia berkempen kerana menyokong idealisme BN.
*Ong Vic Kee ialah wartawan Merdeka Review